Monday 11 January 2021

NAMA TEMPAT DINAMAKAN MENORA

Menora satu tradisi masyarakat Siam di Malaysia, khususnya di Kelantan, Kedah dan Perlis. Menora mempunyai banyak erti dan bergantung kepada si penutur itu sendiri. 

Menora boleh membawa maksud mendatari (dance-drama), pembaca puisi, atau pemimpin kumpulan, atau pelakon atau penari persembahan itu.

Menora adalah sejenis drama tari. Sama seperti Makyung, Mekmulung, Jikey dan lain-lain. Dramatari adalah bermaksud suatu persembahan yang merangkumi drama, nyanyian, dan tarian.

Memandangkan menora agak terkenal pada masa dahulu dan dimainkan di kebanyakan tempat, banyak tempat dinamakan dengan nama menora yang dikaitkan dengan permainan menora itu.

Salah satu nama tempat dinamakan ‘menora’ ialah Bukit Menora. Bukit Menora terletak di Langawi yang menjadi lokasi yang memiliki nilai sejarah yang mengujakan untuk diteroka.

Bukit Manora kaya dengan hutan tropika, flora dan fauna termasuk pokok herba.

Kewujudan gok (dapur atau relau) untuk membuat arang yang dibina dengan batu-batuan sungai disusun rapi di sekitar Bukit Manora antara keunikan di sini.

Terdapat 10 gok dijumpai, sekali gus membuktikan industri arang kayu bakau di kawasan ini sangat aktif satu ketika dahulu. Penemuan lain ialah serpihan mangkuk dan gelas yang tertera pengeluarannya pada tahun 1310.

Di Pulau Pinang pula ada tempat yang dinamakan Kampung Padang Menora, Tasek Gelugor. Berhampiran Kampung Padang Menora lahir sebuah kampung yang dinamakan Kampung Baharu Padang Menora.

Di Kuala Kangsar, Perak juga ada sebuah kampung yang dinamakan Kampung Menora. Kampung ini terkenal sebagai kampung yang kaya dengan unsur tradisional.   

Di Kuala Ketil, Kedah pula terdapat dua kampung yang menggunakan perkataan ‘menora’ iaitu Kampung Paya Menora dan Kampung Kuala Menora.

Bagi pengguna Lebuh Raya Utara Selatan dari Ipoh ke Kuala Kangsar akan melalui Terowong Menora. Kedudukan Terowong Menora terletak di bawah Banjaran Keledang, negeri Perak.

Terowong Menora tidak dapat lari dari pelbagai cerita-cerita mistik, kisah misteri dan cerita seram sama seperti keadaan di Lebuh Raya Karak sejak dibuka kepada pengguna awam.

Oleh kerana terowong ini berada di Banjaran Keledang, keadaan laluan lebuhraya di bawah agak curam dan berselekoh tajam untuk kedua-dua belah arah utara dan selatan.

Lebuh raya ini juga digelar sebagai jajaran maut kerana statistik kemalangan maut yang kerap berlaku di situ sepanjang tahun. Oleh itu, pemandu dinasihatkan agar sentiasa menggunakan gear rendah semasa menuruni selepas melepasi terowong di lebuh raya tersebut.

No comments:

Post a Comment