Manusia
diutuskan oleh Allah ke bumi ini sebagai khalifah, yakni memakmurkan kehidupan
ini berlandaskan perintah ditetapkan oleh-Nya. Termasuk dalam tugas itu ialah mencari rezeki.
Sesungguhnya
suruhan mencari rezeki dan kebahagiaan hidup di dunia banyak dinyatakan dalam
al-Quran dan hadis. Ajaran yang
menghalang orang Islam mengejar kemewahan dan kesenangan hidup sengaja dicipta
oleh pihak yang tidak mahu Islam berkembang dan maju.
Antara
ayat al-Quran yang menyebut mengenai suruhan mencari rezeki ialah ayat 77 surah
al-Qasas bermaksud: “Dan tuntutlah
dengan kurniaan yang telah dilimpahkan Allah kepadamu itu kebahagian hari akhirat dan janganlah engkau
melupakan bahagianmu (keperluan dan bekalan) dari dunia.”
Dalam menjalankan tugas mencari rezeki
hendaklah dilakukan dengan cara halal.
Firman Allah SWT yang bermaksud:
"Dan makanlah daripada rezeki yang diberikan Allah SWT kepada kamu, iaitu
yang halal lagi baik dan bertakwalah kepada Allah SWT yang kepada-Nya sahaja
kamu beriman." (Surah al-Maidah, ayat 88)
Memahami konsep rezeki menurut
pandangan Islam penting kerana ia bukan sahaja membantu untuk lebih dekat
dengan Allah SWT, bahkan dapat mengelakkan kita daripada mengabaikan
tanggungjawab selagi bernafas di dunia ini.
Penting untuk kita sedar, setiap
rezeki itu bukan milik mutlak, sebaliknya ada bahagian yang perlu dibelanjakan
ke jalan Allah SWT dan dikongsi bersama orang lain menerusi pensyariatan zakat
dan amalan bersedekah.
Rezeki dapat dibahagikan kepada tiga
bahagian iaitu kurniaan, yang diusahakan dan boleh hadir dalam bentuk tidak
disangka. Kurniaan adalah segala yang dihadiahkan Allah SWT termasuk nikmat
kesihatan, pancaindera, kegembiraan, keamanan, udara segar dan masyarakat yang
prihatin.
Rezeki yang diusahakan pula adalah
sesuatu yang terikat dengan hukum alam dan berkait rapat ikhtiar manusia,
seperti apabila seseorang itu dahaga dia akan mencari air.
Terdapat juga rezeki yang tidak diduga
dan ia berkait rapat dengan elemen tawakal dan bertakwa kepada Allah SWT.
No comments:
Post a Comment