Friday, 2 February 2018

BANGKIT ATASI MASALAH MURUNG

Wanita mudah terperangkap dalam terowong masalah kesihatan mental. Biarpun berusaha mencari sinar di hujung terowong, keadaan semakin menjadi kelam.

Antara keadaan yang dialami wanita ialah berada dalam keadaan muram, pilu dan sedih, hilang minat untuk melakukan sebarang kerja atau aktiviti, sukar tidur atau terlebih tidur, sentiasa berasa penat dan lemah, hilang selera makan dan sukar memberi tumpuan.

Kemurungan satu masalah mental yang memberi kesan amat negatif ke atas tingkah laku, perasaan dan pemikiran satu-satu individu. Ia satu masalah mental biasa berlaku dalam kalangan orang dewasa.

Berdasarkan kajian Persatuan Pengamal Psikiatri Amerika Syarikat, dianggarkan satu dalam 15 orang dewasa mengalami kemurungan.

Masalah kemurungan ini berbeza dari persepsi masyarakat kerana sebenarnya satu perkara yang boleh diubati. Ia bukanlah satu penyakit terminal yang tiada penawar.

Namun, konotasi negatif dan stigma masyarakat yang membuatkan ramai yang mengalami kemurungan ini, lebih suka berdiam diri dan tidak meminta bantuan membuatkan ia bercambah kepada gejala semakin serius.

Wanita dikatakan lebih terdedah kepada kemurungan berbanding lelaki akibat perubahan hormon badan yang jauh lebih ketara.

Kemurungan pasca kehamilan, akil baligh dan menopaus, iaitu berlakunya ketidakseimbangan dan perubahan hormon dalam tubuh seseorang wanita itu menyebabkan pendedahan kepada kemurungan lebih ketara berbanding lelaki.

Pengurusan stres memainkan peranan penting dalam memastikan wanita itu tidak dilanda kemurungan, tidak seperti zaman dahulu, wanita kini jauh lebih terdedah kepada tekanan kehidupan. Mana tidaknya. Wanita sekarang perlu memainkan peranan menjangkau jauh dari ketetapan tradisi masyarakat.

Wanita bukan sahaja masih perlu memainkan peranan tradisi sebagai seorang isteri, ibu dan pengurus rumah tangga. Kini, mereka juga perlu memikul tanggungjawab bersama dalam mencari rezeki membantu perbelanjaan isi rumah.

Bayangkan tekanan kerja digandingkan pula dengan masalah dan cabaran di rumah dalam menguruskan hal ehwal anak serta perhubungan dengan suami, sudah pasti wanita itu terdedah dengan keadaan stres yang tinggi berbanding generasi sebelumnya.

Di sinilah peranan suami itu amat penting dalam membantu pasangannya menangani stres, seterusnya mengelak berlaku kemurungan dengan berkongsi tugasan atau membantu dalam pengurusan rumah tangga.

Bayangkan betapa sukar dan tinggi tekanan seseorang ibu tunggal itu dalam menghadapi stres yang datang dari kehidupan seharian.

Akibat tekanan kehidupan zaman moden ini yang digandingkan lagi dengan stigma masyarakat, membuatkan ramai wanita gagal dalam mengatasi kemurungan.

Ada yang menerimanya sebagai sebahagian daripada takdir dan nasib kehidupan. Tidak kurang yang boleh bangkit menghadapi cabaran. Semakin tinggi cabran dan tekanan dihadapi, lagi hebat dia menghadapi sehingga lebih berjaya.

Biarpun wanita dipandang lemah, namun pada sisi lain, wanita dilihat lebih tahan diuji dalam menghadapi cabaran. Semangat untuk anak-anak dan membela nasib keluarga memberi vitamin yang cukup kuat untuk wanita bangkit dan menghadapi badai kehidupan.

Secara tuntasnya, kemurungan boleh diatasi melalui semangat untuk bangkit mengubah keadaan. Tetapkan matlamat untuk terus mencari cahaya di hujung terowong.

No comments:

Post a Comment