Monday 19 August 2024

TANDATANGAN LAMBANG IDENTITI DIRI

 
Tandatangan adalah lambang identiti seseorang individu yang digunakan dialam urusan kerja rasmi, transaksi kewangan, karya seni dan sebagainya. Setiap orang mempunyai cara tandatangan yang tersendiri dan terdapat pelbagai cara dan kaedah dalam menciptanya untuk disesuaikan dengan ciri-ciri peribadi seseorang itu.
 
Tandatangan boleh juga dianggap satu seni yang mempunyai keunikan dan nilai estetika yang tersendiri terutama apabila diadun berasaskan kaligrafi atau seni tulisan cantik, sama ada menggunakan tulisan atau aksara Rumi/Latin mahupun Jawi/Arab (seni khat).
 
Pada pertama kali belajar membuat tandatangan, kita pasti melihat contoh tandatangan milik kakak, orang tua, atau guru di sekolah untuk mencari dasarnya. Setelah itu, kita akan terus berlatih hingga mempunyai satu tanda tangan yang menurut kita paling bagus.
 
Menariknya, terkadang tandatangan itu ada yang berubah-ubang mengikut umur. Hal ini wajar kerana sedang mencari jati diri. Perubahan pola berfikir, wawasan dan rujukan baharu memberi gerak hati untuk mengubah bentuk tandatangan sendiri hingga menemukan satu yang kekal sebagai identiti diri.
 
Tandatangan sudah ada sejak ribuan tahun yang lalu. Tepatnya pada tahun 3100 Sebelum Masihi di sebuah permukaan tanah liat yang ada di Mesopotamia. Penemuan lain tentang tandatangan ada di Jepun pada 57 Sebelum Masihi. Ketika itu, bangsa Jepun sudah menggunakan tandatangan “hanko seal” untuk keperluan merasmikan dokumen.
 
Tandatangan dapat dijadikan sebagai bukti bahawa pemiliknya telah melakukan satu persetujuan atau mengesahkan mengenai hal tertentu. Disebabkan tandatangan itu unik, maka ia boleh dianggap mewakili pemiliknya. Dengan kata lain, seseorang boleh menggunakan tandatangan untuk membuktikan pemiliknya sudah menyetujui suatu kesepakatan.
 
Tandatangan juga berfungsi sebagai pembezaan antara seseorang dengan yang lainnya. Kalau hanya mengandalkan nama untuk membuktikan pengesahan suatu dokumen, maka kebenarannya tidak terlalu kuat.
 
Maka itu, perlu ditambahkan tandatangan agar dokumen tersebut tidak tertukar dan memiliki perbezaan dengan yang lain. Sebab tandatangan setiap orang pasti berbeza-beza.

No comments:

Post a Comment