Tuesday 6 August 2024

TRADISI BUAT SURO

 
Mengadakan aktiviti memasak bubur asyura atau dielek Kelantan sebut “buat suro” atau “kacar suro” untuk diagih kepada golongan keluarga, fakir, miskin dan masyarakat setempat telah menjadi adat dan tradisi masyarakat Islam di Malaysia.
 
Ada yang mendakwa bahawa amalan ini disandarkan kepada kisah Nabi Nuh dan umatnya ketika dilanda badai sebagai ibrah dan pedoman, namun kisah ini tidak terdapat nas yang sahih yang dinyatakan dalam al-Quran atau hadis Baginda Nabi SAW dan ia merupakan kisah yang diceritakan oleh ulama sirah.
 
Namun, bukanlah menjadi satu kesalahan sekiranya mengambil iktibar dan pedoman dengan dengan kisah ini, kerana ia merupakan riwayat sirah. Secara asasnya, ulama memberi kelonggaran dalam penerimaan dan penilaian riwayat ini, selagi mana tidak menyentuh soal akidah dan hukum hakam sehingga perlu dinilai dengan satu piawaian yang ketat.
 
Malah adat yang diamalkan oleh masyarakat Islam di Malaysia tidaklah bertentangan dengan syarak, bahkan ia merupakan perkara yang terpuji kerana tujuan majlis pada hari tersebut disertakan dengan buat suro secara beramai-ramai dapat mengeratkan tautan silaturrahim di samping dapat membudayakan amalan sedekah dalam kalangan masyarakat.
 
Hari Asyura atau hari kesepuluh bulan Muharam merupakan tarikh penting dan bersejarah kepada umat Islam. Malah pada hari tersebut juga disunatkan bagi umat Islam berpuasa bagi menunjukkan rasa syukur kepada Allah SWT.
 
Pada hari Asyura juga terdapat pelbagai peristiwa besar yang berlaku di masa lampau seperti peristiwa penciptaan langit dan bumi, bulan dan bintang, begitu juga diciptakan pada hari Asyura al-Arasy dan al-Kursi serta syurga.
 
Amalan tradisi memasak bubur Asyura pada hari kesepuluh Muharam dalam kalangan masyarakat melayu boleh disandarkan kepada kisah Nabi Nuh AS dan umatnya ketika dilanda badai sebagai ibrah dan pedoman.
 
Oleh kerana mereka dalam keadaan yang sangat lapar, Baginda Nuh AS memerintah pengikutnya supaya menghimpunkan segala makanan yang tersisa untuk dimasak dan dijadikan makanan. Setelah selesai menghimpun dan memasaknya, lalu mereka makan sehinggalah kekenyangan.
 
Kisah ini dinukilkan Syeikh Nawawi al-Bantani dalam kitabnya: “Diceritakan bahawa Nabi Nuh AS ketika kapalnya berlabuh setelah menghadapi badai pada hari Asyura, lalu Baginda memerintahkan kepada pengikutnya, “Himpunkanlah sesiapa di antara kalian yang memiliki lebihan makan”, kemudian mereka datang membawanya, “Ini segenggam daripada kacang al-Baqila’, iaitu kacang ful dan ini segenggam daripada kacang al-Adas dan ini beras dan ini tepung dan dan Hintha”. Lalu Baginda bersabda, “Masaklah kesemuanya, sesungguhnya kalian sudah mendapat kebahagiaan dan kesejahteraan”.
 
Berdasarkan kisah ini, maka manusia mengambil bijirin sebagai salah satu sumber makanan untuk dimasak. Bahkan ia merupakan masakan pertama yang dimasak di atas muka bumi setelah kejadian taufan yang melanda muka bumi sehingga ia diambil dan dijadikan sebagai tradisi yang dilakukan pada hari asyura sehingga ke hari ini. 
 
Namun begitu, kisah ini tidak dapat dipastikan daripada sumber sirah yang muktabar dan sumber asalnya. Perkara ini hanya adat sesetengah masyarakat Islam seperti yang dinyatakan oleh Syeikh Nawawi al-Bantani, kata beliau: “Berdasarkan peristiwa ini, maka kaum muslimin mengambil bijirin sebagai makanan. Peristiwa ini juga menggambarkan bahawa masakan yang pertama dimasak di atas muka bumi ini selepas dilanda taufan. Oleh itu ia diambil sebagai adat pada setiap hari Asyura. 
 
Sumber - https://www.muftiwp.gov.my/en/artikel/irsyad-fatwa/irsyad-fatwa-umum-cat/5705-irsyad-al-fatwa-siri-ke-790-penjelasan-berkenaan-tradisi-memasak-bubur-asyura-dalam-kalangan-masyarakat-islam-nusantara  


No comments:

Post a Comment