Monday 2 September 2024

TIADA AGAMA MENGATAKAN JUDI AMALAN BAIK

 
Menurut Kamus Dewan, judi diertikan sebagai permainan dengan memakai wang dan lain-lain sebagai taruhan (seperti main ceki, main dadu, dan sebagainya).
 
Judi dalam bahasa Arab dikenali sebagai al-maisir atau al-qimar. Ia bermaksud permainan pertaruhan golongan Arab dengan menggunakan anak panah. Permainan judi juga ditakrifkan sebagai permainan dengan anak batu, atau dengan dadu atau segala jenis pertaruhan.
 
Di dalam al-Mu’jam al-Wasith, judi disebut sebagai setiap permainan yang mengandungi pertaruhan dari kedua belah pihak. (Lihat al-Mu’jam al-Wasith, hlm. 7589)
 
Dari segi istilah, terdapat beberapa takrifan yang dikemukakan oleh para ulama antaranya:
Ibn Hajar al-Haitami menyebut judi adalah merujuk kepada sebarang jenis pertaruhan. (Lihat al-Zawajir 'an Iqtiraf al-Kaba'ir, 2/200)
 
Manakala, Al-Mahalli mengatakan judi adalah sebuah bentuk pertaruhan yang diharamkan, yang terdedah untuk menang atau kalah. (Lihat Syarh al-Minhaj, 4/226)
 
Al-Mawardi pula menyebut judi ialah suatu pertandingan yang menjadikan pihak yang terlibat tidak terlepas daripada menjadi pemenang (mengambil) atau tewas (menyerahkan) hadiah yang dipertaruhkan. (Lihat al-Hawi al-Kabir, 13/379)
 
Daripada takrifan yang dikemukakan oleh para ulama di atas, maka dapat kita fahami bahawa judi ialah satu permainan yang mengandungi pertaruhan daripada pihak bertanding di mana ia mengakibatkan kemenangan pada sebelah pihak manakala pihak yang lain mengalami kerugian.
 
Judi tak ada kena mengena dengan mana-mana agama pun. Bahkan semua agama yang ada tidak iktiraf berjudi sebagai hak atau amalan penganutnya.
 
Agama Islam dengan tegas mengharamkan judi kerana keburukan akibatnya. Firman Allah SWT bermaksud: “Mereka bertanya kepadamu (Wahai Muhammad) mengenai arak dan judi. Katakanlah: "Pada keduanya ada dosa besar dan ada pula beberapa manfaat bagi manusia tetapi dosa keduanya lebih besar daripada manfaatnya” (Surah al-Baqarah, ayat 219)
 
Judi adalah aktiviti hitam dalam sektor perekonomian sesebuah negeri dan negara, sama seperti aktiviti pelacuran. Sebagaimana pelacuran tidak pernah dianggap sebagai hak orang bukan Islam, maka begitulah juga judi.
 
Firman Allah SWT bermaksud: “Wahai orang-orang yang beriman! Bahawa sesungguhnya arak, dan judi, dan pemujaan berhala, dan mengundi nasib dengan batang-batang anak panah, adalah (semuanya) kotor (keji) dari perbuatan Syaitan. Oleh itu hendaklah kamu menjauhinya supaya kamu berjaya.” (Surah al-Maidah, ayat 90)
 
Sebenarnya, tiada orang bukan Islam menuntut hak untuk berjudi atas dasar agama. Maknanya, tiada agama yang menjadikan amalan berjudi sebagai suruhan atau perkara baik di sisi agama.
 
Yang menuntut hak untuk judi dapat beroperasi adalah tauke dan syarikat judi. Tauke-tauke dan syarikat judi adalah pihak yang mengaut keuntungan ke atas kebodohan para pelanggannya yang berjudi.
 
Kadar untuk pelanggan judi mengalami kerugian adalah 99 peratus. Manakala peluang untuk tauke judi untung adalah 99 peratus. Sebab itu banyak individu bermain judi menjadi miskin dan tauke juga pula menjadi kaya raya.
 
Kesan kepada kerugian akibat kalah judi sangat buruk, sehingga boleh merosakkan rumah tangga, struktur sosial, jenayah dan sebagainya. Keburukan kesan judi jauh lebih besar kepada rakyat dan masyarakat, sedangkan tauke-tauke judi tidak peduli sedikit pun.
 
Maka langkah paling tepat untuk mengurangkan jenayah dan ketidak harmonian rumah tangga dalam kalangan rakyat, salah satunya adalah membanteras judi.

No comments:

Post a Comment