Wednesday 31 July 2024

KAMPUNG KUALA SAT, DESTINASI EKOPELANCONGAN

 
Kampung Kuala Sat, mukim Hulu Tembeling, Jerantut, Pahang kini menjadi destinasi menggamit pengunjung antarabangsa dan pelawat domestik menerusi bidang ekopelancongan berasaskan alam sekitar dan budaya tempatan.
 
Ini kerana berdekatan penempatan Melayu Pahang di pesisir Sungai Tembeling itu terdapat hutan kekal Taman Negara berusia 130 juta tahun yang masih terpulihara khazanah flora dan fauna yang unik berbanding di tempat lain.
 
Pengunjung juga akan teruja kerana dapat bermain dengan ikan liar seperti ikan kelah dan spesies lain yang jinak di santuari Sungai Sat (anak Sungai Tembeling).
 
Habitat ikan liar berenang di aliran sungai itu menjadi tarikan pengunjung menerusi aktiviti safari sungai iaitu berakit, berperahu getah, 'tubing' dan berenang di Sungai Sat sambil menangkap spesies liar.
 
Kemudahan chalet untuk menginap juga disediakan oleh pengusaha pelancongan 'Sat Expeditions' yang diuruskan oleh beberapa orang belia Kuala Sat.
 
Mana-mana pengunjung yang berminat untuk berkhemah dan berkelah terdapat sebuah kawasan juga disediakan di pinggir Sungai Sat.
 
Antara pengalaman menarik jika anda berkunjung ke Kampung Kuala Sat ialah berpeluang melihat secara dekat dan mengenali penduduk Orang Asli suku Batek yang mendiami kawasan tersebut.
 
Anda berpeluang melawat ke penempatan mereka yang kaya dengan adat resam serta kesenian yang diwarisi turun-menurun dan masih diamalkan sehingga ke hari ini.

No comments:

Post a Comment