Tuesday 31 July 2018

BERSIHKAN HATI ELAK PERBUATAN PUNCA BENCANA

Hati adalah organ paling utama dalam tubuh manusia dan nikmat paling agung diberikan oleh Allah sebagai titik untuk menilai keikhlasan. Di hati lahirnya niat yang menjadi penentu sesuatu amalan diterima sebagai pahala atau sebaliknya.

Oleh itu, hati perlu dijaga dan dipelihara dengan baik agar tidak rosak, sakit, buta, keras dan lebih-lebih lagi tidak mati bagi mengelak penyakit masyarakat yang berpunca daripada hati. Kerosakan pada hati membawa kepada kerosakan seluruh nilai hidup pada diri seseorang individu.

Satu penyakit hati yang menyerang kebanyakan daripada kita ialah penyakit fitnah, sama ada menjadi penyebar ataupun mudah mempercayai fitnah. Perbuatan fitnah adalah sebahagian perbuatan mengadu-domba yang mudah menyebabkan permusuhan dua pihak yang dikaitkan dengan fitnah berkenaan. 

Masyarakat yang dipenuhi budaya fitnah akan hidup dalam keadaan gawat.  Sebelah pihak sibuk menyebarkan fitnah dan sebelah pihak lagi terpaksa berusaha menangkis fitnah itu. Natijah akibat perbuatan tersebut boleh tercetusnya persengketaan dan mungkin berakhir dengan tragedi kerugian harta benda dan nyawa. 

Individu yang suka menyebar fitnah sentiasa mencari kejadian atau berita yang boleh dijadikan bahan fitnah. Dengan sedikit matlumat, berita itu terus disebarkan melalui pelbagai medium yang merebak dengan mudah. Berita sensasi terutama yang berkaitan dengan individu ternama dan selebriti mudah mendapat perhatian khalayak.

Justeru, Allah memberi peringatan tentang bahaya fitnah. Firman-Nya dalam surah al-Baqarah ayat 191 bermaksud: “Dan fitnah itu lebih besar bahayanya daripada pembunuhannya.”

Apabila fitnah tersebar secara berleluasa bermakna nilai-nilai agama telah musnah dalam diri seseorang atau masyarakat. Sebab itu, Islam bertegas tidak membenarkan sebarang bentuk fitnah biarpun untuk tujuan apa sekalipun. 

Rasulullah bersabda bermaksud: “Akan muncul suatu ketika di mana ilmu Islam dihapuskan, muncul pelbagai fitnah, berleluasa sifat kedekut dan banyak berlaku jenayah” (Hadis riwayat Muslim).

Penyebaran fitnah mudah berlaku dalam era teknologi komunikasi moden sekarang. Teknologi yang sepatutnya digunakan untuk kebaikan telah disalahgunakan untuk menyebarkan fitnah.

Islam mempunyai kaedah ketat bagi memastikan kebenaran sesuatu berita agar tidak terperangkap dengan berita berunsur fitnah. Wajib bagi orang Muslim menghalusi setiap berita yang diterima agar tidak terlibat dalam kancah berita berunsur fitnah.

Sebarang berita yang diterima perlu dipastikan kesahihannya. Kebijaksanaan dan kewarasan fikiran amat penting digunakan bagi memastikan tidak terpedaya dengan berita berunsur fitnah.     

Firman Allah dalam surah al-Hujurat, ayat 6 bermaksud: “Wahai orang yang beriman, jika datang kepada kamu seorang fasik membawa sesuatu berita, maka selidikilah (untuk menentukan) kebenarannya, supaya kamu tidak menimpakan sesuatu kaum dengan perkara tidak diingini, dengan sebab kejahilan kamu (mengenainya) sehingga menyebabkan kamu menyesali perkara yang kamu lakukan.”

Banyak pihak yang turut terlibat menyebar fitnah sebenarnya tidak mempunyai apa-apa kepentingan berkaitannya. Tetapi, disebabkan amalan menyebar fitnah telah menjadi kebiasaan, banyak orang yang turut menyertainya dan seperti mendapat kepuasan daripada perbuatan itu.

Fitnah biasanya disebarkan bertujuan memburuk-burukan individu atau kumpulan. Pada masa yang sama perbuatan tersebut dapat menonjolkan dirinya sebagai lebih baik dan lebih layak berbanding orang diburuk-burukkan itu.

Dosa membuat fitnah digolongkan sebagai dosa sesama manusia. Justeru, dosa tersebut tidak akan diampunkan oleh Allah, melainkan orang yang difitnahkan itu memberi keampunan terhadap perbuatan itu.

Mungkin ramai menyangka perbuatan menyebarkan berita fitnah sekadar satu kesalahan kecil. Sebab itu, perbuatan itu dilakukan seperti tiada apa yang merugikan. 

Hakikatnya, dosa membuat fitnah menjauhkan diri dari syurga. Sabda Rasulullah bermaksud: “Tidak masuk syurga orang yang suka menyebarkan fitnah” (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim).

Dosa menyebar fitnah diumpakan api membakar ranting kering di mana amat cepat merebak dan akan menjadi abu sepenuhnya. Dosa menyebar fitnah menyebabkan pahala-pahala terdahulu dihilangkan sehinggakan penyebar fitnah akan menjadi muflis di akhirat nanti. 

Penyebar khabar angin biasanya menyebut perkataan ‘dengar khabar’ mengenai berita yang disebarkan. Bagaimanapun, apabila berita tersebar daripada seorang ke seorang, maklumat bahawa berita itu belum sahih telah hilang dan kemudian disebarkan seperti satu berita benar.

Dalam Islam, sesuatu berita benar tetap tidak boleh disebarkan jika orang berkenaan dengan cerita tersebut tidak mahu ia disebarkan kepada orang lain. Menyebarkan berita benar tetap dilarang, inikan pula menyebarkan berita tidak benar.

Iman Ghazali dalam buku Ihya Ulumuddin menjelaskan perbuatan membocorkan rahsia orang lain dan menjejaskan kehormatannya dengan cara membuka rahsianya yang tidak mahu diketahui orang lain dianggap sebagai perbuatan mengadu-domba dan fitnah. 

Tentang berita benar dan berita tidak benar yang disebarkan tanpa kebenaran atau kerelaan orang berkaitan dengan cerita berkenaan dijelaskan dalam sebuah sabda Rasulullah diriwayatkan oleh Abu Hurairah bermaksud: “Adakah kamu semua mengetahui apakah ghibah (mengumpat)?

Para sahabat menjawab, Allah dan Rasul-Nya lebih mengetahui.  Lalu Baginda meneruskan sabdanya: “Kamu berkata mengenai saudara kamu perkara yang tidak disenanginya.” Lalu ditanya oleh seorang sahabat: “Walaupun saya berkata perkara yang benar-benar berlaku pada dirinya?”

Rasulullah bersabda lanjut: “Jika kamu berkata tentang perkara yang benar-benar berlaku pada dirinya bererti kamu mengumpatnya, jika perkara yang tidak berlaku pada dirinya bererti kamu menfitnahnya.”

Larangan mencari dan membocorkan rahsia orang lain jelas dilarang oleh Allah seperti dijelaskan dalam firman-Nya bermaksud: “Dan janganlah kamu mengintip atau mencari-cari kesalahan dan keaiban orang lain” (Surah al-Hujurat, ayat 12).

Justeru itu setiap Muslim perlu bijak menilai sesuatu berita bagi mengelak daripada menerima dan kemudian menyebarkan sesuatu berita berunsur fitnah. 

Perkara pertama perlu diberi perhatian untuk memastikan kesahihan berita ialah memastikan daripada mana sumber berita itu, yakni siapakah yang mula menyebarkan berita dan rantaian orang yang membawa berita tersebut.  

Umat Islam tentu tidak lupa pada sejarah menyebabkan kematian khalifah ketiga kerajaan Islam di Madinah iaitu Uthman Affan, yang berpunca daripada api fitnah yang disebarkan oleh kumpulan ekstremis agama. 

Penyebaran fitnah turut menjadi penyebab kepada beberapa siri peperangan sesama Islam atau perang saudara semasa zaman pemerintahan Saidina Ali dan zaman-zaman selepas itu. Akibat fitnah juga telah meruntuhkan kekuatan Bani Umaiyah. Malah, sejarah kejatuhan empayar besar Kerajaan Melayu Melaka tidak terkecuali akibat fitnah.

Ubat bagi penyakit hati ialah dengan memperbanyakkan taubat dan selalu berzikir. Taubat dan zikir membersihkan hati dan mendekatkan diri dengan Allah. Sesiapa yang dirinya hampir dengan Allah, maka dijauhkan olehnya segala perbuatan yang dilarang, lebih-lebih lagi menyebarkan fitnah yang merupakan dosa besar.

No comments:

Post a Comment