Tuesday 31 July 2018

FITNAH PUNCA PERPECAHAN MASYARAKAT

Perbuatan fitnah-memfitnah membayangi masyarakat akhir-akhir ini. Hal ini bertepatan dengan sabda Rasulullah SAW bermaksud: “Akan muncul suatu ketika yang mana ilmu Islam dihapuskan, muncul pelbagai fitnah, berleluasanya sifat kedekut dan banyak berlaku jenayah.” (Hadis riwayat Muslim)

Fitnah, sengaja mengadakan keburukan dan kekurangan, menokok tambah keaiban serta kelemahan orang atau memalsukan kebaikan sehingga menjadi keburukan.

Fitnah adalah perbuatan tercela dan dilarang keras. Firman Allah SWT bermaksud: “Fitnah itu lebih besar bahayanya daripada pembunuhan.” (Surah al-Baqarah, ayat 191)

Disebabkan terlalu banyak perkara palsu serta pembohongan dalam fitnah itu, pembuat fitnah biasanya menyembunyikan dirinya supaya tidak diketahui orang kerana ia tidak mahu bertanggungjawab dan menyedari perbuatannya itu adalah palsu belaka.

Pembuat fitnah tidak berjaya jika tidak dibantu oleh orang yang menyebarkannya. Sebab itulah kedudukan pembuat fitnah dan penyebarnya adalah sama, mereka akan dimasukkan ke dalam neraka.

Diriwayatkan daripada Abu Hurairah bahawa pada malam Israk dan Mikraj, Rasulullah SAW diperlihatkan dengan sekumpulan manusia yang sedang menggunting lidah dan bibir mulut mereka dengan gunting. Baginda SAW bertanya kepada Jibril: “Siapakah mereka itu? Jibril menjawab: Mereka adalah penyebar fitnah.” (Hadis riwayat al-Tabrani)

Lazimnya perbuatan memfitnah ini berlaku akibat didorong perasaan tamak, iri hati dan mementing diri sendiri. Selain itu, ia juga boleh berlaku jika seseorang itu lebih mengutamakan kedudukan dan keduniaan melebihi kepentingan agama.

Implikasi fitnah lebih dahsyat daripada membunuh. Membunuh hanya membabitkan orang tertentu dan akan berakhir pada masa tertentu, tetapi fitnah boleh menjatuhkan maruah seseorang dan seterusnya menimbulkan perpecahan, perbalahan dalam jangka masa panjang dan sukar disekat.

Orang yang difitnah itu akan mempertahankan dirinya dan apabila tahap kesabarannya mula hilang, ia menyebabkan seseorang itu bertindak dengan lebih agresif dan di luar batas kemanusiaan. Oleh sebab itulah Allah melarang keras perbuatan fitnah-memfitnah ini.

Diceritakan kononnya pada zaman dulu ada seorang lelaki kaya pergi ke pekan dengan tujuan hendak membeli seorang hamba. Kemudian ditawarkan kepadanya seorang hamba lelaki yang tiada sebarang kecacatan kecuali ia gemar memfitnah. Oleh kerana lelaki itu menganggap memfitnah sesuatu yang ringan dan remeh, maka ia bersetuju membeli hamba lelaki itu.

Selepas agak lama berada di rumah majikannya, hamba itu mulalah berkata kepada isteri majikan bahawa suaminya ingin berkahwin lagi. Lalu hamba itu pun mencadangkan isteri majikan cepat-cepat menggagalkan perkahwinan itu dengan ubat guna-guna, iaitu mengambil beberapa helai bulu roma di leher suaminya.

Cara mengambilnya pula harus dengan menggunakan pisau yang tajam supaya tidak terasa sakit ketika suaminya tidur. Oleh kerana si isteri ini benar-benar percaya lantas ia berusaha mendapatkan pisau yang tajam.

Kemudian hamba itu pergi memberitahu tuannya dengan berkata isterimu akan membunuhmu sewaktu kamu sedang tidur, kerana itu tuan diharap berhati-hati dan perkara ini boleh dibuktikan dengan berpura-pura tidur.

Maka benarlah ketika si suami berpura-pura tidur, tiba-tiba si isteri datang membawa pisau yang tajam, dan ketika memegang leher suaminya, si suami segera bangun, merampas pisau daripada tangan isterinya lalu terus membunuhnya. Keesokan harinya keluarga si isteri menuntut bela atas kematian itu dengan berbunuhan antara kedua-dua belah pihak.

Kisah itu memberi dua pengajaran penting. Pertama, fitnah tidak boleh dianggap suatu perkara yang ringan dan remeh, kerana boleh menimbulkan perpecahan, perbalahan, kemusnahan harta dan nyawa dalam masyarakat. Kedua, perlu menilai terlebih dulu kesahihan berita di sampaikan oleh seseorang.

Sebenarnya untuk menilai kesahihan dan kebenaran sesuatu berita yang disebarkan, al-Quran sudah meletakkan garis panduan. Ada beberapa ayat al-Quran dapat dijadikan panduan dalam perkara ini.

Antaranya firman Allah bermaksud, “Wahai orang beriman, jika datang kepada kamu seorang fasik membawa sesuatu berita, maka selidikilah (untuk menentukan) kebenarannya, supaya kamu tidak menimpakan sesuatu kaum dengan perkara yang tidak diingini dengan sebab kejahilan kamu (mengenainya) sehingga menyebabkan kamu menyesali perkara yang kamu lakukan.” (Surah al-Hujurat, ayat 6)

Allah sudah memberi peringatan dan tunjuk ajar kepada semua umat Islam supaya menyelidiki terlebih dulu berita disampaikan orang tertentu kepada mereka. Tidak kira sama ada berita itu disampaikan secara lisan, melalui media cetak atau elektronik.

No comments:

Post a Comment