Thursday, 7 June 2018

KEROPOK LEKOR LOSONG

Keropok lekor losong cukup terkenal di Terengganu. Keropok lekor sejenis keropok 'lingkar' atau disebut lekor dalam dialek Terengganu. Losong merupakan satu nama tempat di pinggir bandar Kuala Terengganu. Jadi, keropok lekor losong adalah keropok lekor berasal dari Kampung Losong. Pengusaha keropok lekor di Losong berjaya menarik ramai peminat sehingga ia terkenal di seluruh negara. 

Pada masa dulu, sesiapa yang melawat Kuala Terengganu dan pulang tanpa membawa buah tangan berupa keropok lekor losong diumpamakan seperti belum melawat Kuala Terengganu.  

Akibat jenama yang terkenal itu, sekarang ini nama keropok lekor losong digunakan oleh hampir semua pengusaha keropok lekor tidak kira di mana perniagaan itu dijalankan. Bahkan, ada pengusaha yang mengaku mengambil keropok lekor itu terus dari Losong.

Dengan kata lain, sesiapa yang ingin menikmati citarasa keropok lekor losong tidak perlu pergi ke Losong atau Terengganu. Sebaliknya, keropok lekor losong kini terdapat di Kota Bharu dan hampir di semua tempat di Kelantan. Bahkan di Kampung Pachakan, Pasir Putih kini terdapat lebih 10 pengusaha keropok lekor losong.
 
Tidak dinafikan, keropok lekor losong yang dibuat di tempat lain tetap mempunyai citarasa seperti keropok lekor yang dihasilkan di Losong. Ramai pengusaha keropok losong pernah bekerja di Losong dan mendapat resipi itu dan kemudian membuka kedai sendiri.

Bagaimanapun, keropok lekor losong di tempat lain tidak menggunakan kosep rangkaian perniagaan seperti jenama makanan segera atau francais di mana pemilik asal mendapat komisyen atau bayaran khas atas penggunaan nama, menu dan beberapa kemudahan lain.

Dengan kata lain, sesiapa saja yang mengusahakan perniagaan keropok lekor boleh menggunakan perkataan 'losong' tanpa perlu mendapat kebenaran atau membayar kepada mana-mana pihak. Setiap peniaga juga tidak mempunyai hubungan langsung di antara satu sama lain, melainkan menggunakan satu konsep nama yang sama saja.

No comments:

Post a Comment