Saturday 9 June 2018

PERHIASAN EMAS HANYA UNTUK WANITA

Islam menggalakkan agar umatnya menghias diri agar kelihatan cantik, bersih dan senang dipandang oleh orang lain. Hal ini dapat dicontohi daripada sikap Rasulullah SAW yang suka berhias dan bersyukur atas kurniaan Allah menjadikan pakaian sebagai satu bentuk perhiasan.

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Segala puji bagi Allah yang memberi pakaian ini kepadaku untuk menutup auratku, dan aku akan berhias diri dengannya selama hidupku.” (Hadis riwayat Tarmizi).

Dalam hal ini, Islam memberi kebebasan kepada umatnya untuk memilih apa yang dikehendaki berkaitan fesyen pakaian. Tidak ada ketetapkan mengenai fesyen yang perlu dipakai oleh umat Islam. 

Namun, tidak pula kebebasan itu bersifat mutlak yang tidak ada garis panduan. Islam telah menetapkan garis panduan cara berpakaian, apa yang boleh dan perkara yang diharamkan. Ketetapan ini ada hikmah di sebaliknya.

Pakaian adalah sebahagian nikmat yang Allah berikan kepada manusia. Anugerah pakaian amat besar maknanya yang membuktikan keistimewaan manusia. Tidak ada makhluk lain yang memerlukan pakaian sebagai perhiasan.

Firman Allah bermaksud: “Hai anak Adam! Sesungguhnya Kami turunkan ke atas kamu pakaian untuk menutup aurat dan pakaian untuk perhaisan. Dan pakaian takwa itulah paling baik. Semua itu adalah antara sekian banyak tanda (kurniaan Allah), supaya mereka ingat (akan kurniaan-Nya)” (Surah al-Araf, ayat 26)

Antara batasan yang ditetapkan syariat berkaitan pakaian dan perhiasan, hendaklah tidak menunjukkan kesombongan, tidak riak, hendaklah menutup aurat dan melambangkan jantina pemakainya (yakni perempuan ditegah memakai pakaian menyerupai apa yang dipakai lelaki dan sebaliknya).

Tegahan lain yang khusus untuk lelaki ialah diharamkan memakai perhiasan daripada emas dan pakaian daripada daripada sutera. 

Al-Bara meriwayatkan, katanya yang bermaksud: “Rasulullah SAW menyuruh kami tujuh perkara dan melarang kami daripada tujuh perkara. Baginda menyuruh kami mengikuti jenazah, melawat orang sakit, menghadiri jemputan, menolong orang yang teraniaya, membenarkan sumpah, menjawab salam, menjawab dan berdoa kepada orang yang bersin. Dan Rasulullah SAW melarang tujuh perkara; baginda melarang kami dari (makan/minum) dalam bekas perak, cicin emas, sutera, dibaj (sutera bergambar), qissi (sutera campur kapas) dan sutera tebal.” (Riwayat Bukhari).

Larangan lelaki menggunakan emas sebagai perhiasan termasuk juga bahan yang dibuat menggunakan campuran emas atau pancalogam seperti suasa yang terbentuk hasil campuran emas dan tembaga. Ini kerana pencampuran itu tidak menghilangkan struktur asal emas yang boleh diasingkan kembali untuk membentuk emas asal.

Larangan lelaki memakai emas antara lain bertujuan untuk membezakan antara perhiasan perempuan dengan lelaki. Perempuan begitu sukakan emas dan menjadi perhiasan paling berharga bagi mereka. Sekiranya lelaki dibenarkan memakai emas, sudah tentu di antara suami dan isteri, suami akan lebih bersifat monopoli untuk memakainya.   

Untuk mengelak ‘konflik’ lelaki dan perempuan dalam merebut emas, maka emas dilarang dipakai oleh lelaki. Hukum ini bukan satu diskriminasi terhadap lelaki. Sebaliknya, ia memberi maksud yang tersirat dan tersurat.

Penghormatan perempuan boleh memakai emas membuktikan Islam tidak menghalang perempuan daripada berhias, selagi tidak melampau batasan syariat.  

No comments:

Post a Comment