Saturday 17 February 2018

KURSUS URUS JENAZAH


Menguruskan jenazah bermula dari memandikan, menyembahyankan dan mengebumikan adalah fardu kifayah, yakni mesti dilakukan oleh individu atau kumpulan tertentu. 

Jika fardu kifayah tidak dilaksanakan, maka seluruh ahli masyarakat akan menanggung dosa sehinggalah urusan itu diselesaikan sebaiknya sepertimana yang dituntut oleh agama. 

Sekarang ini bilangan mereka yang mahir atau sanggup melakukan tugas itu semakin berkurangan, terutama tugas memandikan jenazah. Generasi tua yang dulunya melakukan tugas itu telah banyak yang uzur dan meninggal dunia.  Sedangkan, generasi muda pula tidak berminat untuk mempelajari kemahiran itu.

Justeru, amat wajar dianjurkan kursus pengurusan jenazah diadakan bertujuan memberi pendedahan kepada generasi muda agar dapat mengetahui dan memahami panduan asas untuk menguruskan jenazah. 

Diharapkan apabila mengetahui panduan asas, mereka dapat membantu dalam pengurusan jenazah apabila ada ahli keluarga sendiri yang meninggal dunia.

Apabila telah biasa dengan tugas itu dan boleh dianggap 'mahir' mengendalikan tugas fardu kifayah itu, pada masa depan mereka sendiri pula dapat mengetuai tugas mengurus jenazah.

Banyak kes kematian di mana ahli keluarga tidak mempunyai pengetahuan langsung mengenai pengurusan jenazah tidak melakukan langkah awalan yang sepatutnya apabila seseorang meninggal dunia.

Sebaiknya, apabila seseorang meninggal dunia, jenazahnya diuruskan dahulu oleh ahli keluarga seperti menanggalkan pakaian, membersihkan badan, meletakkan di tempat yang bersih, meletakkan kedudukan tangan jenazah seperti sedang sembahyang dan beberapa keperluan lain.

Pengurusan jenazah peringkat awal penting bagi memastikan jenazah dalam keadaan 'baik' dan 'selesa' serta dalam keadaan tertentu tidak akan menimbulkan fitnah. Ada jenazah dibiarkan dalam keadaan ketika mula menghembuskan nafas terakhir hinggalah ketibaan pengurus jenazah. Ada kala ia mengambil masa beberapa jam selepas itu.

Diharapkan dengan adanya kursus atau pendedahan asas mengenai pengurusan jenazah, sedikit sebanyak mereka dapat mengendalikan jenazah pada peringkat awal kematian dan seterusnya membantu pengurus jenazah dalam urusan seterusnya.

Sekarang ini untuk mencari mereka yang benar-benar mahir dalam pengurasan jenazah amat kurang.  Adakalanya terpaksa mencari atau mendapatkan pengurus jenazah dari kawasan luar.

Sebenarnya, untuk menguruskan jenazah bukan sukar sangat, hanya memerlukan sedikit kemahiran dan pengalaman. Tetapi yang lebih penting diamalkan oleh pengurus jenazah ialah sikap ikhlas dan amanah dalam menjalankan tanggungjawab yang penting itu.

Seiapa yang terlibat dalam pengurusan jenazah mesti 'bisu' dan 'pekak', yakni tidak akan menceritakan apa-apa rahsia atau sesuatu mengenai jenazah yang diketahuinya semasa menguruskan jenazah itu, terutama yang berkaitan perkara buruk dan mengaibkan.

Hanya mereka yang ikhlas dan amanah saja dapat menjadi seorang pengurus jenazah yang baik dan dapat kekal lama dalam menjalankan tugas itu.

No comments:

Post a Comment