Wednesday, 11 November 2026

BUKIT LARUT STESEN BUKIT TERTUA DI MALAYSIA

 
Bukti Larut stesen bukit tertua di Malaysia.

Bukit Larut dahulunya dikenali sebagai Maxwell Hill) ialah stesen bukit tertua di Malaysia, terletak kira-kira 10 km dari bandar Taiping, Perak. Kaki Bukit Larut hanya kira-kira satu kilometer sahaja dari bandar Taiping.

Residen British pertama di Perak, J.W.W. Birch  dipercayai merupakan orang Inggeris pertama yang berjaya mendaki bukit ini pada tahun 1875.

Penolong Residen British di Larut, William Edward Maxwell merupakan individu yang mula meneroka dan membangunkan kawasan ini pada tahun 1884. Nama Bukit Maxwell adalah diambil sempena nama beliau.  

Nama Bukit Maxwell ditukar kepada nama Bukit Larut dilakukan pada tahun 1979.

Fungsi asal Bukit Larut dibangunkan oleh pihak pentadbiran British sebagai tempat peranginan dan persinggahan untuk pegawai-pegawai kolonial melepaskan diri daripada cuaca panas tropika.

Pada tahun 1887, satu kebun teh perintis dibuka di sini dengan kos RM3,600 sebelum usahanya kemudian dipindahkan ke Cameron Highlands.

Dari kaki bukit terdapat jalan tar sehingga puncak. Pada awalnya, laluan sepanjang kira-kira 10 kilometer itu dengan 72 selekoh tajam pada awalnya hanya boleh diakses dengan berjalan kaki, menunggang kuda atau diusung menggunakan tandu.

Sebahagian daripada jalan puncak kemudiannya diperluas atau dibina pada zaman pendudukan Jepun.

Terletak pada ketinggian 1,250 meter dari aras laut, puncak Bukit Larut merupakan antara tempat paling basah di Malaysia dengan taburan hujan tahunan yang tinggi, sehingga kira-kira 5,800 mm setahun.

Suhu di puncak antara 15°C hingga 25°C pada waktu siang.

Bukit Larut menjadi lokasi untuk melakukan kembara berjalan kaki (hiking). Pengembara boleh memilih laluan bertar atau mengikut laluan semula jadi.

Pengembara yang menjadikan Bukit Larut untuk kembara berjalan kaki biasanya tidak meneruskan ke puncak, sebaliknya hanya sampai ke titik pemeriksaan tertentu sahaja dan berpatah turun.

Bagaimanapun, terdapat pengembara yang tegar akan kembara sehingga ke puncak. Masa untuk sampai ke puncak biasanya tiga hingga empat jam mengikut kepantasan pergerakan dan kemampuan pengembara.

Selain kembara berjalan kaki untuk ke puncak, terdapat perkhidmatan kenderaan empat roda untuk membawa penumpang ke punca dengan bayaran yang ditetapkan. Bayaran ditetapkan untuk sehala.

Pengunjung boleh berada di punca selama yang diingini. Di puncak ada penginapan yang boleh disewa.   

TAIPING DESTINASI PELANCONGAN WARISAN

 

Bandar Taiping destinasi pelancongan warisan.

Bandar Taiping bermula sebagai sebuah pekan kecil bijih timah pada tahun 1877 hingga menjadi ibu negeri pertama Perak. Sekarang ia masih tetap unggul dengan ciri-ciri sejarahnya sehingga dikenali sebagai Bandar Warisan.

Di Taiping terdapat banyak perkara "pertama" dan terawal di Malaysia. Antara binaan yang pertama seumpamanya didirikan di Malaysia iaitu bangunan pentadbiran kerajaan (1881), pejabat pos dan telegraf (1877), stesen kereta api yang pertama (1884), Charted Bank (1888) dan Penjara Taiping (1879).

Bangunan awal lain ialah hospital awam (1880), Mess Pegawai British (1879), Masjid Melayu (1897), Muzium Perak (1883), padang golf (1885- yang pertama di Tanah Melayu), rumah rehat (1894), menara jam (1890 yang pertama di Tanah Melayu) serta lapangan terbang (1929) yang pertama di Semenanjung Tanah Melayu.

Setiap bangunan warisan ini menjadikan Taiping bandar warisan yang sangat unik, malah signifikan lagi penting dalam sejarah awal perkembangan Malaysia kepada sebuah negara seperti hari ini.

Terletak kira-kira 265 kilometer dari Kuala Lumpur, Taiping dahulunya dikenali sebagai Klian Pauh, adalah ibu negeri Perak sebelum 1937.

Taiping berasal daripada perkataan Cina yang bermaksud 'aman selama-lamanya.'

Ia dibangunkan apabila bijih timah ditemui pada 1840-an oleh pembesar Melayu bernama Che Long Jaafar.

Catatan dalam Jurnal pegawai Inggeris pertama di Taiping, Kapten Tristam Charles Sawyer Speedy menuliskan pada 1840-an tentang seorang pembesar Melayu bernama Che Long bin Jaafar. 

Catatan itu menceritakan, ketika mandi di sungai, Che Long terjumpa pasir yang bersinar yang dikenal pasti sebagai bijih timah.

Berikutan penemuan itu beliau mengambil 20 pekerja Cina dari Pulau Pinang untuk membuka lombong di Kalian Pao (Kelian Pauh, tempat terletaknya Penjara Taiping sekarang).

Taiping berada di lokasi strategik iaitu antara Pulau Pinang dan Ipoh yang senang dilawati.

Biarpun pesat membangun, Taiping menawarkan pakej alam semula jadi, air terjun, taman tasik, Bukit Larut, kelip-kelip, hutan paya, muzium, kampung tradisi, kraf tangan, makanan tradisi serta penginapan yang memberi keselesaan kepada pelancong.

Taiping terkenal sebagai kawasan pelombongan bijih timah utama di Perak pada abad ke-19 dan awal abad ke-20 sehinggakan ia menjadi tumpuan pelbagai kaum dan kesan sejarah tersebut masih ada sehingga kini.
 

Tuesday, 10 November 2026

ADA DUA LALUAN KE PUNCAK GUNUNG ANGSI

 
Ada dua laluan ke puncak Gunung Angsi.

Gunung Angsi terletak di Negeri Sembilan setinggi 825 meter dari paras laut. Ada dua laluan untuk sampai ke puncak Gunung Angsi iaitu melalui Taman Rekreasi Ulu Bendul dan Bukit Putus.

Trek Bukit Putus sejauh empat kilometer sesuai untuk pengembara yang baru berjinak-jinak dalam dunia kembara berjalan kaki (hiking). Pengembaraan lebih mudah berbanding ikut laluan Ulu Bendul yang berjarak tujuh kilometer.

Gunung Angsi, terletak di daerah Kuala Pilah, di antara Ulu Bendul dengan Senawang merupakan destinasi popular bagi penggemar kembara berjalan kaki dan aktiviti lasak.

Dengan ketinggian 825 meter, gunung ini menawarkan laluan kembara berjalan kaki yang sesuai untuk pemula dan pendaki berpengalaman, sambil menikmati pemandangan hutan tropika yang menghijau dan panorama lembah yang menakjubkan.

Selain mendaki, pengunjung juga boleh berkelah atau bergambar di kawasan sekitar, menjadikan Gunung Angsi lokasi menarik untuk aktiviti riadah dan pengalaman alam semula jadi di Negeri Sembilan.

Ia merupakan satu daripada tarikan yang ada di Hutan Rekreasi Ulu Bendul.  

Kembara Gunung Angsi melalui laluan Bukit Putus biasanya mengambil masa selama dua hingga empat jam mengikut kelajuan dan kemampuan pengembara.

Pengembara yang bertenaga dan berpengalaman dalam aktiviti kembara berjalan kaki mampu sampai ke puncak dalam masa satu jam jika melalui laluan Bukit Putus.

Dari puncak Gunung Angsi, penjelajah boleh menikmati pemandangan kawasan bandar raya Seremban dan juga gunung-ganang di sepanjang ekor selatan Banjaran Titiwangsa seperti Gunung Telapa Buruk, Gunung Berembun dan Gunung Tampin.









BERAPA KETINGGIAN LAYAK DIPANGGIL "GUNUNG"

 
Berapa ketinggian tanah tinggi layak dipanggil "gunung".

Apa yang kita faham tentang "gunung" adalah tanah tinggi yang lebih tinggi daripada "bukit". Menurut Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), "gunung" ialah bukit yang besar dan tinggi.  

Definisi DBP ini menjelaskan kepada kita bahawa gunung adalah lebih tinggi dan lebih besar berbanding bukit. Ini kerana gunung adalah bukit yang lebih besar dan tinggi.

Ketinggian Bukit Larut (dahulunya dikenali sebagai Maxwell Hill) yang terletak di Taiping, Perak ialah kira-kira 1,250 meter (4,101 kaki) dari aras laut dipanggil.

Sedangkan ketinggian Gunung Angsi yang terletak di Negeri Sembilan ialah 825 meter (kira-kira 2,702 kaki) dari paras laut.  

Persoalannya, mengapa Bukit Larut dipanggil "bukit", sedangkan ketinggiannya lebih tinggi daripada Gunung Angsi yang dipanggil "gunung".

Sebenarnya tidak ada standard atau peraturan tetap untuk menentukan sesuatu tanah tinggi itu dipanggil gunung atau bukit.

Kembali kepada definisi oleh DBP ialah bukit yang besar dan tinggi (biasanya melebihi 1,500 kaki atau 457.2 meter dari aras laut).

Perkataan "biasanya" adalah merujuk kepada kebiasaan dan bukannya mutlak atau sesuatu yang mesti.

Standard antarabangsa secara umum di peringkat global, kebanyakan rujukan geografi menetapkan ketinggian 600 meter atau lebih dari aras laut untuk dianggap sebagai gunung, manakala bawah 600 meter diklasifikasikan sebagai bukit.

Di Malaysia, nama gunung atau bukit kebiasaannya berdasarkan sejarah nama tempatan atau yang telah lama digunakan.

Nama Bukit Larut dikekalkan nama "bukit" adalah sebagai terjemahan nama asal Maxwell Hill iaitu "hill" adalah bukit. Apabila namanya ditukarkan kepada "Larut" menggantikan "Maxwell", nama bukit itu dikekalkan menjadi Bukit Larut.

Begitu juga Bukit Kutu di Selanggor dipanggil bukit biarpun ketinggiannya 1053 meter dari paras laut. Panggilan bukit itu berdasarkan kepada nama bukit itu yang pernah dikenali Treacher's Hill sejak 1890-an lagi.

Jadi, tidak perlu kita mempersoalkan mengapa bukit lebih tinggi daripada gunung?

 

Puncak Bukit Larut.

RESTORAN C'NIE PANGGUNG LALAT

 
Restoran C'Nie Panggung Lalat.

Restoran C'Nie atau juga dikenali sebagai Restoran Cik Din terletak di Felcra Gugusan Panggung Lalat, Gua Musang, Kelantan.

Restoran ini terkenal biarpun lokasinya terletak jauh di kawasan pedalaman di Panggung Lalat. Menjadi pilihan untuk majlis makan istimewa bagi tetamu VVIP yang datang ke Gua Musang.

Kampung Panggung Lalat terletak lebih kurang 15 kilometer dari bandar Gua Musang. Ia berada di laluan Gua Musang-Kuala Betis. Juga laluan untuk ke Tanah Tinggi Lojing dan Cemeron Highland serta ke Simpang Pulai.

Jika datang dari arah Gua Musang, tanda lokasi yang mudah dilihat ialah Sekolah Menengah Kebangsaan Panggung Jaya dan Pejabat Felcra Gugusan Panggung Lalat. Lokasi Restoran C'Nie berada selepas itu ke arah menuju Kuala Betis.

Restoran ini beroperasi waktu pagi sehinga 11.00 malam menawarkan pelbagai hidangan. Waktu pagi menyediakan nasi lemak, nasi berlauk, dan kerabu kambing bakar yang terkenal.

Tengah hari dan malam pula pelbagai jenis masakan panas mengikut permintaan pelanggan. Antara menu pilihan ialah sup urat keting, sup padu, serta menu istimewa seperti ikan kelah, ikan empurau, daging rusa, dan kambing berapi.

Terdapat kemudahan ruang makan yang selesa, surau, tandas, serta kemudahan roomstay (inap desa) pada harga yang berpatutan. 

Sup urat keting

Pelbagai jenis menu

AKTIVITI SESUAI UNTUK ORANG PENCEN

 
Aktiviti sesuai untuk orang pencen.

Orang pencen banyak masa terluang. Tidak perlu fikir tentang kerja dan mencari rezeki. Masa seharian boleh diisi dengan pelbagai aktiviti yang disukai.

Orang pencen yang masih sihat bebas bergerak destinasi ingin dituju dengan pelbagai tujuan. Berjumpa dengan bekas rakan sekerja, kawan-kawan dan sanak saudara.

Banyak perkara boleh dijadikan tajuk perbualan sama ada yang santai-santai mahupun yang tertumpu kepada tajuk tertentu. Namun, elak melibatkan perkara sensitif yang boleh menaikkan rasa marah dan merosakkan perhubungan.

Masa bertemu biasanya diiikuti dengan makan-makan dan minum. Itu masa terbaik untuk makan dan menikmati hidangan bersama rakan-rakan. Begitu pun, janganlah makan tidak ingat dunia. Ketika usia tua, banyak makanan yang tidak sesuai dimakan disebabkan faktor penyakit.

Masa terluang boleh dipenuhi dengan aktiviti kerohanian dan kesihatan mental dengan cara mengikuti kelas agama, menghadiri kuliah agama, membaca al-Quran, berzikir dan sebagainya.

Untuk mengelak masalah ingatan atau penurunan kuasa otak, banyakkan membaca dan menulis. Boleh tulis pengalaman atau sesuatu yang bermanfaat dan dikongsikan di media sosial.

Pada masa sama, jangan lupa aktiviti fizikal dan rekreasi. Lakukan senaman ringan atau pergerakan badan yang menyihatkan badan.

Namun, jangan paksa badan untuk melakukan sesuatu yang memenatkan atau tidak mampu diterima oleh badan dengan tahap umur yang semakin meningkat.

Satu lagi perkara yang boleh atau wajar dilakukan pesara ialah melakukan khidmat sosial dan kesukarelawan. Manfaatkan ilmu dan kemahiran yang dimiliki untuk melakukan perkara-perkara mendatangkan kebaikan kepada masyarakat.

Banyakan bergaul dan berinteraksi dengan orang lain untuk mengaktifkan minda an fizikal Tua bukan bermakna hanya duduk di rumah sahaja.

Manfaatkan usia tua dan terus aktif berhubung serta melakukan aktiviti dalam perlbagai medium atau kaedah yang sesuai.

Gambar sekadar hiasan. 

ELAK LAMAN DIJADIKAN TEMPAT KUCING BERAK

 
Elak laman rumah dijadikan tempat kucing berak.

Satu daripada masalah sering dialami dalam hubungan kejiranan adalah kucing jiran datang berak di kawasan laman rumah.

Keadaan ini terjadi terutama jika laman rumah tanah berpasir atau separa berpasir. Kucing boleh mengais atau menggali lubang tempat berak dan kemudian menimbusnya dengan menggunakan kaki.

Tahi kucing memang berbau busuk, lebih-lebih lagi jika terpijak. Kalau melekat di selipar atau kasut, boleh menyebabkan ia tersebar pula di tempat-tempat.

Paling malang jika dibawa masuk ke dalam kereta. Memang baunya boleh memenuhi segenap ruang dalam kereta.

Satu cara untuk mengelak laman rumah menarik minat kucing dijadikan tempat berak ialah dengan menyimen seluruh kawasan.

Tindakan tersebut bukan sahaja mengelak kucing berak di situ, tetapi juga mengelak rumpai atau rumput tumbuh. Kawasan lebih bersih dan mudah diuruskan.

Gambar sekadar hiasan. 

TEKSTUR ISI MANGGA EPAL RANGUP

 
Tekstur isi manggap epal ranggup.

Mangga epal merupakan sejenis varieti buah mangga yang dinamakan sedemikian kerana bentuk buahnya yang bulat dan pendek menyerupai sebiji buah epal.

Jadi, rasa mangga epal bukan ada kaitan dengan rasa epal.

Mangga epal juga dipanggil pauh epal dan mempelam epal, mengikut panggilan negeri atau tempat berbeza.

Mangga epal didaftarkan secara rasmi dalam Senarai Varieti Kebangsaan Jabatan Pertanian Malaysia dengan kod MA194 pada tahun 1973. Varieti ini berasal dari Stesen Pertanian Serdang.

Bentuk buahnya berbentuk bulat, hampir sama dengan buah epal, tetapi tidak mempunyai tampuk buah.

Isi buah mangga epal berwarna kuning dan serta berjus.

Rasanya adalah gabungan rasa manis dan sedikit masam atau lemak-manis apabila masak sepenuhnya.

Sangat sedap dimakan segar, dijadikan rojak, atau dibuat jeruk. Buah yang masih muda atau putik juga digemari kerana teksturnya yang rangup.

 

TANAH PERKUBURAN PERANG TAIPING

 
Tanah Perkuburan Perang Taiping (Taiping War Cemetery).

Tanah perkuburan ini menepatkan 856 korban ketika Perang Dunia Kedua dan beberapa tahun selepas tamat perang. Lebih daripada 500 korban tersebut tidak dapat dikenal pasti hingga ke hari ini.

Askar-askar yang disemadikan di sini termasuk askar British, India dan juga askar Melayu yang beragama Islam.

Ia terletak di Jalan Bukit Larut, Taiping, diuruskan oleh Commonwealth War Grave Commission (Suruhanjaya Perkuburan Perang Komanwel).

Kawasan perkuburan ini terbahagian dua yang dipisahkan oleh Jalan Air Terjun. Sebelah tenggara menempatkan plot kubur Kristian (askar British dan Komanwel). Sebelah barat laut menempatkan plot kubur Muslim, Gurkha, serta beberapa batu nisan Cina Malaysia.

Di kawasan kubur Kristian terdapat Monumen Peringatan berupa Cross of Sacrifice (Salib Pengorbanan). Manakala di sebelah bertentangan dilengkapi dengan Stone of Remembrance (Batu Peringatan) yang tertulis "Their Name Liveth For Evermore".

Tanah perkuburan ini bukan menempatkan mangsa daripada satu medan tempur sahaja. Begitu juga, ia bukan tempat awal dikebumikan sebaik selepas kematian.

Selepas Perang Dunia Kedua, kubur dipindahkan dari kawasan pertempuran, tapak pengebumian sementara serta tanah perkuburan kampung atau awam yang sukar dijaga secara kekal.

Jenazah dipindahkan dari pelbagai tempat dan dikembumikan kembali di situ dengan reka letak yang tersusun dan data maklumat peribadi setakat yang diketahui yang ditulis di setiap batu nisan.

Batu nisan yang tidak tercatat apa-apa maklumat bermaksud tidak dikenal pasti namanya, tetapi dikenal pasti sebagai anggota tentera yang terkorban ketika Perang Dunia Kedua.

Tugu yang tertulis - "Their Name Liveth For Evermore".

Reka letak kawasan perkuburan



Monday, 9 November 2026

SIAPA MASIH GUNA KAMERA?

 
Siapa masih guna kamera?

Banyak orang minat mengambil atau merakam gambar. Macam-macam objek dan peristiwa dirakam.

Bagi yang minat makan atau mencuba makanan baru yang agak istimewa, makan gambar makanan perlu dirakamkan dahulu sebelum dimakan.

Gambar anak atau cucu berstatus bayi dan kanak-kanak paling banyak dirakam untuk dijadikan kenangan.

Kalau yang minat melancong, macam-macam gambar di tempat dilawati akan dirakam. Setiap sudut pemandangan yang dianggap cantik atau istimewa akan diabadikan dalam bentuk gambar.

Dahulu segala-gala gambar akan dirakam menggunakan kamera yang menggunakan filem. Kemudian filem itu akan diproses untuk "mematikan" filem untuk mengekalkan imej di filem tersebut.

Kemudian, barulah filem tersebut akan dicetak di atas kertas dan nampaklah imej atau gambar yang dirakam.

Sekarang masa telah berubah. Gambar dan video boleh dirakam melalui telefon pintar masing-masing yang boleh dikatan majoriti memilikinya. Bezanya hanya kualiti gambar yang dirakam sahaja yang berbeza mengikut harga telefon pintar yang dimiliki.

Kerana sudah ada alat lain yang boleh menggantikan fungsi kamera, maka tidak banyak orang menggunakan kamera untuk merakan gambar mahupun video.

Satu pertanyaan, jadi siapa yang jika kita temui dia sedang membawa kamera atau menggunakan kamera?

Pada pemerhatian umum ada beberapa ketegori individu yang masih menggunakan kamera.

Pertamanya, mereka yang bertugas sebagai jurugambar media. Kedua ialah jurugambar majlis kahwin. Manakala ketiga ialah mereka yang mempunyai "minat" dan "kepuasan" menggunakan kamera.



Friday, 6 November 2026

TELUR TIDAK SESUAI DIMAKAN BERSAMA TEH

 
Telur tidak sesuai dimakan bersama teh.

Banyak orang mengambil telur dan segelas teh panas sebagai hidangan sarapan, yang dianggap baik dan berkhasiat.

Telur kaya dengan protein memang sesuai dijadikan hidangan. Begitu juga dengan teh yang kaya dengan antioksidan baik untuk kesihatan.

Namun, gabungan makanan dan minuman ini elok dijarakkan pengambilannya. Jangan dimakan dan diminumkan sekali atau dalam selang masa yang singkat.

Beberapa masalah yang mungkin timbul dari gabungan kedua-duanya termasuk sembelit dan peningkatan pengeluaran asid perut.

Menurut Journal of Nutrition, apabila minum teh bersama telur, ia boleh mengurangkan jumlah protein yang diserap sehingga 17 peratus.

Kandungan tanin di dalam teh boleh bertindak balas dengan protein pada telur, menyebabkan penyerapan protein oleh tubuh berkurang.

Selain itu, gabungan tanin dan protein boleh membentuk sedimen yang sukar dihadam oleh usus.

Bagi sesetengah individu, ia boleh menyebabkan rasa kembung dan sembelit.

Tips pengambilan yang baik ialah beri jeda masa pengambilan dalam tempoh satu jam. Jika makan telur, tunggu sejam kemudian baru minum teh atau sebaliknya.

Bagaimanpun, jika tindakan itu menghadapi "kesukaran" untuk dilakukan, dan berdasarkan pengalaman sendiri tidak berlaku masalah jika kedua-duanya diambil serentak, maka tidak ada masalah untuk diamalkan.

Cadangan menjarakkan pengambilan antara kedua-duanya hanya cadangan untuk kesan terbaik dan mengelak sesuatu tidak diingini berlaku.

Tuesday, 29 September 2026

POKOK KADUK TUMBUHAN HERBA

 
Pokok kaduk tumbuhan herba. 

Daunnya dijadikan ulam tradisional atau dicampur dalam gulai ikan darat atau siput sedut.

Ada juga dibuat kerabu, dicampur di dalam tempoyak dan otak-otak kerana aromanya yang unik serta rasa sedikit pedas.

Daun ini sebenarnya mempunyai potensi besar sebagai herba bernilai tinggi dalam industri makanan kesihatan, farmaseutikal dan kosmetik semula jadi.

Tanaman kaduk (nama saintifiknya Piper sarmentosum Roxb)  merupakan tumbuhan herba tropika daripada famili Piperaceae, iaitu keluarga yang sama dengan sireh dan lada hitam.

Tumbuhan ini hidup subur di kawasan lembap dan teduh.

Selain menjadi bahan masakan, kaduk turut digunakan secara meluas dalam perubatan tradisional Melayu.

Air rebusan daun kaduk dipercayai membantu melegakan batuk, selesema dan demam ringan, selain digunakan bagi mengurangkan sakit sendi dan masalah keradangan kulit.

Kajian moden mendapati daun kaduk kaya dengan sebatian bioaktif seperti flavonoid, polifenol, alkaloid, vitamin C dan vitamin E yang mempunyai sifat antioksidan, antiradang dan antimikrob.

Penyelidikan makmal turut menunjukkan ekstrak daun kaduk berpotensi digunakan dalam pembangunan produk makanan kesihatan dan farmaseutikal semula jadi berikutan kemampuannya membantu mengurangkan tekanan oksidatif dalam tubuh.




Saturday, 19 September 2026

HUKUM GUNA DURI LANDAK

 
Hukum guna duri landak. Ada individu menggunakan duri (bulu) landak sebagai alat penunjuk ketika membaca Al-Quran. Duri landak memang cantik dan padat yang sesuai digunakan sebagai penunjuk.

Para ulama mengatakan adalah harus dan suci selagi mana duri tersebut diperoleh daripada landak yang halal dimakan, sama ada ia tercabut ketika haiwan itu masih hidup ataupun diambil daripada sembelihan yang sah.

Anggapan bahawa duri landak yang gugur atau diambil adalah sisa bangkai yang najis adalah tidak tepat.

Landak dikategorikan sebagai haiwan yang halal dimakan dalam pandangan ulama Nusantara dan mazhab Syafei.

Wednesday, 9 September 2026

JAMBATAN BATU 6 NENGGIRI

 
Jambatan Batu 6 Nenggiri.  

Projek bernilai RM9.3 juta tersebut menggantikan jambatan sedia ada yang sering kali ditenggelami banjir. 

Jambatan lama berada di atas sedikit paras air dan bila-bila boleh tenggelam dan tidak boleh digunakan sekiranya hujan lebat. Dalam keadaan biasa, jambatan itu boleh dilalui kenderaan kecil sahaja.  

Pembinaan jambatan baharu ini amat penting dalam meningkatkantaraf sosio ekonomi penduduk, memudahkan pengeluaran hasil pertanian ke pusat-pusat pemasaran dan perniagaan. 

Laluan ini merupakan laluan utama kira-kira 200 orang penduduk untuk ke bandar Gua Musang. 

Projek tersebut dilaksanakan secara tender terbuka dan merupakan projek milik Kementerian Kemajuan Desa  dan Wilayah  (KKDW), manakala Jabatan Kerja Raya merupakan agensi pelaksana projek. 

Syarikat Libertium Construction Sdn Bhd selaku kontraktor yang bertanggungjawab membinanya. Projek bermula akhir tahun 2024 dan majlis penyerahan projek siap telah dilakukan pada 9 September 2026. 

Saturday, 8 August 2026

PROGRAM STRATEGIK PBS KELANTAN

 
Program Strategik PBS Kelantan. Bulan Sabit Merah Malaysia (BSMM) Negeri Kelantan telah menganjurkan Program Pemukiman Strategik Pegawai-Pegawai Pasukan Bantuan Sukarela (PBS) BSMM Negeri Kelantan yang berlangsung dengan jayanya di Taman Rekreasi & Chalet Baroqah, Bachok.

Program ini menghimpunkan para pegawai PBS bagi memperkukuh pengurusan dan pentadbiran organisasi, meningkatkan kemahiran pertolongan cemas, Cardio- pulmonary Resuscitation (CPR) dan usungan, serta memperkasa semangat kerja berpasukan.

Turut diisi dengan sesi pengenalan penyelesaian konflik, penghayatan Tujuh Prinsip Bulan Sabit Merah, perancangan aktiviti serta penyelarasan takwim Unit PBS bagi memastikan gerak kerja organisasi lebih tersusun dan berkesan.

Kredit Bulan Sabit Merah Malaysia Negeri Kelantan. 

Friday, 24 July 2026

PERKARA BURUK DILAKUKAN WAKTU MALAM

 
Perkara buruk dilakukan waktu malam. Aktiviti lewat malam banyak melibatkan perkara buruk. Pusat hiburan, perjudian, pelacuran, kongsi gelap, menyamun, zina, rogol, penagihan dadah, minum arak dan lumba haram banyak berlaku pada waktu lewat malam. 

Ibu bapa harus mengawal anak-anak daripada pulang lewat malam. Tidak ada alasan untuk pelajar dan remaja keluar sehingga lewat malam. Yakinlah, jika anak anda suka pulang lewat malam pasti ada aktiviti tidak baik yang dilakukan. Anak yang baik menghargai waktu malam untuk bersama-sama ahli keluarga yang lain.   

Dalam hal ini, amat perlu ibu bapa sendiri yang terlebih dahulu mempraktikkan amalan pulang awal. Ibu bapa yang bertanggungjawab menjadi contoh kepada anak-anak. Keluarga bahagia menjadikan waktu malam untuk berkumpul bersama-sama di rumah. 

Pada waktu malam adalah peluang terbaik untuk seluruh seisi keluarga bermesra, melakukan aktiviti bersama dan berbincang. Kita sepatutnya mengamalkan kembali tradisi orang tua kita dahulu, setiap orang perlu pulang dan berada di rumah sebelum waktu Maghrib.

Bapa mempunyai tanggungjawab berat membimbing ahli keluarga mengikut jalan yang diredai oleh Allah. Tanggungjawab memimpin keluarga perlu dilaksanakan sebaik-baiknya. 

Kebiasannya sikap ibu bapa yang suka keluar malam turut diikuti anak-anak. Anak juga merasakan ingin mencari keseronokan di luar rumah pada waktu malam. Suasana gelap dan sunyi memudahkan untuk melakukan perbuatan tidak senonoh dan menyalahi undang-undang.

Sesetengah ibu bapa keluar malam untuk mencari pendapatan tambahan, sedangkan selebihnya sekadar untuk bersuka ria. Perbuatan ini banyak dilakukan oleh bapa. Bapa yang keluar rumah tanpa keperluan munasabah membuktikan dirinya bapa dan suami yang tidak bertanggungjawab.

Kempen rumahku syurgaku perlu diberi perhatian semua pihak. Keluarga adalah lambang kebahagiaan hidup. 

Hargailah waktu malam yang damai dan aman untuk beristirahat atau jika berkeupayaan jadikan sebagai waktu untuk beribadat. Adalah lebih selamat dan aman pada waktu malam kita berada di rumah. 

Tuesday, 14 July 2026

PERATURAN DEPOSIT CALON PILIHAN RAYA

 
Peraturan deposit calon pilihan raya. Setiap calon pilihan raya, sama ada pilihan raya umum (PRU), pilihan raya negeri (PRN) atau pilihan raya kecil (PRK) perlu membayar wang deposit. 

Kegagalan membayar wang deposit, individu yang mengemukakan borang penamaan calon akan ditolak dan tidak layak untuk disenaraikan sebagai calon. 

Untuk calon kerusi Dewan Rakyat (Parlimen) jumlah wang deposit yang perlu dibayar kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sebagai pihak yang diberikan tanggungjawab mengendalikan pilihan raya di Malaysia ialah RM10,000. Manakala calon bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) sebanyak RM5000.

Dua keadaan deposit akan hilang, iaitu jika sekiranya calon menarik diri selepas pukul 10.00 pagi pada hari penamaan calon.

Keadaan kedua ialah apabila calon gagal memperoleh sekurang-kurangnya satu perlapan daripada jumlah keseluruhan undi yang sah dalam kawasan yang ditandinginya.

Manakala itu, wang deposit akan dikembalikan kepada calon jika menarik diri sebelum pukul 10.00 pagi pada hari penamaan calon.

Calon yang menang dan yang mendapat sejurang-kurangnya satu perlapan daripada  jumlah keseluruhan undi yang sah dalam kawasan yang ditandinginya juga akan dikembalikan.

RAMBUTAN CHE EMBONG

 
Rambutan che embong (che mbong). 

Varieti rambutan che embong dianggap jenis klasik atau lama yang semakin jarang ditemui. 

Varieti ini didaftarkan di Jabatan Pertanian pada 23 Julai 1970 dan diberi nombor pendaftaran R168.

Varieti che embong berasal dari Kelantan. Tidak pasti mengapa ia dinamakan che embong, tetapi mungkin daripada nama Che Embung atau Che Embun.

Saiz buah sederhana panjang. Kulit berwarna merah kekuningan dan sederhana kasar. Isinya tebal, pejal dan rasanya manis.

Saiz pokoknya tinggi merimbun. Buahnya lebat berada di hujung julai. Ia menampakkan seakan-akan buah menutup daun di belakangnya.

Saturday, 27 June 2026

TONG SAMPAH DI TEMPAT TIADA TONG SAMPAH

 
Ajarlah anak-anak tentang adab menjaga kebersihan ketika berada di luar kawasan rumah atau di tempat awam. Kalau ada sampah yang perlu dibuang, dan tidak ada tong sampah disediakan di kawasan berkenaan, maka usahakan sesuatu yang agar sampah itu tidak dibuang merata-rata.

Dua beradik (gambar) sedang menikmati buah rambutan. Disebabkan tiada tong sampah disediakan berdekatan, maka kulit dan biji rambatan itu diletakkan di bahagian belakang kereta bapanya.

Memang nampak bersepah dan mengotorkan bahaigan kereta, tetapi itu lebih baik daripada mengotorkan tempat awam.

Sisa buah rambutan itu boleh dibuat di dalam tong sampah di tempat lain, atau dibawa pulang ke rumah dan dibungkan di tong sampah di rumah.

Ajar anak-anak tentang adab dan rasa tanggungjawab menjaga kebersihan tempat awam. Itu satu tuntutan agama.

Sunday, 7 June 2026

TINDAKAN JIKA BERTEMU GAJAH DI JALAN RAYA

 
Tindakan jika bertemu gajah di jalan raya. 

Pengguna Jalan Raya Timur Barat kerap terserempak dengan gajah. Kalau gajah berada di tepi jalan, terutama di kawasan luar penghadang jalan atau jauh di tepi jalan, tidak perlu bimbang dan boleh teruskan perjalanan. Namun, perlu berhati-hati jika ada tanda-tanda gajah itu hendak melintas jalan.

Jika kepala gajah menghala ke tengah jalan, itu antara tanda binatang itu ingin melintas jalan. Jadi, pastikan anda berhenti pada jarak sekurang-kurangnya 50 meter dan kekal tenang.

Jangan sekali-kali bunyikan hon untuk menakut-nakutkan gajah atau menghalau supaya cepat melintas. Gajah mudah terkejut dan boleh bertindak agresif apabila berasa terancam.

Jika pada waktu malam, jangan tinggikan lampu. Gunakan cahaya paling minimun sekadar untuk dilihat oleh pemandu lain. Elok dimatikan terus lampu jika sudah ada kenderaan lain berhenti di belakang dan mengetahui keberadaan kenderaan di hadapan.

Kekal dalam kenderaan dan tunggu sehingga gajah selesai melintas. Jangan sesekali keluar untuk mengambil gambar atau hendak menghalau gajah. Jika gajah menghampiri, matikan enjin (pilihan) dan kunci pintu kenderaan.  

Jika gajah mengibaskan telinga atau mengangkat belalai, itu tandanya gajah berasa terganggu atau terancam. Bersedia untuk mengundur perlahan-lahan jika keadaan menjadi tidak selamat.  

Kredit pemilik gambar.