Friday, 24 July 2026

PERKARA BURUK DILAKUKAN WAKTU MALAM

 
Perkara buruk dilakukan waktu malam. Aktiviti lewat malam banyak melibatkan perkara buruk. Pusat hiburan, perjudian, pelacuran, kongsi gelap, menyamun, zina, rogol, penagihan dadah, minum arak dan lumba haram banyak berlaku pada waktu lewat malam. 

Ibu bapa harus mengawal anak-anak daripada pulang lewat malam. Tidak ada alasan untuk pelajar dan remaja keluar sehingga lewat malam. Yakinlah, jika anak anda suka pulang lewat malam pasti ada aktiviti tidak baik yang dilakukan. Anak yang baik menghargai waktu malam untuk bersama-sama ahli keluarga yang lain.   

Dalam hal ini, amat perlu ibu bapa sendiri yang terlebih dahulu mempraktikkan amalan pulang awal. Ibu bapa yang bertanggungjawab menjadi contoh kepada anak-anak. Keluarga bahagia menjadikan waktu malam untuk berkumpul bersama-sama di rumah. 

Pada waktu malam adalah peluang terbaik untuk seluruh seisi keluarga bermesra, melakukan aktiviti bersama dan berbincang. Kita sepatutnya mengamalkan kembali tradisi orang tua kita dahulu, setiap orang perlu pulang dan berada di rumah sebelum waktu Maghrib.

Bapa mempunyai tanggungjawab berat membimbing ahli keluarga mengikut jalan yang diredai oleh Allah. Tanggungjawab memimpin keluarga perlu dilaksanakan sebaik-baiknya. 

Kebiasannya sikap ibu bapa yang suka keluar malam turut diikuti anak-anak. Anak juga merasakan ingin mencari keseronokan di luar rumah pada waktu malam. Suasana gelap dan sunyi memudahkan untuk melakukan perbuatan tidak senonoh dan menyalahi undang-undang.

Sesetengah ibu bapa keluar malam untuk mencari pendapatan tambahan, sedangkan selebihnya sekadar untuk bersuka ria. Perbuatan ini banyak dilakukan oleh bapa. Bapa yang keluar rumah tanpa keperluan munasabah membuktikan dirinya bapa dan suami yang tidak bertanggungjawab.

Kempen rumahku syurgaku perlu diberi perhatian semua pihak. Keluarga adalah lambang kebahagiaan hidup. 

Hargailah waktu malam yang damai dan aman untuk beristirahat atau jika berkeupayaan jadikan sebagai waktu untuk beribadat. Adalah lebih selamat dan aman pada waktu malam kita berada di rumah. 

No comments:

Post a Comment