Tuesday, 29 September 2026

POKOK KADUK TUMBUHAN HERBA

 
Pokok kaduk tumbuhan herba. Daunnya dijadikan ulam tradisional atau dicampur dalam gulai ikan darat atau siput sedut.

Ada juga dibuat kerabu, dicampur di dalam tempoyak dan otak-otak kerana aromanya yang unik serta rasa sedikit pedas.

Daun ini sebenarnya mempunyai potensi besar sebagai herba bernilai tinggi dalam industri makanan kesihatan, farmaseutikal dan kosmetik semula jadi.

Tanaman kaduk (nama saintifiknya Piper sarmentosum Roxb)  merupakan tumbuhan herba tropika daripada famili Piperaceae, iaitu keluarga yang sama dengan sireh dan lada hitam.

Tumbuhan ini hidup subur di kawasan lembap dan teduh.

Selain menjadi bahan masakan, kaduk turut digunakan secara meluas dalam perubatan tradisional Melayu.

Air rebusan daun kaduk dipercayai membantu melegakan batuk, selesema dan demam ringan, selain digunakan bagi mengurangkan sakit sendi dan masalah keradangan kulit.

Kajian moden mendapati daun kaduk kaya dengan sebatian bioaktif seperti flavonoid, polifenol, alkaloid, vitamin C dan vitamin E yang mempunyai sifat antioksidan, antiradang dan antimikrob.

Penyelidikan makmal turut menunjukkan ekstrak daun kaduk berpotensi digunakan dalam pembangunan produk makanan kesihatan dan farmaseutikal semula jadi berikutan kemampuannya membantu mengurangkan tekanan oksidatif dalam tubuh.

No comments:

Post a Comment