Mengadakan aktiviti memasak bubur asyura atau
dielek Kelantan sebut “buat suro” atau “kacar suro” untuk diagih kepada
golongan keluarga, fakir, miskin dan masyarakat setempat telah menjadi adat dan
tradisi masyarakat Islam di Malaysia.
Ada yang mendakwa bahawa amalan ini
disandarkan kepada kisah Nabi Nuh dan umatnya ketika dilanda badai sebagai
ibrah dan pedoman, namun kisah ini tidak terdapat nas yang sahih yang
dinyatakan dalam al-Quran atau hadis Baginda Nabi SAW dan ia merupakan kisah
yang diceritakan oleh ulama sirah.
Namun, bukanlah menjadi satu kesalahan
sekiranya mengambil iktibar dan pedoman dengan dengan kisah ini, kerana ia
merupakan riwayat sirah. Secara asasnya, ulama memberi kelonggaran dalam
penerimaan dan penilaian riwayat ini, selagi mana tidak menyentuh soal akidah
dan hukum hakam sehingga perlu dinilai dengan satu piawaian yang ketat.
Malah adat yang diamalkan oleh masyarakat
Islam di Malaysia tidaklah bertentangan dengan syarak, bahkan ia merupakan
perkara yang terpuji kerana tujuan majlis pada hari tersebut disertakan dengan buat
suro secara beramai-ramai dapat mengeratkan tautan silaturrahim di samping
dapat membudayakan amalan sedekah dalam kalangan masyarakat.
Hari Asyura atau hari kesepuluh bulan
Muharam merupakan tarikh penting dan bersejarah kepada umat Islam. Malah pada
hari tersebut juga disunatkan bagi umat Islam berpuasa bagi menunjukkan rasa
syukur kepada Allah SWT.
Pada hari Asyura juga terdapat pelbagai
peristiwa besar yang berlaku di masa lampau seperti peristiwa penciptaan langit
dan bumi, bulan dan bintang, begitu juga diciptakan pada hari Asyura al-Arasy
dan al-Kursi serta syurga.
Amalan tradisi memasak bubur Asyura pada
hari kesepuluh Muharam dalam kalangan masyarakat melayu boleh disandarkan
kepada kisah Nabi Nuh AS dan umatnya ketika dilanda badai sebagai ibrah dan
pedoman.
Oleh kerana mereka dalam keadaan yang
sangat lapar, Baginda Nuh AS memerintah pengikutnya supaya menghimpunkan segala
makanan yang tersisa untuk dimasak dan dijadikan makanan. Setelah selesai
menghimpun dan memasaknya, lalu mereka makan sehinggalah kekenyangan.
Kisah ini dinukilkan Syeikh Nawawi
al-Bantani dalam kitabnya: “Diceritakan bahawa Nabi Nuh AS ketika kapalnya
berlabuh setelah menghadapi badai pada hari Asyura, lalu Baginda memerintahkan
kepada pengikutnya, “Himpunkanlah sesiapa di antara kalian yang memiliki
lebihan makan”, kemudian mereka datang membawanya, “Ini segenggam daripada
kacang al-Baqila’, iaitu kacang ful dan ini segenggam daripada kacang al-Adas
dan ini beras dan ini tepung dan dan Hintha”. Lalu Baginda bersabda, “Masaklah
kesemuanya, sesungguhnya kalian sudah mendapat kebahagiaan dan kesejahteraan”.
Berdasarkan kisah ini, maka manusia
mengambil bijirin sebagai salah satu sumber makanan untuk dimasak. Bahkan ia
merupakan masakan pertama yang dimasak di atas muka bumi setelah kejadian
taufan yang melanda muka bumi sehingga ia diambil dan dijadikan sebagai tradisi
yang dilakukan pada hari asyura sehingga ke hari ini.
Namun begitu, kisah ini tidak dapat
dipastikan daripada sumber sirah yang muktabar dan sumber asalnya. Perkara
ini hanya adat sesetengah masyarakat Islam seperti yang dinyatakan oleh
Syeikh Nawawi al-Bantani, kata beliau: “Berdasarkan peristiwa ini, maka kaum
muslimin mengambil bijirin sebagai makanan. Peristiwa ini juga menggambarkan
bahawa masakan yang pertama dimasak di atas muka bumi ini selepas dilanda
taufan. Oleh itu ia diambil sebagai adat pada setiap hari Asyura.
Sumber - https://www.muftiwp.gov.my/en/artikel/irsyad-fatwa/irsyad-fatwa-umum-cat/5705-irsyad-al-fatwa-siri-ke-790-penjelasan-berkenaan-tradisi-memasak-bubur-asyura-dalam-kalangan-masyarakat-islam-nusantara
No comments:
Post a Comment