Di dalam Musnad Ahmad telah diriwayatkan
bahawa Rasulullah SAW telah menyenaraikan tiga perkara yang Allah SWT redai
untuk diamalkan bagi hamba-hamba-Nya yang mana salah satu darinya adalah: "Kalian
menasihati orang-orang yang Allah angkat menjadi pemimpin atas urusan
kalian."
Menasihati atau menegur pemimpin tidak boleh dilakukan secara terbuka di atas
pentas-pentas, dengan kata-kata berbentuk cacian dan menghina atau dengan
tujuan menanam perasaan benci di kalangan masyarakat terhadap pemimpin
tersebut.
Hendaklah kita sedari bahawa pemimpin adalah manusia biasa yang adakalanya
melakukan kesilapan dalam menguruskan pentadbiran sesebuah negara.
Namun sekiranya seseorang pemimpin itu melakukan sesuatu kesilapan ia bukan
bererti kita dibenarkan untuk mencelanya secara terbuka tetapi hendaklah kita
menasihatinya dan memperjelaskan kesalahannya dengan cara yang penuh hikmah.
Dalam sistem pemerintahan demokrasi, rakyat berpeluang menyingkir dan
mengangkat seseorang pemimpin melalui pilihanraya. Itulah cara yang telah
ditetapkan di Malaysia dalam urusan memilih pemimpin.
Rasulullah SAW telah menunjukkan kepada umatnya tentang cara untuk menasihati
pemimpin melalui sabda Baginda: "Sesiapa yang ingin menasihati
pemimpin dalam sesuatu urusan, janganlah dia melakukannya secara
terang-terangan. Akan tetapi hendaklah dia mengambil tangan pemimpin tersebut
dan ajaklah (nasihatilah) dia secara tersembunyi. Jika dia (pemimpin) menerima
(nasihat tersebut) maka itulah yang diharap-harapkan. Jika dia tidak menerima
(nasihat) maka sesungguhnya dia (pemberi nasihat tersebut) telah melaksanakan
tanggungjawabnya". - (Hadis riwayat Ahmad)
Menerusi prinsip itu bukan bermakna umat Islam hanya membisu apabila
kemaksiatan atau kezaliman seperti rasuah, korupsi, kronisme dan penyalahgunaan
kuasa berlaku dengan alasan ia berpunca daripada pihak pemimpin.
Terdapat saluran yang boleh digunakan untuk menghalang seseorang pemimpin
daripada melakukan kesalahan. Namun, yang penting kesalahan itu biarlah
benar-benar dilakukan dan bukannya hanya fitnah atau persepsi semata-mata.
Kemaksiatan serta kezaliman tersebut tetap perlu diingkari. Maka diperjelaskan
secara umum kepada masyarakat bahawa perkara-perkara tersebut adalah
bertentangan dengan syarak dan terlarang.
Hanya pengingkaran terhadap kemaksiatan yang dilakukan oleh pemimpin itu tetap
perlu mengikut tatacara yang telah diperintahkan oleh Rasulullah SAW
sebagaimana telah diperjelaskan.
Rasulullah SAW menerusi bimbingan wahyu Ilahi telah meramalkan bahawa pada masa
mendatang akan wujud pemimpin yang mentadbir dengan tidak mengikuti
ajaran-ajaran baginda namun baginda tetap menyuruh umat Islam untuk taat kepada
pemimpin tersebut selagi dia adalah seorang Muslim dan tidak wujud tanda-tanda
yang jelas bahawa dia telah kafir.
Rasulullah SAW bersabda: "Akan ada sepeninggalanku nanti pemimpin
(yang) kalian mengenalnya dan mengingkari (kejelekannya), maka barang siapa
mengingkarinya (bererti) dia telah berlepas diri, dan barang siapa membencinya
(bererti) dia telah selamat, akan tetapi barang siapa yang meredainya (akan)
mengikutinya. Para sahabat bertanya: Apakah tidak kita perangi (sahaja) dengan
pedang? Baginda menjawab: "Jangan, selama mana mereka masih menegakkan
solat di tengah-tengah kalian". - (Hadis riwayat Muslim)
Mentaati pemimpin penting demi mencapai kestabilan politik dan kesatuan umat
yang merupakan faktor penting dalam membentuk umat Islam yang kuat dan digeruni
musuh. Perpecahan hanya akan melemahkan umat Islam dan menggembirakan
musuh-musuh Allah.
No comments:
Post a Comment