Saturday 4 November 2023

SEJARAH PEJABAT SETIAUSAHA KERAJAAN KELANTAN

 
Gambar atas - Pejabat Setiausaha Kerajaan Kelantan di Padang Gimlette (1954). Pentadbiran kerajaan atau negeri berpusat di Pejabat Setiausaha. Salah satu jawatan penting ialah jurutulis. Surat berkaitan kerajaan dan hubungan dengan pihak luar diuruskan oleh jurutulis.  
 
Tok Semian adalah nama gelaran atau panggilan kepada jurutulis kepada Sultan Kelantan dan kerajaan Kelantan pada abad ke-19 hingga awal abad ke-20. Perkataan “semian” adalah berasal daripada bahasa Siam yang bermaksud “jurutulis”.
 
Pada zaman pemerintahan Sultan Muhammad II terdapat Pejabat Semian terletak di sbuah bangunan panjang diperbuat daripada kayu di hadapan Istana Balai Besar yang dikenali sebagai “Opis Panjang”.
 
Salah seorang Tok Semian ialah Wan Abdul Rahman bin Lebai Muda yang bertugas sebagai semian kepada Sultan Muhammad II (memerintah 1836 hingga 1886). Wan Abdul Rahman tinggal di kawasan Jalan Tok Semian.
 
Pada era pemerintahan Sultan Muhammad IV (1899—1920) telah dibina sebuah bangunan kayu berbentuk empat persegi yang dikenali sebagai  "Opis Pohon Celagi".
 
Pejabat Setiausaha Kerajaan juga pernah ditempatkan di Bangunan Takdir, Jalan Sultan Ibrahim, di sebelah Pejabat Pos Lama, Kota Bharu.
 
Semasa Pendudukan Jepun dalam tahun 1942 sebuah bangunan baru bagi Pejabat Setiausaha Kerajaan telah dipindahkan ke bangunan baru di Padang Gimlette (kawasan Bangunan MARA sekarang) Jalan Hospital / Jalan Doktor.
 
Setelah siapnya bangunan baru di Kampung Puteh, Jalan Kuala Krai maka pada bulan Mac 1987, Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Kelantan mulai ditempatkan di Kota Darulnaim, Kota Bharu, Kelantan.
 
Kota Darulnaim kekal menjadi Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Kelantan sehingga sekarang. 
 

No comments:

Post a Comment