Sunday, 5 June 2022

JANGAN TERLALU TAASUB DALAM BERBEZA PENDAPAT

Perbezaan pendapat tidak ditegah, tetapi perlu dilakukan secara baik dan tidak membawa kepada keburukan. 

Kita perlu melihat bagaimana Imam Syafie, Imam Hanafi, Imam Hambali dan imam-imam muktabar yang lain yang berbeza pendapat tetapi tidak membawa kepada perpecahan.  

Mereka pentingkan perpaduan dalam mempertahankan perkara berkaitan akidah dan tauhid. 

Sebab itu, pengikut mazahab ini apabila berdepan dengan kumpulan yang menyeleweng, mereka akan bersatu sepertimana ketika berdepan dengan penganut fahaman Muktazilah, Syiah, Hajariah, Musyabihah, Rasdhiah, Qadariah, Jabariah dan sebagaimna.

Malangnya, di kalangan umat Islam sekarang, biarpun dari mazahab yang sama, rumpun bangsa yang sama, bahkan mempunyai tali persaudaraan, tetapi apabila berdepan dengan perkara berkaitan kepentingan kelompok tertentu mereka sanggup bergaduh, melemparkan fitnah, menghina dan sebagainya.

Mereka menganggap saudara seagama lebih hina daripada rakan kafir. Inilah masalah melanda umat Islam apabila tidak lagi memahami erti perpaduan dan kerjasama yang dianjurkan oleh Islam.

Umat Islam negara ini tidak terlalu taksub dengan parti politik masing-masing bagi mengelak perpecahan ummah. Tiada masalah jika berbeza pendapat mengikut parti politik masing-masing, tetapi apa yang tidak dibenarkan dalam Islam ialah jika pengikut sesebuah parti politik itu terlalu taasub, itu yang tidak boleh.

Untuk itu, umat Islam negara ini mestilah sentiasa bersikap sederhana dan berpada-pada jika melibatkan diri dalam parti politik.

Rasulullah SAW bersabda, "Daripada kebaikan iman seseorang ialah meninggalkan apa yang tidak bermakna baginya.' (Hadis At-Tirmizi) 

Cabar mencabar sebagai medan menunjukkan kehebatan dan menguji pengaruh serta sokongan tidak dibolehkan dalam Islam.

Hassan Al-Banna, pendakwah Islam yang terkemuka pernah memberi wasiat kepada umat Islam melalui pesannya, "Jangan memperbanyak perdebatan dalam pelbagai bidang pembicaraan kecuali dalam hal yang penting. Pertengkaran ini semata-mata tidak akan mendatangkan kebaikan" 

Bagi mengelakkan berlaku sebarang perselisihan dan suasana yang tidak menyenangkan, kita perlu berwaspada sebelum berkata-kata, apatah lagi cabar-mencabar.

Firman Allah yang bermaksud, "Wahai orang yang beriman Janganlah sesuatu puak (dari kaum lelaki mencemuh dan merendah-rendahkan puak lelaki lain, (kerana) harus puak yang dicemuh itu lebih baik daripada mereka; dan jangan pula sesuatu puak daripada perempuan mencemuh dan merendah-rendahkan puak perempuan yang lain, (kerana) harus puak yang dicemuh itu lebih baik daripada mereka; dan jangan sesetengah kamu menyatakan keaiban sesetengahnya yang lain; dan jangan pula kamu panggil-memanggil antara satu dengan yang lain dengan gelaran yang buruk. (Larangan-larangan yang tersebut menyebabkan orang yang melakukannya menjadi fasik,) maka amatlah buruknya sebutan nama fasik (kepada seseorang) sesudah ia beriman, Dan (ingatlah) sesiapa yang tidak bertaubat (daripada perbuatan fasiknya) maka merekalah orang yang zalim.' (Surah al-Hujurat, ayat 11) 

No comments:

Post a Comment