Banyak
orang berpendapat adalah ditegah atau haram membunuh kerengga, semut atau
binatang lain dengan cara membakar. Ini berdasarkan sebuah hadis yang melarang
mengazab atau membunuh dengan api melainkan Tuhan api itu sendiri.
Rasulullah
SAW bersabda bermaksud: “Sesungguhnya tidaklah mengazab seseorang itu dengan
api melainkan Tuhan api itu sendiri. (Hadis riwayat Abu Daud)
Daripada
hadis di atas ini dapatlah kita fahami bahawa seseorang itu tidak boleh
mengazab sesuatu itu dengan api yang mana ia merupakan perbuatan yang dilakukan
oleh Allah SWT.
Justeru
tidak boleh untuk membunuh atau mengazab mana-mana haiwan dengan menggunakan
api dan pembakaran.
Namun,
di sana terdapat pengecualian terhadap haiwan-haiwan yang memberikan gangguan
atau memudaratkan seseorang itu dan tidak ada cara lain untuk membunuhnya
melainkan dengan cara menggunakan api.
Ini
berdasarkan sebuah hadis yang bersabda: “Seorang Nabi dari kalangan para Nabi
telah berehat di bawah sebatang pokok, kemudian dia digigit oleh seekor semut.
Beliau kemudiannya mengarahkan supaya barang-barangnya dialih dari bawah pokok
tersebut, kemudian beliau mengarahkan agar sarang semut tersebut dibakar dengan
api. Maka Allah memberikan wahyu kepada beliau dengan kata-Nya: ‘’Tidakkah
sepatutnya (dibunuh) seekor semut sahaja (iaitu yang menggigit kamu)?’’.
(Hadis riwayat Bukhari)
Para
ulama mengambil pengajaran daripada hadis ini dengan berkata: Sesungguhnya
seekor semut yang menyakiti Nabi tersebut boleh untuk dikecualikan dari
keumuman larangan membakar dengan menggunakan api.
Dari
sudut boleh untuk ia dibunuh dan diazab dengan api, sekiranya sudah tidak ada
cara yang lain bagi menghalang kemudaratan darinya.
Sebenarnya,
kita ditegah untuk mengazab haiwan dengan apa cara sekalipun. Sebagai umat
Islam kita dituntut untuk melakukan kebaikan kepada kesemua makhluk. Ia
merangkumi berbuat baik kepada manusia sama ada orang Islam atau bukan Islam,
demikian juga kita dituntut untuk berbuat baik kepada haiwan.
Sabda
Rasulullah SAW bermaksud: “Sesungguhnya Allah telah mewajibkan berbuat ihsan
kepada setiap sesuatu.” (Hadis riwayat Muslim).
Hadis
ini jelas dalam menyatakan kewajiban berlaku ihsan kepada setiap makhluk. Termasuklah
antaranya berbuat ihsan kepada kesemua kategori manusia dan juga kepada
haiwan-haiwan. Sehinggakan pada saat ingin menyembelih haiwan juga dituntut
(untuk berlaku ihsan).
Menyakiti
dan berbuat kezaliman kepada haiwan-haiwan tanpa sebarang yang dibenarkan oleh
syarak adalah haram hukumnya. Bahkan pengabaian dalam hal ini boleh menyebabkan
seseorang itu ditempatkan ke dalam neraka.
Rasulullah
SAW bersabda: “Seorang perempuan diazab disebabkan seekor kucing yang dia
kurung sehingga ia mati kelaparan. Maka wanita tersebut masuk ke dalam neraka
disebabkannya. Beberapa perbuatan zalim yang dilakukan oleh perempuan ini
kepada kucing tersebut disebutkan di dalam sambungan hadis di atas iaitu
dikatakan kepadanya: Kamu tidak memberi makan dan minum kepadanya ketika kamu
mengurungnya. Begitu juga kamu tidak melepaskannya sehingga dia boleh makan
serangga yang berada di tanah.(Hadis riwayat Bukhari).
Dengan
kata lain, kita ditegah menganiaya atau membunuh binatang dengan tanpa sebab
munasabah dengan apa cara sekalipun.
No comments:
Post a Comment