Monday, 9 July 2018

KECOH ISU POLIGAMI TIDAK PERNAH SELESAI

Kecoh isu poligami tidak pernah selesai kerana ia sudah menjadi topik paling mudah mendapat respon semua pihak. Jika ada sahaja perbincangan berkaitan poligami, terus saja ia mendapat perhatian umum. Tidak kisahlah, jika perkara yang ditimbulkan itu bertujuan untuk kebaikan, pastinya ada perkara yang dibangkitkan dari sudut negatif pula.

Bagaimanapun, masyarakat perlu melihat kekecohan ini dari sudut positif. Dengan cara itu lebih banyak masyarakat akan memahami mengenai isu poligami. Kebiasannya kebanyakan orang hanya memahami poligami dalam aspek lelaki berkahwin lebih daripada seorang dalam satu masa.

Perbezaan pendapat berkaitan sesuatu isu yang diketengahkan dengan penuh berhemah akan membuka minda mencari ke arah kebaikan. Sebaliknya, perbezaan pendapat yang membawa kepada permusuhan atau sikap degil tidak mahu menerima pendapat pihak lain pala mesti dijauhkan. 

Seperti diketahui umum, Islam membenarkan lelaki beristeri lebih daripada seorang, sehingga empat pada satu masa atau disebut poligami. Lelaki berkahwin seorang pada satu masa pula dipanggil monogami. 

Kebenaran suami berpoligami mempunyai banyak hikmahnya. Ketetapan hukum yang ditetapkan oleh Allah ini tidak boleh dipersoalkan. Tidak ada siapapun yang mengaku dirinya beragama Islam dibolehkan mengungkit atau mempersendakan hukum itu. 

Pun begitu, ini tidak bermakna tidak ada siapa boleh berbincang mengenai poligami, khususnya dalam memperkatakan soal keadilan berpoligami. Para isteri boleh bersuara tentang hak-haknya sebagai isteri berdasarkan peraturan syarak.

Islam menetapkan tanggungjawab yang berat ke atas bahu setiap suami. Ia tidak semudah apa dibayangkan dan dilihat. Urusan berumahtangga bukan perkara mudah. Sekiranya beristeri seorang sudah banyak rintangan dan kerenahnya, inikan ingin beristeri lebih daripada satu.

Bayangkan betapa sukarnya nahkoda kapal mengemudi dua, tiga atau empat kapal sekaligus. Keadaan menjadi kritikal jika badai melanda dan mungkin kapal akan karam. Ketika itu diri sendiri dan ahli yang lain terpaksa menerima kesannya secara bersama-sama.

Perkara ini sukar dinafikan apabila suami berpoligami terpaksa menerima hakikat terpaksa menceraikan mana-mana satu isterinya apabila keadaan rumahtangga berpoligami tidak terkawal lagi. Bahagia yang diharapkan, sebaliknya mengundang penderitaan.

Sebab itu, sebenarnya majoriti suami tidak mempunyai niat untuk berpoligami. Malah ada yang menolak peluang terbuka untuk berpoligami. Mereka mengukur baju di badan sendiri. Yang sentiasa takut kepada bayang-bayang sendiri ialah isteri.

Sikap isteri yang sentiasa memberi ‘amaran’ kepada suami agar tidak berpoligami sebenarnya seperti mencabar suaminya melakukannya. Bahkan, ada isteri mencabar suami agar mencari isteri lain, dan sebagai jalan penyelesaian ialah dia hendaklah diceraikan.

Kuasa nikah dan talak di tangan suami. Jadi, isteri tidak wajar membuat cabaran yang sebenarnya terdapat banyak suami yang menyahut cabaran itu.

Perkara utama disyarat untuk suami berpoligami ialah dapat berlaku adil. Keadilan itu meliputi dari aspek nafkah zahir dan batin, kasih sayang, agihan masa, perhatian dan aspek lain yang sepatutnya menjadi hak bahagian setiap isteri dan anak-anak.

Sebenarnya syarat adil ini perlu diteliti sepenuhnya. Sesungguhnya, ia mudah disebut tetapi sukar dilaksanakan. Tidak ada timbangan, sukatan atau ukuran dapat digunakan untuk menentukan keadilan yang ingin dibahagi-bahagi di antara isteri.

Biarpun nafkah zahir atau wang ringgit boleh dikira, hakikatnya keadilan itu juga masih sukar untuk diterjemahkan sepenuhnya. Membahagikan sama banyak peruntukan bulanan belum menentukan adil sebenarnya.

Mana-mana isteri mungkin memerlukan perbelanjaan lebih disebbkan dia perlu untuk kos rawatan, mempunyai bilangan anak lebih ramai, keperluan pemakanan berbeza, keperluan harian berbeza dan sebagainya.

Itu kos boleh dikira secara tetap. Bagaimana pula dengan kos yang sentiasa berubah. Bayaran bil elaktrik, air, telefon dan sebagainya tidak sama setiap bulan. Semua bil itu tanggungjawab suami menjelaskannya. Itu tidak termasuk perbelanjaan di luar jangka.

Dengan kata lain, memperuntukkan jumlah wang sama banyak setiap bulan belum menjamin keadilan. Justeru, bagaimana untuk mengatakan adil sebenarnya. Jika perkara yang boleh dihitung seperti wang tidak boleh lagi ditentukan sama adil, inikan pula perkara yang tidak boleh diukur atau dihitung seperti kasih sayang dan nafkah batin.

Justeru, bagi suami berpoligami memadai adil dengan cara berusaha untuk berlaku adil. Keadilan berpoligami bermakna suami melihat isteri-isteri dalam satu dimansi yang sama. Suami berpoligami tidak membezakan kecantikan, umur dan perkara lain yang berkaitan kelebihan dan kekurangan seseorang isteri.

Suami berpoligami perlu bersikap jujur menunaikan hak setiap isterinya mengikut kemampuan yang terbaik. Penentuan kemampuan suami berlaku adil terletak pada diri suami sendiri yang tidak boleh diukur berdasarkan kepada dilihat secara fizikal sahaja. 

Kerjasama dan sokongan isteri juga perlu bagi membolehkan suami berlaku adil. Isteri dimadu tidak wajar terlalu menuntut hak sehingga sukar ditunaikan oleh suami. Sering berlaku kerana ingin ‘membalas dendam’ kerana dimadu, isteri sengaja menimbulkan masalah. Ia dilakukan agar suami tidak rasa senang atau gembira berpoligami.

Suami berpoligami perlu tegas dalam hal memenuhi hak di antara isteri. Jangan beri peluang mana-mana isteri lebih monopoli. Hak sama rata ditunaikan. Suami bijak menilai apa yang diperlukan oleh setiap isteri.

Justeru, suami bercadang berpoligami perlu menimbang semasak-masaknya keupayaan menjalankan tugas. Soal diri sendiri dengan jujur dan menjawabnya dengan fikiran rasional tanpa dipengaruhi nafsu semata-mata.

Islam mengharuskan berpoligami bertujuan kebaikan dan bukan semata-mata kerana nafsu yang tiada kesudahannya. Oleh itu poligami ditegah jika dirasakan akan mendatangkan keburukan, terutamanya berlaku zalim terhadap isteri.

Bagi isteri, bermadu memang pahit, tetapi banyak hikmahnya. Jangan menilai pada aspek buruknya, sebaliknya fikirkan apa kebaikan. 

Suami yang berpoligami, jangan mempersia-siakan keistimewaan diberikan. Berlaku jujur dan adil merupakan tuntutan agama. Sebenarnya tidak ada istilah menipu sunat. Menipu hukumnya berdosa.

No comments:

Post a Comment