Tuesday 13 December 2022

DITIPU TAKUT DIKENAKAN TINDAKAN MAHKAMAH

 
Kata orang, jerat tak pernah lupakan pelanduk, hanya pelanduk yang selalu lupakan jerat. Mungkin ada benarnya perumpamaan ini yang sedikit sebanyak menyentuh aktiviti harian kita. Ini termasuklah perhatian kita kepada sindiket yang suka mengambil kesempatan dengan pelbagai tipu helah untuk menipu duit orang ramai jika tidak berhati-hati.
 
Taktik penipan mereka sentiasa berubah-ubah, namun konsep asasnya masih menggunakan panggilan telefon. Sindiket penipuan kewangan berkenaan melakukan penipuan dengan modus operandi menyamar sebagai pegawai kastam, polis, hospital, pegawai mahkamah, syarikat insurans, syarikat penghantaran barang dah sebagainya.
 
Apa yang memeranjatkan, masih ramai orang di luar sana terpedaya dengan taktik penipuan yang pelbagai biarpun banyak kali Bank Negara Malaysia dan agensi penguatkuasaan seperti polis dan Majlis Keselamatan Negara giat menjalankan kempen kesedaran mengenai penipuan kewangan, namun masih ada lagi orang awam menjadi mangsa penipuan ini.
 
Banyak lagi yang kerugian ribuan, malahan ratusan ribu ringgit gara-gara terpedaya dan terpesona dengan bermacam penipu di alam maya seperti macau scam, loverscam dan sebagainya.
 
Penipuan dalam talian terus aktif kerana sedar peluang untuk mangsa mempercayai mereka masih ada. Mungkin bilangan yang terpedaya secara relatifnya kecil berbanding mangsa yang cuba ditipu, tetapi keuntungan yang diperoleh adalah berbaloi.
 
Masakan tidak, ada mangsa yang terpedaya sehingga ‘menyerahkan’ wang kepada penipu berjumlah RM7.73 juta.
 
Kebanyakan mangsa terpedaya apabila dikatakan akan dikenakan tindakan mahkamah atau ada waren tangkap terhadap mangsa kerana sesuatu kesalahan.
 
Sepatutnya, walau taktik apa yang digunakan oleh penipu, jika boleh menghidu penipuan mereka apabila meminta yang bukan-bukan seperti nombor kod kebenaran transaksi (TAC) daripada pihak bank, pemindahan wang ke akaun, pembukaan akaun baharu dan sebagainya.
 
Jadi berhati-hatilah semua, jangan jadi mangsa. Jangan mudah percaya dengan sebarang panggilan telefon individu yang tidak dikenali dan buat semakan terlebih dahulu dengan agensi berkaitan sebelum membuat keputusan atau transaksi pemindahan wang.

Gambar hiasan - bokbong atau jebon

No comments:

Post a Comment