Tuesday 4 October 2022

ISLAM BERPERANAN MEMPERKASAKAN MELAYU

 
Islam telah memperkasakan bangsa dalam rumpun Melayu di Nusantara, sehingga berjaya menegakkan beberapa kerajaan yang bertamadun sebelum kedatangan golongan penjajah. Adanya kerajaan seperti Kesultanan Melaka, Kerajaan Demak, Kerajaan Acheh dan lain-lain, kerajaan yang silih berganti berkuasa.

Hukum Islam yang adil kepada semua telah dilaksanakan sehingga berjaya memerintah masyarakat berbagai-bagai suku kaum dan agama tanpa paksaan dalam beragama. Bahkan, tidak ditukar nama asal rumpunnya dan tutur bahasanya dengan mengizinkan wujudnya masyarakat majmuk.

Hal ini berpandukan kepada firman Allah SWT: “Dan antara tanda-tanda kekuasaan-Nya ialah menciptakan langit dan bumi serta berlainan bahasa dan warna kulit kamu. Sesungguhnya, pada hal yang demikian itu benar-benar terdapat tanda-tanda bagi orang-orang yang mengetahui.” (Surah al-Rum, ayat 22)

Selain itu, Islam membawa mesej kepada manusia yang terdiri daripada pelbagai bangsa berkonsepkan keluarga besar dengan perintah Allah SWT melalui firman-Nya yang bermaksud: “Wahai sekalian manusia! Bertaqwalah kepada Tuhanmu yang telah menjadikan kamu daripada diri yang satu (Adam), dan daripadanya itu dijadikan pasangannya (isterinya iaitu Hawa), dan daripada kedua-duanya Dia mengembangbiakkan keturunan lelaki dan perempuan yang ramai. Dan bertaqwalah kepada Allah yang kamu selalu meminta dengan menyebut-nyebutkan nama-Nya, serta peliharalah hubungan silaturahim; kerana sesungguhnya Allah sentiasa memerhati (mengawasi) kamu.” (Surah al-Nisa, ayat 1)

Dan juga firman Allah SWT: “Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu daripada seorang lelaki dan seorang perempuan, dan Kami telah menjadikan kamu berbagai-bagai bangsa dan bersuku puak, supaya kamu saling kenal-mengenal (bermasyarakat madani). Sesungguhnya, semulia-mulia kalangan kamu di sisi Allah ialah orang yang paling bertaqwa antara kalian. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Mengenal.” (Surah al-Hujurat, ayat 13)

Di Malaysia, antara syarat menjadi atau diiktirf sebagai bangsa Melayu ialah beragama Islam. Individu yang ibu bapanya Melayu, tetapi dia tidak menganut agama Islam, maka dia tidak mendapat status Melayu.

Berdasarkan Perlembagaan Persekutuan di bawah Perkara 60 Fasal 2, orang Melayu ditakrifkan sebagai “orang Melayu” ertinya seseorang yang menganuti agama Islam, lazim bercakap bahasa Melayu, menurut adat Melayu dan;
(a) yang lahir sebelum Hari Merdeka di Persekutuan atau Singapura atau yang lahir sebelum Hari Merdeka dan ibu atau bapanya telah lahir di Persekutuan atau di Singapura, atau yang pada Hari Merdeka berdomisil di Persekutuan atau di Singapura; atau
(b) ialah zuriat seseorang yang sedemikian

Kejayaan Malaysia dalam apa juga bidang adalah dipacu oleh pemimpin Melayu yang pastinya beragama Islam. Islam dikatakan mulai masuk dan berkembang di Melaka sejak Islamnya Raja Melaka pada 1276M. Sejak itu Islam bukan sahaja berkembang pesat di Melaka, tetapi Melaka telah bangkit menjadi sebuah pusat penyebaran Islam yang paling berpengaruh di Nusantara pada abad ke-15M sehingga dapat menyaingi pengaruh Majapahit yang berpusat di Jawa.

Sejak dari zaman Kesultanan Melaka sehingga sekarang, Tanah Melayu ditunjangi kepimpinan oleh orang Melayu Islam.

Kalangan mereka yang membuat kenyataan bahawa orang Melayu gagal memerintah negara itu perlu disekolahkan kerana pada hakikatnya mereka itu buta sejarah.

Mereka membuat kenyataan laksana kumpulan orang buta yang mahu mengenali gajah dengan meraba-raba salah satu anggotanya sahaja, tanpa melihat seluruh jasad gajah yang besar. Lalu, dinyatakan rupa bentuk gajah dengan keterangan yang salah dan penuh pembohongan.

Kenyataan mereka itu menyentuh soal perkauman dan sensitiviti kaum, tanpa mengira kaum yang sangat berperikemanusiaan dan berbudi bahasa kepadanya. Seolah-olah telah lupa terhadap bangsanya sendiri yang pernah dizalimi, ketika diangkut oleh penjajah dan diperhambakan di tapak lombong dan ladang-ladang. Namun, kini mereka diberikan taraf kewarganegaraan, bukannya menumpang atau dihalau pulang ke negara asalnya.

No comments:

Post a Comment