Wednesday 2 March 2022

ASAL NAMA KAMPUNG DIMULAI ‘GUAL’

Di jajahan Pasir Mas, khususnya di Rantau Panjang terdapat banyak nama kampung dimulai dengan perkataan ‘gual’ seperti Kampung Gual Nibong, Kampung Gual Tok Deh, Kampung Gual Periok, Kampung Gual Ngering, Kampung Gual Mesa, Kampung Gual Rimau, Kampung Gual Kulim, Gual Tualang dan beberapa kampung lain.

Di jajahan Tanah Merah pula terdapat Kampung Gual Ipoh dan Kampung Gual Petai Lima.

Apakah maksud ‘gual’? Dalam glosari dialek Kelantan yang dikeluarkan Dewan Bahasa tidak terdapat perkataan dieja ‘gual’.

Namun, semakan perkataan ‘guar’ mendapati ia adalah perkataan yang kerap digunakan di Kedah yang bermaksud anak bukit.

Jadi, ada kemungkinan perkataan ‘gual’ dan ‘guar’ adalah membawa maksud yang sama, iaitu anak bukit atau tempat yang lebih tinggi berbanding kawasan  berhampirannya.

Jadi, perkataan ‘gual’ boleh dikaitkan dengan tempat tinggi, sama seperti istilah ‘kok’ dan ‘gong’ yang digunakan sebagai nama kampung di Kelantan.

Apa pula kaitan perkataan ‘gual’ dan ‘guar’? Guar asal perkataan Kedah, tetapi mengapa banyak digunakan di Kelantan, khususnya di Rantau Panjang.

Pada pendapat penulis, ia ada kaitan dengan banyak orang Kelantan pada masa dahulu pergi ke Kedah untuk bekerja di bendang atau sawah padi. Pada ketika itu, jalan untuk ke Kedah adalah melalui Rantau Panjang, memasuki Golok dan seterusnya Kayu Hitam di Kedah.

Jadi, ada kemungkinan mereka yang pernah pergi ke Kedah menamakan kampung-kampung di sekitar Rantau Panjang yang tempatnya lebih tinggi berbanding kawasan sekitarnya sebagai ‘guar’ mengikut dialek Kedah, tetapi apabila diejak menjadi ‘gual’.

Kajian mengenai perkataan ‘gual’ wajar diperincikan sebagai satu bahan sejarah.  

No comments:

Post a Comment