Sunday 11 April 2021

Rundingan kerusi hanya dengan PPBM – Hadi Awang

Pas menghentikan sementara rundingan pembahagian kerusi bagi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) dengan UMNO dan ketika ini rundingan yang ada hanyalah dengan PPBM.

Presiden Pas Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, rundingan dengan UMNO akan diteruskan setelah parti itu mempunyai keputusan atau hala tuju yang jelas tentang kerjasama bersama Pas dan PPBN dalam Perikatan Nasional (PN) bagi menghadapi PRU15 akan datang, katanya kepada pemberita selepas menyampaikan kuliah Jumaat secara dalam talian di Marang pada 9 April lalu.

"Sekarang ini sudah ada pimpinan Pas yang melaksanakan tugas itu (pembahagian kerusi) dengan PPBM. Dengan UMNO pula, dulu sudah ada jawatankuasa yang dibentuk tetapi UMNO yang ubah di tengah jalan.

"Oleh kerana UMNO bermasalah, kita dengan PPBM dulu (bincang mengenai pembahagian kerusi)," katanya.

Di kalangan ahli UMNO tidak terkejut dengan kenyataan tersebut. Malah, banyak ahli akar umbi berpendapat tidak perlu diadakan perbincangan pembahagian kerusi dengan Pas. UMNO boleh bertanding hanya dengan kerjasama parti komponen Barisan Nasional (BN) seperti PRU sebelum ini.

Mengenai Muafakat Nasional (MN), ia boleh diteruskan kerana penubuhannya bukan untuk menghadapi PRU15 semata-mata. MN masih boleh diteruskan untuk tujuan lain yang memberi kebaikan kepada Islam dan Melayu, serta negara secara keseluruhannya.

No comments:

Post a Comment