Sunday 7 February 2021

BOLEHKAH MEMBUNUH KERENGGA DENGAN API

Banyak orang berpendapat adalah ditegah atau haram membunuh kerengga, semut atau binatang lain dengan cara membakar. Ini berdasarkan sebuah hadis yang melarang mengazab atau membunuh dengan api melainkan Tuhan api itu sendiri.

Rasulullah SAW bersabda bermaksud: “Sesungguhnya tidaklah mengazab seseorang itu dengan api melainkan Tuhan api itu sendiri. (Hadis riwayat Abu Daud)

Daripada hadis di atas ini dapatlah kita fahami bahawa seseorang itu tidak boleh mengazab sesuatu itu dengan api yang mana ia merupakan perbuatan yang dilakukan oleh Allah SWT.

Justeru tidak boleh untuk membunuh atau mengazab mana-mana haiwan dengan menggunakan api dan pembakaran.

Namun, di sana terdapat pengecualian terhadap haiwan-haiwan yang memberikan gangguan atau memudaratkan seseorang itu dan tidak ada cara lain untuk membunuhnya melainkan dengan cara menggunakan api.

Ini berdasarkan sebuah hadis yang bersabda: “Seorang Nabi dari kalangan para Nabi telah berehat di bawah sebatang pokok, kemudian dia digigit oleh seekor semut. Beliau kemudiannya mengarahkan supaya barang-barangnya dialih dari bawah pokok tersebut, kemudian beliau mengarahkan agar sarang semut tersebut dibakar dengan api. Maka Allah memberikan wahyu kepada beliau dengan kata-Nya: ‘’Tidakkah sepatutnya (dibunuh) seekor semut sahaja (iaitu yang menggigit kamu)?’’. (Hadis riwayat Bukhari)

Para ulama mengambil pengajaran daripada hadis ini dengan berkata: Sesungguhnya seekor semut yang menyakiti Nabi tersebut boleh untuk dikecualikan dari keumuman larangan membakar dengan menggunakan api.

Dari sudut boleh untuk ia dibunuh dan diazab dengan api, sekiranya sudah tidak ada cara yang lain bagi menghalang kemudaratan darinya.

Sebenarnya, kita ditegah untuk mengazab haiwan dengan apa cara sekalipun. Sebagai umat Islam kita dituntut untuk melakukan kebaikan kepada kesemua makhluk. Ia merangkumi berbuat baik kepada manusia sama ada orang Islam atau bukan Islam, demikian juga kita dituntut untuk berbuat baik kepada haiwan.

Sabda Rasulullah SAW bermaksud: “Sesungguhnya Allah telah mewajibkan berbuat ihsan kepada setiap sesuatu.” (Hadis riwayat Muslim).

Hadis ini jelas dalam menyatakan kewajiban berlaku ihsan kepada setiap makhluk. Termasuklah antaranya berbuat ihsan kepada kesemua kategori manusia dan juga kepada haiwan-haiwan. Sehinggakan pada saat ingin menyembelih haiwan juga dituntut (untuk berlaku ihsan). 

Menyakiti dan berbuat kezaliman kepada haiwan-haiwan tanpa sebarang yang dibenarkan oleh syarak adalah haram hukumnya. Bahkan pengabaian dalam hal ini boleh menyebabkan seseorang itu ditempatkan ke dalam neraka.

Rasulullah SAW bersabda: “Seorang perempuan diazab disebabkan seekor kucing yang dia kurung sehingga ia mati kelaparan. Maka wanita tersebut masuk ke dalam neraka disebabkannya. Beberapa perbuatan zalim yang dilakukan oleh perempuan ini kepada kucing tersebut disebutkan di dalam sambungan hadis di atas iaitu dikatakan kepadanya: Kamu tidak memberi makan dan minum kepadanya ketika kamu mengurungnya. Begitu juga kamu tidak melepaskannya sehingga dia boleh makan serangga yang berada di tanah.(Hadis riwayat Bukhari).

Dengan kata lain, kita ditegah menganiaya atau membunuh binatang dengan tanpa sebab munasabah dengan apa cara sekalipun.

No comments:

Post a Comment