Friday, 25 May 2018

CABARAN DAN KONFLIK WANITA DALAM DUNIA KORPORAT

Penyertaan wanita dalam dunia korporat atau swasta semakin bertambah. Namun, pada masa sama, konflik atau cabaran wanita dalam dunia korporat masih tidak selesai. Jarang sekali wanita boleh memilih keluarga dan kerjaya dalam satu masa. Ada berpendapat sekiranya memilih hidup berkeluarga, lupakan saja sektor korporat kerana ia bukan tempatnya.

Justeru tidak hairan sekiranya hari ini ramai di kalangan wanita yang memilih bidang berkenaan hidup membujang, atau sekurang-kurangnya berkahwin pada usia yang lewat, sedangkan perubahan berkenaan sekiranya dilihat pada jangka masa yang panjang boleh memberikan implikasi kepada generasi akan datang yang mungkin tidak terfikir hari ini.

Wanita berkahwin yang memiliki anak dikatakan tidak mampu memberikan komitmen sepenuhnya kepada kerjaya kerana anak mungkin dianggap sebagai ‘pencuri’ masa yang mana sedangkan mereka seharusnya meletakkan syarikat pada tempat pertama, sekali gus memberi dilema yang tinggi kepada wanita berkenaan.

Lelaki pula mungkin dianggap paling sesuai, memberikan sepenuhnya masa kepada kerjaya kerana isteri boleh berperanan mengambil alih tugas melihat perkembangan anak ketika suami bekerja, dan ini mungkin satu kelebihan kepada lelaki kerana tidak perlu membahagikan masa antara rumah dan tempat kerja.

Sayangnya hari ini semakin ramai wanita yang berkebolehan untuk menerajui sektor korporat, tetapi begitu kejam sektor korporat hingga langsung tidak memberi peluang kepada wanita berperanan sebagai wanita yang sebenarnya, berkahwin, memiliki anak dan tidak berada di pejabat 24 jam.

Masalah dihadapi wanita sektor korporat perlu dilihat secara mendalam kerana wanita hakikatnya memiliki potensi yang baik membangunkan syarikat, malangnya jika banyak perkara buruk dipaparkan, mungkin hanya akan menyebabkan sektor berkenaan tidak menarik lagi.

Bagi wanita pula, selalunya terpaksa beralah dengan kehendak itu hinggakan membahagikan masa antara keluarga dan kerjaya memberikan satu tekanan yang hebat.

Lantaran kesukaran itu semakin ramai yang memilih untuk hidup membujang, tetapi kita lupa bahawa sekiranya wanita tidak berminat lagi untuk mendirikan rumah tangga dan memiliki anak, keperluan sosial akan mungkin tidak seimbang lagi.

Sekiranya ada kesukaran yang boleh diatasi pihak pengurusan syarikat, sudah sampai masanya ia dipertimbangkan supaya tidak menjadi satu kesukaran kepada wanita dan pada masa sama tidak memberikan kesan negatif kepada kemajuan syarikat.

Walaupun syarikat mempunyai syarat tertentu seperti tidak membenarkan anak di bawa ke pejabat, sekurang-kurangnya ia boleh dilonggarkan dengan memberikan masa anjal kepada wanita khususnya yang memiliki anak yang masih kecil dan memerlukan perhatian ibu sepenuhnya.

Semuanya berkaitan dengan undang-undang yang diciptakan oleh manusia dan ia boleh diubah supaya lebih menggembirakan wanita kerana sebagai manusia seharusnya kita ingin seimbang dalam semua perkara.

Sekiranya kita tidak menyuarakan dan membawa masalah sebenar pada peringkat yang lebih tinggi, ia bukan saja tidak diketahui, sebaliknya mungkin syarikat menganggap semua pekerjanya berpuas hati dengan apa yang ditetapkan itu.

Wanita selalunya perlu bekerja dua kali ganda daripada lelaki sekiranya ingin membuktikan kehebatannya. Ada majikan yang inginkan pekerja memberikan komitmen sepenuhnya kepada kerjaya, sedangkan ia adalah mustahil bagi kita yang memiliki anak yang perlu diberikan perhatian.

Majikan perlu tahu situasi pekerja kerana sektor korporat amat menarik, tetapi sekiranya begitu keadaannya mungkin pekerja tidak memiliki masa untuk diri sendiri.

Dunia korporat tidak menjanjikan pekerjaan yang mungkin dianggap boleh bersantaian kerana itu adalah dunia korporat yang sebenarnya.

Sama ada anda memilih untuk berkeluarga atau berjawatan tinggi, itulah pilihan yang perlu anda putuskan.

No comments:

Post a Comment