Tuesday, 2 May 2023

SEMBAHYANG SUNAT HARI RAYA TANPA TAKBIR

Umat Islam adalah disunatkan untuk melakukan solat Sunat Hari Raya apabila tibanya Aidilfitri dan Aidiladha. Dalam mazhab Syafie, solat hari raya hukumnya adalah sunat muakkad dan bukannya wajib.
 
Antara hadis yang menyokong pendapat ini adalah daripada Talhah bin Ubaidillah berkata: ‘’Seorang lelaki telah datang bertemu dengan Rasulullah SAW dan bertanyakan tentang Islam. Kemudian Rasulullah SAW menjawab maksudnya: “(Kamu perlu) melaksanakan solat lima waktu sehari semalam.”
 
Kemudian lelaki itu bertanya: "Adakah menjadi kewajipan ke atasku solat selainnya?’’. Maka Nabi SAW menjawab maksudnya“Tidak, kecuali kamu ingin mengerjakan solat sunat.”
 
Hukum menunaikan solat hari raya boleh dilakukan di rumah sama ada secara bersendirian atau secara berjemaah adalah harus dan sah.
 
Oleh itu, adalah dituntut bagi semua umat Islam untuk menghadiri solat hari raya sama ada di tanah-tanah lapang mahupun di masjid-masjid dari kalangan orang lelaki dan perempuan, kanak-kanak, bahkan anak-anak dara, wanita berpurdah, serta wanita haid juga turut digalakkan menghadiri solat hari raya bagi menyaksikan pelaksanaannya.
 
Ini berdasarkan hadis daripada Ummu Atiyyah beliau berkata maksudnya: “Rasulullah SAW memerintahkan kepada kami (orang perempuan) untuk mengeluarkan anak-anak gadis dan wanita-wanita berpurdah pada dua hari raya serta baginda arahkan wanita haid agar menjauhi tempat solat umat Islam” (Hadis riwayat Muslim).
 
Waktu solat hari raya adalah di antara tempoh terbitnya matahari sehinggalah kepada tergelincirnya matahari atau secara mudahnya iaitu jam 8.00 pagi ke atas sehingga sebelum masuknya waktu solat zohor.
 
Solat hari raya Aidilfitri dua rakaat hukumnya sunat, segala rukun dan syarat serta sunatnya sama seperti solat fardu yang lima, kecuali perkara sunat yang ditambahkan iaitu bertakbir tujuh kali pada rakaat pertama dan lima kali pada rakaat yang kedua, disertakan dengan bertasbih di antara tiap-tiap takbir.
 
Memandangkan bertakbir tujuh kali pada rakaat pertama dan lima kali pada rakaat yang kedua, disertakan dengan bertasbih di antara tiap-tiap takbir adalah sunat, maka sah sembahyang sunat Aidilfitri dan Aidiladha tanpanya.
 
Khutbah Aidilfitri dan Aidiladha sama dengan khutbah Jumaat dari segi rukunnya. Namun sunat dimulakan oleh khatib dengan lafaz takbir sebanyak sembilan kali berturut-turut pada khutbah pertama dan tujuh kali berturut-turut pada khutbah kedua.
 
Jadi, jika tidak dimulakan dengan lafaz takbir sebanyak sembilan kali berturut-turut pada khutbah pertama dan tujuh kali berturut-turut pada khutbah kedua, khutbah raya itu tetap sah.
 
Sebab itu, khutbah raya menggunakan khutbah Jumaat tetap sah. Satu lagi perkara perlu diingatkan, khutbah raya tidak ada kaitan dengan sah sembahyang sunat raya. Tanpa khutbah raya, sembahyang sunat raya adalah sah.
 
Sesiapa yang menunaikan solat sunat hari raya secara bersendirian tidak perlu membaca khutbah untuk menjadikan sembahyang sunat hari raya yang dilakukan olehnya sah.

No comments:

Post a Comment