Umat Islam akan kuat dan berkuasa jika
bersatu. Pihak yang bertelagah dan berlainan fahaman perlu melupakan perbezaan
yang menjadi punca pertentangan sesama sendiri. Formula yang membolehkan semua
umat Islam bersatu perlu difikirkan bersama.
Perbezaan fahaman atau pendekatan dalam
soal mencapai sesuatu matlamat tidak sepatutnya menjadi penghalang kepada
perpaduan dan persaudaraan yang menjadi teras ajaran Islam.
Amat malang sekali apabila perbezaan itu
menyebabkan sesama Islam bermusuhan sesama sendiri yang menyebabkan umat Islam
semakin lemah dan tidak berpeluang untuk bersaing dengan penganut agama lain
yang semakin bergerak ke hadapan meninggalkan kita dalam segenap segi.
Ketika orang Islam semakin ditindas dan
dianiayai di seluruh dunia, ada kelompok orang Islam bermusuhan sesama sendiri.
Fenomena ini berlaku disebabkan percanggahan pendapat dan untuk kepentingan
kelompok tertentu.
Lihatlah apa yang berlaku di Palestin
sekarang apabila dua kumpulan umat Islam kononnya sama-sama memperjuangan
negara Palestin dan umat Islam bermusuhan sesama sendiri. Umat Islam dibunuh
atau terbunuh akibat pertelingkahan sesama sendiri adalah lebih banyak
berbanding yang dibunuh oleh musuh Islam.
Kedudukan umat Islam yang lemah sekarang
ini sepatutnya membuka peluang umat Islam lebih bersatu menentang segala
ketidak adilan ciptaan kuasa besar yang terpaksa dihadapi oleh umat Islam. Umat
Islam di seluruh dunia sekarang ini dilayan oleh masyarakat antarabangsa
seakan-akan lebih hina daripada binatang.
Ada negara Islam yang termasuk dalam
kategori kaya dan mempunyai pengaruh di peringkat antara bangsa lebih bersikap
mementingkan diri sendiri dan tidak mahu mencampuri urusan sesama Islam yang
ditindas disebabkan takut kepentingan sendiri terancam adalah antara punca
kelemahan umat Islam.
Kita tidak sepatutnya berpecah,
tambah-tambah lagi ketika kita dalam keadaan lemah seperti sekarang. Kita kena
bersatu dan permulaan sepatutnya bermula di negara kita. Orang Islam di negara
kita mesti bersatu dan saling menjaga hubungan baik. Masalah perbezaan fahaman
politik tidak seharusnya menyebabkan kita bemusuhan sesama
sendiri.
Kelemahan umat Islam hari ini berpunca
perpecahan sesama Islam adalah sesuatu hakikat yang tidak dapat dinafikan.
Perkara ini perlu diberi perhatian agar tidak terus menjadi virus merosakkan
kesyumulan Islam.
Akibat keadaan itu, musuh Islam menjadi
semakin kuat. Mereka mengambil kesempatan memberi tekanan dan melaga-lagakan
puak-puak Islam. Jika ada negara atau individu bukan Islam yang mendakwa ingin
mendamaikan pertelingkahan sesama puak Islam, itu hanya retorik politik dunia.
Usaha itu sekadar hendak menunjukkan peranan yang dimainkan pihak tertentu,
tetapi tidak mencapai apa-apa kejayaan.
Sebab itu, urusan politik umat Islam mesti
diuruskan sendiri oleh orang Islam. Jika ada pertelikahan politik sesama puak
Islam, mestilah ada di kalangan orang Islam sendiri menjadi pengantaraan untuk
mencari perdamaian.
Penyatuan manusia sebenarnya banyak
melibatkan tatacara bagaimana hubungan dilangsungkan, baik secara fizikal
maupun rohani. Islam menekankan cara hidup yang menekankan akhlak mulia, kasih
sayang, saling menghormati, hidup bersama, bersatu dan
bersetia.
Islam melarang sama sekali dilakukan
perbuatan yang membawa kepada permusuhan dan kemusnahan. Sebab itu, jalinan
persaudaraan adalah satu perintah yang mesti ditunaikan sebagai tanda mentaati
Allah.
Sesiapa yang menjalin persaudaraan dengan
ikhlas mematuhi kehendak agama, dia melakukan usaha untuk mendekatkan dirinya
kepada Allah. Sebaliknya, sesiapa memutuskan hubungan sesama manusia, samalah
dia memutuskan hubungannya dengan Allah.
Persaudaran sesama Muslim adalah ikatan
iman, yang mana sesiapa melepaskan ikatan itu bermakna melepaskan dirinya
daripada kelompok orang Muslim. Perbuatan itu merobohkan kekuatan binaan
persaudaraan Islam yang kesannya dialami seluruh umat Islam.
Persaudaraan atas dasar iman tidak akan
terputus biarpun dilanda hebat dengan berita fitnah, adu domba dan gosip.
Sebarang keraguan yang wujud diselesaikan secara bersemuka dan berterus terang.
Apa yang keruh dijernihkan, yang rapuh diperteguhkan dan yang hampir putus
disambung kembali.
No comments:
Post a Comment