Monday, 10 November 2025

KEDAH BAKAL MULAKAN PROSES UNDANG-UNDANG TERKAIT ISU PAJAKAN PULAU PINANG

 
ALOR SETAR (10 November 2025): Kedah dalam fasa akhir memuktamadkan pelantikan pasukan guaman bagi memulakan tindakan perundangan berhubung isu kedudukan dan hubungan negeri itu dan Pulau Pinang.
 
Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor, berkata langkah itu susulan keprihatinan Sultan Kedah, Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah yang menzahirkan keperluan supaya isu berkenaan dijelaskan secara telus termasuk perkara berkaitan pajakan.
 
Kerajaan negeri, sudah melantik pasukan penyelidik terdiri daripada pakar sejarah dan perundangan untuk menjalankan kajian komprehensif mengenai perkara berkenaan.
 
Ini termasuk melaksanakan analisis mendalam, penyediaan dokumen serta memulakan proses tindakan perundangan di mahkamah.
 
Pada masa ini, kerajaan negeri pada peringkat memuktamadkan lantikan peguam bagi melaksanakan analisis, penyediaan dokumen serta proses perundangan di mahkamah.
 
Muhammad Sanusi berkata, kerajaan negeri menzahirkan penghargaan atas perhatian yang diberikan oleh Tuanku Sultan terhadap isu itu dan memastikan setiap langkah diambil berpaksikan fakta sejarah serta landasan perundangan yang sah.
 
Pada 2021, kerajaan Kedah menuntut bayaran royalti pajakan Pulau Pinang sebanyak RM100 juta daripada Kerajaan Persekutuan selepas ia tidak pernah dinilai semula sejak 1786.

No comments:

Post a Comment