Saturday, 25 January 2025

NASIB TANGGANG

 
Tanggang anak kepada Talang dan Deruma. Mereka hidup sebagai keluarga nelayan di tepi pantai. Kehidupan mereka amatlah miskin.
 
Tanggang bercita-cita tinggi. Namun, keadaan hidupnya yang serba kekurangan dan ketiadaan peluang menjadi penghalang kepada cita-citanya.
 
Pada suatu hari, ketika sudah meningkat usia, Tanggang terlihat sebuah kapal besar berlabuh di muara sungai berhampiran dengan rumahnya.
 
Tanggang berjumpa dengan nakhoda dan meminta menjadi anak kapalnya. Nakhoda bersetuju kerana telah melihat kecekapan Tanggang bersampan. 
 
Walaupun Talang dan Deruma amat keberatan melepaskan anaknya belayar, mereka terpaksa mengalah. Tanggang berjanji akan kembali ke kampung setelah kaya.
 
Tanggang melakukan apa sahaja kerja yang diperintahkan nakhoda. Nakhoda amat suka dengannya kerana rajin bekerja, lalu dijadikan anak angkat. Apabila nakhoda uzur,  Tanggang dilantik menjadi nakhoda. 
 
Tanggang pandai berniaga. Dia menjadi kaya dan namanya terkenal sehingga diketahui sultan. Dia dijamput ke istana dan kemudian dikahwinkan dengan puteri sultan. .
 
Tanggang membawa isterinya berlayar ke banyak tempat. Pada suatu hari, kapal Tanggang berlabuh di muara sungai kampung asalnya. Orang kampung mengetahui nakhoda kapal itu Tanggang, lalu diberitahu kepada orang tuanya.
 
Talang dan Deruma pun berkayuh sampan menuju ke kapal. Apabila tiba di kapal, mereka dilarang naik. 
 
Seketika kemudian, Tanggang muncul dengan isterinya. Tanggang malu melihat keadaan ibu dan bapanya yang daif di hadapan isterinya dan berpura-pura tidak kenal biarpun namanya dipanggil berkali-kali. 
 
Tanggang menghalau ibunya dengan biadap. Talang dan Deruma berdayung ke daratan dengan perasaan sedih. 
 
Apabila tiba di daratan, Deruma memandang ke langit dan memgangkat tangannya, lalu berseru, "Oh, Tuhan! Tunjukkanlah kepada Tanggang bahawa akulah ibu kandungnya."
 
Tiba-tiba petir berdentum dan angin bertiup kencang. Kapal Tanggang terumbang-ambing akibat air yang bergelora.
 
Tanggang berasa kesal. Dia sedar Tuhan telah memperkenankan doa ibunya. Dia berteriak kepada ibunya supaya diampun. Akan tetapi, penyesalannya sudah tidak berguna lagi. Kapalnya pecah akibat dipukul oleh ombak yang kuat. 
 
Apabila ribut reda, Tanggang, isterinya, kapalnya, dan semua anak kapalnya telah bertukar menjadi batu.
 
Itu kisah yang sering diceritakan dari satu generasi kepada generasi. Di satu sudut, ia memang ada pengajaran iaitu jangan lupa kepada ibu bapa apabila telah kaya.
 
Namun, tidakkah itu satu gambaran tentang Melayu yang mudah lupa diri? Melayu yang tidak bersyukur.
 
Bagaimana jika kita ubah sedikit plot cerita itu? Yalah... kisah itu bukan cerita betul pun. 

Begini akhir ceritanya... setelah menjadi kaya dan berkahwin dengan puteri raja, Tanggang teringat janjinya kepada kedua ibu bapa yang dia akan pulang ke kampung. 
 
Setiba di kampungnya, Tanggang dapati kampungnya yang ditinggalkan berpuluh tahun banyak mengalami perubahan.  
 
Tanggang gagal mengesan ibu bapanya. Lalu dia memberitahu orang ramai tentang hasratnya mencari kedua-dua ibu bapanya. Mendengar pengumuman itu, maka berduyung-duyung orang datang mengaku mereka sebagai ibu bapa Tanggang. Tanggang keliru dan tidak dapat mengecam dengan betul ibu bapanya.
 
Ibu bapa palsu yang kecewa itu mula menyumpah kepada Tanggang sebagai anak durhaka. Sebenarnya masing-masing kecewa tidak tidak berpeluang mendapat anak ekspres yang kaya raya.
 
Terikut-ikut dengan sikap ibu bapa palsu itu, ibu Tanggang turut mengucapkan sumpahan terhadap anaknya biarpun berat hati.
 
Lalu, akibat sumpahan itu, Si Tanggang bersama isterinya yang cantik, serta kapal dan seluruh kelasi bersama bahan berharga di dalamnya bertukar menjadi batu.
 
Plot cerita itu lebih menarik untuk dikongsikan. Pengajarannya, ibu bapa jangan mudah sumpah dan mendoakan sesuatu yang buruk terhadap anak. Doa ibu amat makbul. Doakan sesuatu yang baik kepada anak-anak biarpun anak telah melakukan sesuatu yang mengguris hati.

No comments:

Post a Comment