Tuesday, 31 December 2024

BULAN REJAB DIMULIAKAN

 
Bulan Rejab salah satu “al-Ashur al-Hurum” (bulan-bulan haram) selain bulan Muharam, Zulkaedah dan Zulhijjah. Bulan haram merupakan bulan mulia. 

Firman Allah SWT dalam surah al-Taubah ayat 36 bermaksud: "Sesungguhnya bilangan bulan-bulan di sisi (hukum) Allah ialah dua belas bulan, (yang telah ditetapkan) dalam Kitab Allah semasa Dia menciptakan langit dan bumi. Antaranya empat bulan haram (yang dihormati). Ketetapan yang demikian itu ialah agama yang betul lurus, maka janganlah kamu menganiaya diri kamu dalam bulan-bulan yang dihormati itu (dengan melanggar larangan-Nya)."

Sabda Rasulullah SAW bersabda, "Sesungguhnya masa itu beredar sebagaimana hari Allah mencipta langit dan bumi iaitu setahun itu ada dua belas bulan. Antaranya ada empat bulan haram (yang dihormati) iaitu tiga bulan berturut-turut: Zulkaedah, Zulhijjah, dan Muharram. Seterusnya Rejab iaitu antara bulan Jamadilakhir dan Syaban." (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim).

Imam Ibnu Rajab al-Hanbali menjelaskan, maksud Rejab ialah agung (Lata'if al-ma'arif, hlm. 117). Oleh sebab itu, bulan Rejab adalah bulan agung dan mulia. Antara keistimewaan bulan Rejab ialah berlakunya peristiwa Isra dan Mikraj yang menurut majoriti ulama' ia berlaku pada 27 Rejab.

Dalam peristiwa ini, Rasulullah SAW telah diisra’kan (diperjalankan) dari Masjidil Haram di Mekah ke Masjid al-Aqsa di Palestin dan kemudian dimi’rajkan (dinaikkan) ke langit menuju Sidratul Muntaha.

Firman Allah SWT yang bermaksud: ayat 1 Surah al-Isra’ yang bermaksud: “Maha Suci Allah yang telah memperjalankan hambaNya (Nabi Muhammad SAW dengan roh dan jasadnya) pada waktu malam dari Masjidil Haram (di Mekah) ke Masjid al-Aqsa (Baitul Muqadis di Palestin), yang kami berkati sekelilingnya supaya kami memperlihatkan kepadanya sebahagian daripada tanda (kebesaran dan kekuasaan) kami. Sesungguhnya Allah Maha Mendengar lagi Maha Melihat”.(Surah al-Isra, ayat 1).

Dalam peristiwa tersebut, Rasulullah SAW telah menyaksikan tanda-tanda kebesaran dan kekuasaan Allah SWT dan kemuncak peristiwa inilah Allah SWT telah memfardukan solat lima waktu kepada umat Islam.

Firman Allah SWT dalam ayat 45 Surah al-Ankabut yang bermaksud: “Bacalah serta ikutlah (wahai Muhammad) akan apa yang diwahyukan kepadamu dari al-Quran, dan dirikanlah sembahyang (dengan tekun); sesungguhnya sembahyang itu mencegah dari perbuatan yang keji dan mungkar; dan sesungguhnya mengingati Allah adalah lebih besar (faedahnya dan kesannya); dan (ingatlah) Allah mengetahui akan apa yang kamu kerjakan”.

No comments:

Post a Comment