Monday 21 November 2022

GILA KUASA ADALAH SATU PENYAKIT

 
Sabda Rasulullah SAW bermaksud: “Sesungguhnya kamu akan bersungguh mengejar kepimpinan (jawatan), sedangkan ia akan menjadi satu penyesalan buat kamu di hari akhirat. Maka yang sebaik-baiknya adalah yang memberi susuan (pemimpin yang memberi kebaikan), dan yang seburuk-buruknya adalah pemutus susu (iaitu kiasan buat pemimpin yang memutuskan nikmat kepada rakyat). (Hadis riwayat Bukhari, no: 7148)
 
Rasulullah SAW berpesan kepada kita bahawa akan ada di antara kita yang bersungguh mengejar jawatan, sedangkan ia adalah satu penyesalan di hari kiamat kelak bagi mereka yang gagal melaksanakan tanggungjawab dengan baik.
 
Bahkan dalam sebuah hadis yang lain, Rasulullah SAW menegaskan bahawa orang yang gilakan kuasa ini tidak seharusnya diberikan jawatan. Perkara ini dijelaskan ketika Baginda ditanya tentang mereka yang meminta untuk memegang kepimpinan lalu Rasulullah menjawab: َ“Kami tidak memberikan kepimpinan kepada mereka yang memintanya, dan bukan pada mereka yang tergila-gilakan jawatan kepimpinan.” (Hadis riwayat Bukhari, no: 7149)
 
Seorang tokoh sufi yang terkenal pernah berpesan bahawa gilakan kuasa akan merosakkan peribadi seseorang. Gilakan kuasa menyebabkan seseorang cenderung bersifat hasad dengki bahkan suka mencari keaiban manusia lain.
 
Kata Fudail ibn Iyyad: “Tidak ada seorang lelaki yang gilakan kuasa kepimpinan melainkan dia akan terjebak dengan hasad dan kejahatan, suka mencari keaiban manusia dan dan dia tidak suka apabila disebutkan padanya kebaikan orang lain.” (Ibn Abd al-Barr, Jami’ Bayan al-Ilm wa Fadhlih)
 
Imam Abu Ayyub al-Sakhtiyani berpesan bahawa mereka yang cintakan kemasyhuran dan kepimpinan ini adalah mereka yang sukar dipercayai. Kata beliau: “Seorang hamba itu tidak akan sekali-kali jujur (dikira jujur dan tulus dalam perhambaannya), jika dia mencintai kemasyhuran.” (Musnad Ibn al-Ja’d)
 
Malah Abu Daud al-Sijistani melihat sifat ini sebagai salah satu daripada penyakit atau menggelarkannya sebagai syahwat yang tersembunyi. Beliau pernah ditanya tentang nafsu atau syahwat yang tersembunyi ini: “Abu Daud pernah ditanya berkenaan dengan apa yang dimaksudkan dengan nafsu syahwat yang tersembunyai ini? Lalu dia berkata: (mereka yang) cintakan kuasa.” (Ibn Taimiyyah, Jami’ al-Rasail)
 
Atas dasar itu para salafusoleh terdahulu sangat berhati-hati dengan penyakit cintakan kepimpinan atau jawatan ini.
 
Sufyan al-Thauri pernah menulis surat kepada ‘Abbad bin ‘Abbad, dia berpesan kepadanya: “Hendaklah engkau menjauhi sifat cintakan jawatan, sesungguhnya seorang lelaki (yang ditimpa penyakit ini) akan lebih cintakan jawatan lebih daripada dia mencintai emas dan perak. Ia adalah perkara (penyakit) yang sangat tersembunyi yang tidak dapat dilihat melainkan mereka yang diberikan basirah (penelitian yang mendalam) dari kalangan ulama. Maka periksalah dirimu (agar ia tidak dihinggapi penyakit ini) dan beramallah dengan niat (yang ikhlas) (Abu Nu’aim, Hilyah al-Awliya)

No comments:

Post a Comment