Thursday 18 February 2021

PERKHIDMATAN KERETA API PILIHAN ANGGOTA TENTERA

Kerajaan Malaysia berusaha untuk meningkatkan perkhidmatan pengangkutan rel kepada kadar lebih tinggi. 

Kadar penggunaan perkhidmatan rel yang tinggi di sesebuah negara dianggap sebagai tanda kemajuan pengangkutan di sesebuah negara.

Penggunaan kenderaan rel telah lama di Malaysia sejak zaman penjajanan Inggeris. Sistem kereta api di Tanah Melayu bermula pada 1 Jun 1885 apabila jajaran kereta api yang pertama sepanjang 8.25 batu (13.28 km) antara Taiping dengan Port Weld dibuka secara rasmi. 

Laluan ini dibina untuk mengangkut bijih timah daripada lombong-lombong di Taiping ke laut di Port Weld. 

Pada masa dahulu, perkhidmatan kereta api menjadi pengangkutan anggota tentera dan ahli keluarga bergerak dari satu destinasi ke destinasi lain. Kelengkapan tentera juga banyak diangkut menggunakan perkhidmatan kereta api.

Sebab itu, satu pemandangan biasa jika terdapat anggota tentera di stesen kereta api. Anggota tentera menggunakan waran tiket percuma kereta api yang perlu menukarkan waran tersebut kepada tiket di agen penjualan tiket.

Penggunaan kereta api dianggap memudahkan anggota tentera kerana mereka akan dihantar ke stesen kereta api menggunakan kenderaan tentera dan akan ada pihak menanti di stesen dituju untuk dibawa ke kem.

Ketibaan di sesuatu stesen yang berhampiran dengan kem tentera biasanya melibatkan banyak anggota. Jadi, proses untuk membawa mereka ke kem lebih mudah.

Biarpun pengguna waran tiket percuma kereta api masih diamalkan atau disediakan, tetapi sekarang ini anggota tentera yang menggunakan kereta api semakin berkurangan. 

Anggota tentera kini lebih gemar menggunakan bas yang juga disediakan waran tiket percuma. Perkhidmatan bas dianggap lebih selesa dan cepat.

Semoga penggunaan kereta api kembali menarik perhatian anggota tentera dan ahli keluarga untuk bergerak ke satu-satu destinasi.

No comments:

Post a Comment