Wednesday 20 January 2021

UBI KAYU PARUT BUAT KUIH TONYOH

Kuih tonyoh semakin dikenali semasa musim tengkujuh. Kuih tonyoh ni kira macam kuih putu halba yang banyak didapati pada musim tengkujuh di Kelantan. Kiranya kedua-dua jenis kuih ini adalah kuih bermusim.

Adakah kuih tonyoh tidak boleh dibuat pada musim panas? Apa pula tidak boleh. Sebenarnya kuih tonyoh boleh dibuat bila-bila masa asalkan ada ubi kayu dan alat parut.

Ubi kayu adalah bahan asas untuk membuat kuih tonyoh. Memandangkan ubi kayu mudah diperoleh pada musim tengkujuh, maka banyaklah orang buat kuih tonyoh pada musim tengkujuh.

Penyediaan kuih tonyoh dianggap mudah dan peralatan untuk memasak kebanyakannya ada di kebanyakan rumah. Peralatan yang diperlukan ialah pemarut dan kukusan.

Ubi kayu yang telah diparut akan digaulkan dengan sedikit garam. Untuk kelihatan warna warni, boleh dimasukan juga pewarna.

Bahan yang telah digaul rata akan dibuat tompokan atau diasingkan mengikut ukuran dikehendaki. Kemudian dikukus selama kira-kira 20 hingga 30 minit.

Untuk memakannya, ikut cara masing-masing. Ada yang memakannya bersama kelapa parut dicampur dengan gula atau manisan.

Untuk lebih sedap, sediakan kuah berbentuk manisan yang biasa dimakan dengan putu atau serabai.

Kalau hendak makan kosong pun ok. Rasanya macam ubi kayu rebus biasalah.

Mengapa dipanggil kuih tonyoh? Sebabnya ketika memarut ubi kayu itu kena 'tonyoh', iaitu menekan dengan kuat ke atas mata parut. Kalau tidak ditekan dengan kuat atau tonyoh, maka tiada ada hasil parutan ubi kayu. 

No comments:

Post a Comment