Saturday 26 December 2020

MEMBURU AWAN KARPET DI BUKIT PANAU

Indah seperti di kayangan! Hamparan putih ‘awan karpet’ yang memayungi kawasan tepi Sungai Kelantan di sekitar puncak Bukit Panau menawarkan panorama alam yang sangat menakjubkan.

Pancaran cahaya hasil biasan sang mentari yang seakan-akan malu menjelmakan diri berjaya menyempurnakan pemandangan memukau, ternyata kombinasi alam semula jadi dicipta untuk saling melengkapi antara satu sama lain.

Gerakan perlahan wap udara sejuk dari permukaan bumi membentuk gabungan kepulan kabus mampat menghasilkan fenomena awan karpet yang memutih.

Terletak di jajahan Pasir Mas, bukit yang ketinggian 255 meter dari paras laut ini menjadi tumpuan dan kian popular dalam kalangan rakyat tempatan bagi operasi pemburuan awan karpet.

Pembentukan wap dan kabus daripada tanah dan pokok yang mengelilingi bukit berkenaan mencipta hamparan putih permaidani awan.

Apabila wap udara segar daripada permukaan bumi terkumpul seterusnya menjadi mampat, ia menghasilkan lapisan kabus tebal seperti awan.

Paras pembentukan awan karpet adalah bergantung kepada kelembapan dalam udara. Ini kerana kandungan kelembapan mempengaruhi suhu titik embun atau dew point yang membuatkan wap air berubah menjadi kabus.

Awan karpet terbentuk seiring dengan naiknya matahari di ufuk timur. Awan karper akan semakin berkurangan apabila hari semakin panas. Biasanya sekitar pukul 9 pagi ia sudah mula hilang.

Sebab itu, mereka yang memburu pemandangan awan karpet perlu memulakan pendakian paling lewat pukul 7.30 pagi agar dapat berada di pucak Bukit Panau sekitar pukul 8.30 pagi bagi berpeluang melihat awan karpet. 

Lagi awal mendaki lebih baik. Sebab itu, kebanyakan pemburu awan karpet akan mula mendaki sebaik usai menunaikan sembahyang subuh.

Pun begitu, pembentukan awan karpet penuh tidak berlaku setiap hari. Jadi, kira nasib jugalah. Pun begitu, tompokan awan yang tidak penuh biasanya berlaku setiap hari, kecuali hari hujan. 

Gambar: Dirakam pada pukul 08.05 minit pagi, 27 Disember 2020 oleh seorang pemburu awan karpet yang dikongsikan melalui media sosial. 

No comments:

Post a Comment