Sunday 11 October 2020

UBI KAYU REBUS KEMBALI POPULAR

Ubi kayu rebus adalah menu ubi kayu yang dimasak, direbus atau dikukus. Ubi kayu sejenis tanaman kontan yang banyak ditanam di kawasan tropika, termasuk di negara kita.

Hidangan menu ubi rebus menjadi makanan tradisi penduduk di negara kita. ia mudah ditanam dan mengeluarkan hasil. Ubi kayu pembekal tenaga. Sebab itu, ada masyarakat di negara lain menjadikan ubi kayu sebagai makanan rugi.

Malah di negara kita, ubi kayu dijadikan makanan altenatif menggantikan nasi ketika Pendudukan Jepun di Malaya semasa Perang Dunia Kedua.

Terdapat banyak jenis ubi kayu tumbuh di negara kita. Namun, tidak semua jenis sesuai atau sedap dimakan. Terdapat jenis ubi kayu yang agak keras, pahit dan aroma yang tidak enak.

Apakah jenis ubi kayu yang sesuai untuk dijadikan ubi rebus bagi tujuan dimakan? Di negara kita ubi kayu jenis black twig (tangkai hitam) dan white twig (tangkai putih) tempatan sesuai untuk direbus dan dimakan.

Jenis ubi yang beracun adalah dari jenis ubi gajah, ubi ornamental, ubi 'ganyot' pula adalah jenis yang kurang sesuai untuk direbus.

Pokok ubi kayu yang berumur lebih 7-8 bulan ke atas boleh dituai. Jika dibiarkan lebih lama, ubinya akan menjadi keras dan tidak sesuai untuk dimakan. 

Ubi yang digali atau dicabut perlu direbus dengan segera untuk menjamin kualitinya. Lebih lama ubi dibiarkan akan menyebabkan berlakunya proses penapaian dan penurunan kualiti.

Memasak atau merebus ubi kayu memerlukan masa 15-25 minit sehingga ubi rebus lembut atau emput. Toskan air dan biarkan ubi agak sejuk sedikit untuk dihidangkan.

Ubi kayu rebus boleh makan kosong tanpa pencicah. Namun biasanya ia dicicah atau dimakan bersama dengan kelapa muda diparut yang digaul bersama gula dan sedikit garam.

Selain itu, ubi kayu rebus juga dimakan bersama sambal tumis ikan bilis atau sambal tumis udang. 

Ada juga yang suka makan ubi kayu rebus dengan ikan goreng, sama ada ikan kering mahupun ikan segar terutama akan selayang.

Menu ubi kayu rebus kini bukan sahaja digemari penduduk kampung, bahkan kita turut dihidangkan di restoren dan hotel mewah.

1 comment: