Friday 13 March 2020

REZEKI JANGAN DITOLAK BALA JANGAN DICARI

Rezeki jangan ditolak, bala jangan dicari. Elok sungguh nasihat orang tua kita. Mengingatkan kita tentang sesuatu yang jauh berbeza antara rezeki dan bala.

Rezeki adalah perkara yang baik. Orang berusaha keras untuk mencari rezeki. Rezeki dalam pelbagai bentuk. 

Rezeki tidak hanya dalam bentuk wang atau kebendaan. Kesihatan yang baik juga satu rezeki. Mendapat kawan yang baik juga layak dipanggil rezeki.

Maknanya orang memang mengharapkan agar mendapat rezeki. Jadi, jika rezeki datang tanpa dicari, itu dikira amat bertuah. 

Dalam keadaan itu tentu sekali boleh diangap bodoh jika menolak rezeki itu. Sebab itu orang tua memberi peringatan agar rezeki yang datang itu jangan ditolak.

Bala pula jangan dicari. Bala adalah keadaan yang kita tidak suka. Situasi yang mendatangkan kerugian dan kesedihan. Bala adalah ujian untuk kita menerima ketentuan Allah. 

Ketika menerima rezeki kita bersyukur dan jika berdepan bala hendaklah reda dengan apa yang berlaku.

Malang sekali, perkara yang nyata mengundang bahaya kerap dilakukan oleh kita. Kita seakan mencari bala. Ya... memang tiada siapa ingin bala menimpa dirinya. 

Namun, kita sering lupa bahawa kita sering menjemput bala dengan melakukan perbuatan yang boleh mendatangkan bala.

Untuk mengelak bala, jangan sekali-kali melakukan perbuatan yang boleh menyebabkan bala datang. Apabila bala telah datang, dia tidak akan kembali, melainkan bala itu benar-benar terjadi.  

No comments:

Post a Comment