Thursday 24 October 2019

BUDAK BOLEH BERADA SAF ORANG DEWASA

Terdapat amalan diamalkan di masjid yang mengasingkan saf kanak-kanak perlu diasingkan dengan orang dewasa. Perkara itu dilakukan kerana dibimbangi sembahyang batal jika sentuh kanak-kanak membawa najis (belum bersunat).

Alasan perlu asingkan saf kanak-kanak berdasarkan satu hadis.

“Rasulullah SAW menjadikan saf orang dewasa di hadapan kanak-kanak, dan saf kanak-kanak di belakang mereka sementara saf perempuan di belakang kanak-kanak.” (Hadis riwayat Ahmad dan Abu Daud).

Syeikh al-Albani menyatakan: “Sanad (rangkaian perawi) hadis ini lemah. Terdapat seorang periwayat hadis yang lemah namanya Syahr bin Husyab.

Menjadikan saf kanak-kanak di belakang saf dewasa aku tidak mendapati hadis yang lain kecuali hadis ini sahaja dan ianya tidak boleh dijadikan hujah.

Aku berpendapat tidak mengapa kanak-kanak bersolat sekali dengan saf dewasa sekiranya terdapat kekosongan. Hadis Anas yang bersolat bersama seorang anak yatim di belakang Rasulullah SAW menjadi hujah dalam masalah ini.” (Tamamul Minnah, hlm. 284)

Antara hujah yang digunakan juga ialah kanak-kanak itu menaggung najis yang sekiranya bersolat bersama di dalam satu saf maka akan batallah satu saf tersebut.

Hujah ini tidak dibina di atas dalil al-Quran dan sunnah. Bahkan Nabi SAW mendukung cucunya ketika solat.

Imam Ibn Rajab al-Hanbali menyatakan: “Hadis menunjukkan bersihnya pakaian kanak-kanak, sekiranya dihukumkan najis sudah tentu Nabi tidak mendukungnya, begitu juga yang dinaskan (disebut) oleh Imam Syafie dan selainnya.” 

Nabi SAW juga membawa anak kecil ke Masjid iaitu cucu baginda  ketika bersolat.  Malah Nabi SAW menjadi imam solat ketika itu.

Abdullah bin Syaddad meriwayatkan bahawa ayahnya berkata: ”Rasulullah menemui kami saat hendak mengerjakan salah satu solat malam (iaitu maghrib atau isya) sambil membawa Hasan atau Husain. Rasulullah ke hadapan dan meletakkan cucunya tersebut lalu mengucapkan takbiratul-ihram dan memulai solat.

Di tengah solat, beliau sujud cukup lama”. Ayahku berkata: ”Maka aku mengangkat kepala, lalu nampaklah cucu beliau yang masih kecil itu sedang bermain di atas belakang beliau, sedangkan beliau tetap sujud. Maka aku pun sujud kembali.

Setelah selesai solat, para shahabat bertanya: ’Wahai Rasulullah, engkau sujud terlalu lama di tengah-tengah solat tadi, sehingga kami mengira telah terjadi sesuatu, atau engkau sedang menerima wahyu”.

Rasulullah SAW bersabda: ”Semua dugaan kalian tidaklah terjadi. Akan tetapi cucuku ini sedang naik ke belakangku seperti sedang menunggang kenderaan. Aku tidak ingin memberhentikannya sampai dia benar-benar berhenti sendiri” (Hadis Riwayat Nasai dalam Ash-Shughraa no. 1141; sahih).

Manakala dari hadis yang lain dari Abi Qatadah Al-Anshary dia berkata: ”Aku melihat Nabi sedang mengimami manusia dan Umamah binti Abil-’Ash – ia adalah anak dari Zainab binti Nabi (digendong) di atas bahunya. Apabila beliau rukuk, maka beliau meletakkannya, dan apabila beliau akan berdiri dari sujud, maka beliau kembali (menggendongnya)” (Hadis riwayat Bukhari no. 494 dan Muslim no. 543; ini lafaz Muslim).

Dua hadis di atas adalah bukti bahawa saf kanak-kanak tidak diasingkan dari saf orang dewasa bahkan cucu baginda berada di saf imam. 

No comments:

Post a Comment