Monday 20 November 2017

JIHAD MENCARI REZEKI

Islam menggalakkan agar setiap muslim bekerja dengan gigih untuk merebut setiap kurniaan yang Allah sediakan di muka bumi ini. Sikap mudah berpuas hati dengan apa yang dimiliki menjadi panghalang kepada kejayaan umat Islam.

Kita menaruh rasa bimbang dengan sikap individu yang tidak mahu berusaha mencari rezeki secara berlipat ganda kerana lama kelamaan ia akan menjadi satu budaya dalam masyarakat yang mana sudah merasa satu ‘kepuasan’ jika telah mampu mengadakan keperluan asas biarpun serba daif. 

Sikap inilah yang turut mendorong golongan muda mengamalkan sifat negatif yang sekadar berpuas hati dengan apa yang diwarisi daripada ibu bapa. Mereka lebih berhibur, berlumba haram dan terlibat gejala sosial biarpun keluarga dalam keadaan daif yang memerlukan mereka berusaha.     

Sesungguhnya, amat besar pahala bagi anak-anak yang membantu keluarga, khususnya kepada kedua ibu bapa. Rasulullah menjelaskan bahawa anak yang soleh melakukan kebaikan untuk ibu bapa dan keluarganya dijanjikan pahala yang besar ketika menemui Allah dengan wajah berseri-seri di akhirat kelak. 

Sabda Rasulullah bermaksud: “Sesiapa mencari rezeki halal untuk menjaga dirinya supaya tidak meminta-minta dan berusaha memenuhi keperluan hidup keluarganya, serta dapat pula membantu tetangganya, maka di akhirat kelak dia akan menemui Allah dengan wajah berseri-seri bagaikan bulan pernama.” (Hadis riwayat Thabrani)       

Kisahnya, sedang Rasulullah berbual-bual dengan para sahabat, seorang lelaki berbadan tegap dan kuat (dalam lingkungan umur belia) lalu di hadapan mereka. Maka para sahabat pun berkata: “Ya Rasulullah, alangkah baiknya jika orang itu berjuang untuk membela agama Allah.” Lalu Rasulullah pun menjawab dengan sabdanya:

“Jika lelaki itu keluar dari rumahnya untuk mencari nafkah untuk anak-anaknya yang masih kecil, itu juga fisabilillah namanya. Mencari rezeki untuk kedua orang tuanya yang sudah tua, juga dinamakan fisabilillah.  Mereka mencari rezeki untuk dirinya sendiri supaya tidak meminta-minta juga dikira fisabilillah. Tetapi, jika keluar kerana niat bongkak dan menunjuk-nunjuk, ia dikira sebagai fisabilissyaitan (mengikut jalan syaitan).” (Hadis riwayat Thabrani).

Keluarlah meninggalkan rumah setiap hari dengan ikhlas mencari rezeki halal. Kita akan mendapat habuan di dunia dan pada masa yang sama kebaikan di akhirat.

Sebab itu, sepatutnya orang Islam lebih gigih dalam usaha mencari rezeki kerana mendapat dua keuntungan. Sedangkan bukan Islam hanya mendapat satu keuntungan.

No comments:

Post a Comment