Saturday 5 October 2024

POKOK ASAM GELUGUR

 
Pokok asam gelugur (Garcinia atroviridis) banyak tumbuh di India, Myanmar, Thailand dan Malaysia. Di Semenanjung Malaysia, ia tumbuh meliar di hutan tanah pamah hingga berbukit pada altitud hingga 600 meter, selain yang ditanam berhampiran kawasan rumah yang dianggap sebagai satu tumbuhan penting.
 
Pokok asam gelugur mempunyai khasiat ubatan dan telah diamalkan secara tradisi oleh masyarakat Melayu. Pucuknya yang berwarna perang kemerahan popular dijadikan ulaman dan sedap dimakan begitu sahaja atau dicicah dengan sambal.
 
Pucuknya mempunyai rasa masam-masam lemak. Amalan memakan ulam pucuk gelugur berupaya mengawal tekanan darah tinggi dan aras glukosa dalam darah. Amalan itu juga dapat membantu proses penghadaman.
 
Air rebusan daun dipercayai dapat merawat lelah dan melegakan batuk kering. Selain diminum, air rebusan daun turut boleh dijadikan mandian untuk meredakan demam dan demam kuning (bayi) dan melegakan kegatalan.
 
Air rendaman buah boleh digunakan untuk dilumurkan pada kepala bagi mengatasi masalah kelemumur.
 
Selain itu, air rebusan atau rendaman asam keping kering diamalkan bagi membantu mengawal tekanan darah tinggi dan berat badan.
 
Banyak produk kesihatan memasukkan pati asam keping sebagai sebahagian kandungan, terutama bertujuan untuk mengawal berat badan. .
 
Selain dijadikan ubatan, pucuk dan asam keping yang mempunyai rasa masam popular digunakan dalam masakan atau pengganti asam jawa. Asam keping juga banyak digunakan dalam masakan seperti asam pedas, kari dan laksa. Ia juga diletakkan ketika proses merebus ikan.



No comments:

Post a Comment