Thursday 4 August 2022

PCAK PASARKAN TIKAR KERCUT BANTU ASNAF

 
Pertubuhan Cakna Asnaf Kelantan (PCAK) mempelbagaikan aktiviti untuk membantu golongan asnaf. Biarpun PCAK lebih memberi tumpuan kepada menerima sumbangan orang ramai dan kemudian diagihkan kepada asnaf, kini bantuan turut meliputi menjana ekonomi di kalangan asnaf.

Pengerusinya, Fazliyaton Daud menjelaskan, PCAK akan berkerjasama dengan pengusaha tikar kercut untuk memasarkan produk tersebut.

Tikar kercut adalah produk kraf tangan yang semakin dilupakan dan kurang mendapat permintaan, sedangkan masih ada keluarga yang mengharapkan atau menjadikan tikar kercut sebagai sumber pendapatan.

Kercut adalah sejenis tumbuhan (rumput) yang daunnya dibuat tikar dan lain-lain. Kercut juga dipanggil mansiang agam, mansiro hitam, kambuih, rumput kerecut dan rumput kumbar. Kercut atau nama saintifik Scirpus mucronatus telah melatari budaya Melayu apabila ia menjadi sebahagian sumber semula jadi yang digunakan dalam kehidupan seharian.

Di Kampung Kubang Keladi, Jelawat, Bachok masih ada empat keluarga yang menjadikan kerja mengayam tikar kercut sebagai sumber pendapatan. Mereka mampu menghasilkan sejumlah tikar kercut yang hasil jualannya boleh dijadikan sumber pendapatan untuk menampung keluarga, namun bilangan pembeli agak terhad kerana banyak orang tidak mengetahui mengenainya.

Justeru, menurut Fazliyaton, PCAK akan membantu pengusaha tikar kercut agar ia dapat dipasarkan secara lebih meluas, termasuk keluar negeri Kelantan agar lebih banyak yang terjual, sekaligus menambah pendapatan pengusaha dan mampu dijadikan pendapatan tetap.

Fazliyaton percaya permintaan terhadap tikar kercut masih ada jika ia dipasarkan melalui saluran yang betul terutama di kedai kraf tangan atau kedai berkonsep barangan tradisional.

Menurut Fazliyaton, dia sendiri sebelum ini pernah memasarkan tikar kercut di beberapa negeri, termasuk Johor dan pernah memasuki pasaran Singapura.

Katanya lagi, jika kena pada strategi pemasaran, tikar kercut boleh dipasarkan di peringkat global secara dalam talian kerana masyarakat di luar negara berminat dengan hasil kraf tangan yang menggunakan sumber semula jadi seperti tikar kercut.

PCAK merupakan NGO kebajikan yang berusaha membantu golongan asnaf. PCAK memerlukan lebih banyak sumbangan daripada orang ramai agar lebih banyak lagi asnaf dapat dibantu. 

Untuk maklumat lanjut boleh hubungi Pengerusi Pertubuhan Cakna Asnaf Kelantan, Fazliyaton Daud di talian 011-1941-3639. 

Pihak yang ingin menyumbang boleh dilakukan melalui akaun bank: 100-5055-000000-084 (MBSB). 

Pertubuhan Cakna Asnaf Kelantan adalah pertubuhan berdaftar. Nombor pertubuhan: PPM-006-03-30032021 

Catatan: Kercut tidak sama dengan mengkuang.



No comments:

Post a Comment