Sunday 2 May 2021

Perlantikan pegawai kanan polis perlu melalui menteri

Semua pihak perlu menerima hakikat bahawa sistem undang-undang yang kita guna pakai sekarang adalah berkonsepkan demokrasi berparlimen serta raja berpelembagaan.

Berdasarkan perkara 40(1) Perlembagaan, yang menyatakan bahawa;

“Pada menjalankan fungsinya di bawah Perlembagaan ini atau undang-undang persekutuan, Yang di-Pertuan Agong hendaklah bertindak mengikut nasihat jemaah Menteri atau nasihat seseorang Menteri..”

Cukup jelas bahawa Yang di-Pertuan Agong hanya boleh bertindak atas nasihat kabinet atau menteri sahaja, melainkan perkara-perkara lain yang mana baginda mempunyai budi bicara penuh.

Dalam isu lantikan Ketua Polis Negara atau pegawai kanan polis, adakah Yang di-Pertuan Agong mempunyai kuasa mutlak? Yang di-Pertuan Agong tidak mempunyai kuasa mutlak dan hanya boleh bertindak di atas nasihat Perdana Menteri atau menteri sahaja.

Adalah amat salah dan terkhilaf sama sekali pendapat yang mendakwa bahawa Ketua Polis Negara berhak melantik dan menyusun lantikan anggota kanan polis.

Ini kerana di bawah perkara 140(4);

(4) Yang di-Pertuan Agong boleh menetapkan sebagai jawatan khas jawatan Ketua Polis Negara, Timbalan Ketua Polis Negara dan apa-apa jawatan lain dalam pasukan polis yang pada pendapatnya adalah serupa atau lebih tinggi tarafnya; dan pelantikan bagi menyandang mana-mana jawatan yang ditetapkan sedemikian tidaklah boleh dibuat mengikut Fasal (1) tetapi hendaklah dibuat oleh Yang di-Pertuan Agong atas syor Suruhanjaya Pasukan Polis.

(5) Sebelum bertindak mengikut Fasal (4) atas syor Suruhanjaya Pasukan Polis, Yang di-Pertuan Agong hendaklah menimbangkan nasihat Perdana Menteri, dan boleh merujukkan syor itu balik satu kali kepada Suruhanjaya itu untuk ditimbangkan semula.

Apa yang boleh difahami bahawa Suruhanjaya Pasukan Polis boleh mencadangkan nama, tetapi kata putus terletak di tangan Yang di-Pertuan Agong setelah mendapat nasihat Perdana Menteri.

Dalam istilah perlembagaan, Perdana Menteri, Menteri, Kabinet adalah dari pihak yang sama.

Dan dalam istilah undang-undang, ‘nasihat’ itu mengikat Yang di-Pertuan Agong dan Yang di-Pertuan Agong tidak boleh bertindak melawan nasihat tersebut. Ini dinyatakan dengan cukup jelas sekali di bawah perkara 40 (1A) Perlembagaan Persekutuan.

Tidak jelas dalam undang-undang tentang bagaimana proses dalam mengeluarkan syor oleh Suruhanjaya Pasukan Polis. Siapa yang mempunyai kata putus dalam Suruhanjaya Pasukan Polis (SPP)? Menteri atau Ketua Polis Negara?

SPP dipengerusikan oleh Menteri Dalam Negeri. Keahliannya tidak ramai, cuma 9 orang sahaja. Ahli-ahli yang lain adalah Ketua Polis Negara, KSU Kementerian Dalam Negeri, wakil dari Suruhanjaya Perkhidmatan Awam, serta beberapa bekas anggota kanan PDRM dan kementerian yang telah bersara.

Secara natijahnya, amat mustahil untuk difikirkan bahawa Ketua Polis Negara mempunyai ‘the final say’ dalam SPP kerana beliau bukan pengerusi dan cuma ahli semata-mata.

Malah lantikan dalam SPP juga dibuat oleh Yang di-Pertuan Agong setelah mendapat nasihat Menteri atau Perdana Menteri dan bukan dari Ketua Polis Negara.

Ternyata perlembagaan memberikan ruang dan kuasa kepada badan eksekutif dalam menentukan kenaikan pangkat anggota kanan polis. Maka dakwaan bahawa kononnya Menteri ‘campur tangan’ adalah tidak munasabah kerana ia sememangnya urusan di bawah bidangkuasa beliau sebagai menteri KDN.

Seperkara lagi yang perlu diambil perhatian, walaupun sekiranya SPP membuat syor kepada Yang di-Pertuan Agong seorang calon yang tidak dipersetujui oleh Menteri (Pengerusi SPP), Yang di-Pertuan Agong akhirnya terpaksa juga mendapatkan nasihat daripada Perdana Menteri sebelum melantik calon yang disyorkan oleh SPP tersebut.

Ini bermakna pusing ikut mana pun akhirnya tetap kuasa eksekutif sama ada menteri atau Perdana Menteri yang boleh membuat ketetapan tentang calon anggota kanan polis. Kerana undang-undang ini jugalah Tan Sri Abdul Hamid Bador yang sudah berpencen boleh kembali dalam perkhidmatan sebagai Ketua Polis Negara atas nasihat yang dibuat oleh bekas Perdana Menteri pada masa itu, Tun Dr. Mahathir Mohamad kepada Yang di-Pertuan Agong.

Jadi istilah campur tangan ini tidak sesuai digunakan memandangkan ia sememangnya kuasa badan eksekutif dan bukan kuasa Ketua Polis Negara.

Tan Sri Abdul Hamid Bador dalam sidang media terakhir sebagai Ketua Polis mencadangkan undang-undang ini dipinda dan kuasa menyusun lantikan pegawai kanan polis ini diberikan kepada Ketua Polis Negara dan bukan lagi Menteri.

Cadangan itu boleh membuka laluan untuk Malaysia menjadi sebuah negara ‘police state’ apabila badan eksekutif yang memenangi pilihan raya tidak lagi berhak menentukan pelantikan pegawai kanan polis. Tiada lagi accountability kepada rakyat kerana jawatan-jawatan utama polis boleh diuruskan dan ditetapkan oleh seorang Ketua Polis Negara sahaja.

Ini langsung bercanggah dengan konsep demokrasi berparlimen apabila rakyat tidak lagi memainkan peranan dalam pelantikan jawatan-jawatan utama penguatkuasa undang-undang negara. 

No comments:

Post a Comment