Sejenis buah yang semakin lupus dalam kamus ingatan
penduduk di Malaysia ialah buah kiat atau juga dikenali buah khiyat, buah
sekiat, buah keriat, buah chekiat dan buah ghiat mengikut loghat berbeza.
Buah kiat memang terkenal pada masa dahulu. Pokoknya
banyak tumbuh secara liar di kawasan kampung. Ia juga ditanam berhampiran rumah
atau tumbuh hasil 'tok temenggong' atau pembuangan najis yang dilakukan di dalam
semak.
Buah kiat terkenal di Kelantan pada dekad-dekad
lalu. Begitu juga di Kedah dan Terengganu. Mungkin juga di negeri-negeri lain di
seluruh Malaysia. Bukti buah sekiat terkenal pada masa dahulu kerana banyak nama
tempat dinamakan dengan nama buah istimewa itu.
Di Kelantan terdapat tempat menggunakan nama
kiat. Tempat paling terkenal dengan nama kiat di Kelantan ialah Kampung
Kubang Kiat yang juga sebuah mukim (kampung) di daerah (mukim) Kadok, Jajahan
(daerah) Kota Bharu, Kelantan.
Selain itu nama kiat juga terdapat Kampung
Kiat di Pasir Mas dan Pengkalan Kiat, Pulai Chondong. Di Terengganu
terdapat nama Kampung Gong Kiat. Di Sik, Kedah pula ada Kampung Banggul Kiat.
Dengan kata lain, nama buah kiat terkenal
pada masa dulu. Tetapi, jika kita sebut nama atau buah kiat, tidak ramai
generasi sekarang yang kenal dan pernah makan buahnya.
Ini kerana buah yang popular pada masa dulu,
kini telah dikategorikan sebagai buah nadir atau buah yang jarang-jarang
ditemui. Buah kita kini sukar untuk dicari di kampung yang dulunya mudah
diperoleh.
Ini kerana pokok itu sudah banyak yang
ditebang kerana pembangunan, sedangkan yang baru pula tidak ditanam.
Tidak ada orang berasa sayang untuk menebang
pokok kiat dan tidak ada pula yang ingin menanam baru. Ini kerana tidak
ramai orang yang masih menggemari buah kiat.
Buah kiat bukannya tidak sedap. Ia
menjadi pilihan generasi terdahulu. Pokoknya jenis batang keras. Ketinggiannya
sekitar 5 hingga 10 meter.
Jadi tidak sukar untuk memanjatnya atau mengait mengguna galah. Pokok ini tidak merimbun. Jadi, ia tidak dijadikan pokok teduhan di kawasan rumah. Bahkan, jika terdapat pokok besar di atas menaunginya, pokok kiat akan meninggi kurus.
Kerana batangnya keras dan melurus, pokok
kiat biasa dijadikan ‘turus’ pagar atau batang pagar semulajadi.
Buah kiat pada masa muda atau belum masak
berwarna hijau. Besarnya lebih kurang sebesar buah tanjung atau buah
keranji.
Semasa masak, warna kulitnya bertukar kuning kemerahan. Untuk memakannya boleh secara mentah atau segar.
Untuk mengopek atau mengupasnya hanya perlu picit atau tekan di bahagian hujung buah sama ada di bawah atau bahagian tangkai.
Untuk mengopek atau mengupasnya hanya perlu picit atau tekan di bahagian hujung buah sama ada di bawah atau bahagian tangkai.
Kulitnya mudah terbelah dua dan menampakan
isinya dua ulas yang ‘berdakap’. Isinya licin nampak seperti berair tetapi agak
pejal, menampak samar-samar bijinya.
Rasanya masam-masam manis. Bagi mereka
yang biasa memakannya, akan menggigit sedikit bahagian isi untuk menikmati rasa
masam-masam manis itu dan kemudian terus ditelam dengan biji-bijinya.
Tindakan menelan bersama-sama biji tidak
mengganggu sistem penghadaman mereka yang telah biasa memakannya. Bahkan
dikatakan akan membantu proses pembuangan najis.
Disebabkan itu, di kampung-kampung, biasanya
pokok itu ditanam oleh ‘datuk temenggong’ atau dari najis yang mana sistem
membuang najis dulu dibuat merata-rata di kawasan berhampiran rumah di kawasan
berhampiran semak.
Buah ini sesuai dimakan segar atau dicampur
dengan pencicih seperti gula, garam, kicap atau cuka.
Biarpun semakin disukar ditemui, mungkin ada
bernasib baik dapat membelinya di pasar tani, atau turut dijual bersama dengan
buah-buahan lain atau di pasar sayur.
Untuk mengembalikan nama buah kiat dan
kembali mendapat sambutan, generasi muda perlu diperkenalkan dengan buah nadir
ini. Tidak sukar untuk menanamnya menggunakan biji. Ia satu warisan
bangsa yang perlu terus dikenali dan diminati.
Dulu ada satu poko kat tepi rumah kami. Besar giler. Kalau musim dia berbuah, selalu panjat dan lepat atas pokok sambal makan buah kiat dengan colek. Colek tu campuran gula dengan kicap jer. Nak lebih kaw, lenyek lada burung. memang padu wooo...
ReplyDelete