Tuesday 17 December 2019

TERIMA SKROL IJAZAH PADA MAJLIS KONVOKESYEN DI RUMAH


Menerima skrol pada majlis konvokesyen merupakan detik paling indah dalam hidup seorang pelajar. Namun, ada yang tidak berkesempatan melalui detik itu disebabkan sesuatu halangan biarpun tersenarai telah menamatkan pengajian dan layak naik menerimanya di pentas konvokesyen bersama rakan-rakan yang lain.

Menyedari pentingnya saat indah itu, pentadbiran Universiti Malaysia Kelantan (UMK) telah mengambil inisiatif mengadakan majlis penyampaian skrol ijazah kepada mahasiswa di satu majlis lain.

Menariknya, majlis itu dilakukan di rumah siswazah itu sendiri yang disempurnakan oleh Naib Canselornya, Prof Datuk Dr Noor Azizi Ismail yang turut dihadiri pengurusan tertinggi UMK.

Majlis mini konvokesyen itu diadakan khusus untuk meraikan kejayaan Abdul Halim Mat Hassan, 25. Pada majlis yang diadakan di Kampung Kok Kiak, Baka, Machang, Kelantan itu, Abdul Halim menerima Skrol Ijazah Sarjana Muda Pengajian Warisan.

Abdul Halim tidak dapat hadir pada Konvokesyen UMK ke 9 yang lalu kerana keadaan kesihatan beliau tidak mengizinkan disebabkan sakit kanser pangkal kerongkong. 

No comments:

Post a Comment