Monday 16 July 2018

TAKRIF FAKIR DAN MISKIN

Dalam takrif fikah, terdapat golongan yang dipanggil golongan fakir dan golongan miskin. Kedua-dua golongan ini berbeza tarafnya, untuk diberi keutamaan mendapat bantuan.  

Sedangkan kebanyakan orang menganggap kedua-dua golongan itu dalam kelompok yang sama. Malah perkataan fakir dan miskin kerap dirangkaikan menjadi fakir miskin, merujuk kepada golongan yang tidak memiliki harta dan hidup melarat.

Justeru, sebagai Muslim wajar kita memahami takrif fakir dan miskin mengikut ketetapan fikah. Penentuan ini penting memandangkan kedua-dua golongan ini disebut dalam senarai asnaf yang lapan layak menerima zakat. Golongan ini juga perlu diutamakan dalam mendapat sedekah dan bantuan. 

Firman Allah bermaksud: “Sesungguhnya sedekah (zakat) itu hanya tertentu untuk orang fakir, miskin, amil, mualaf yang dijinakkan hatinya dan hamba yang ingin membebaskan diri (diberi peluang membebaskan diri oleh tuannya, tetapi tidak mampu), orang yang berhutang (tidak mampu menjelaskannya), orang berjuang di jalan Allah dan orang musafir (kehabisan bekalan) dalam perjalanan, sebagai kewajipan fardu yang ditetapkan Allah, dan Allah Maha Mengetahui lagi Maha Bijaksana.” (Surah at-Taubah, ayat 60).

Takrif fakir dan miskin yang ditetapkan oleh fikah mungkin berbeza takrif digunakan oleh kerajaan. Bahkan, istilah biasa digunakan sekarang ialah golongan miskin dan golongan termiskin atau golongan miskin tegar. 

Boleh dikatakan hampir tidak digunakan perkataan fakir dalam istilah ekonomi dan sosial di negara kita. Perkataan fakir dikatakan seperti satu penghinaan. Golongan fakir diistilahkan sebagai peminta sedekah. Malah, ada perkataan ‘tok fakir’ yang biasanya digunakan gelaran kepada peminta sedekah.  

Terdapat beberapa pertimbangan seseorang dikategori sebagai golongan fakir dan miskin yang dibuat berdasarkan penetapan kadar Had-Kifayah.

Had-Kifayah merujuk kepada suatu had atau kadar kecukupan bagi keperluan asasi bagi seorang individu atau bagi sebuah keluarga berdasarkan kos sara hidup semasa. Dengan kata lain, golongan fakir dan miskin bukan ditentukan jumlah pendapatan semata-mata. Baki daripada pendapatan setelah ditolak jumlah Had-Kifayah akan menentukan seseorang berada dalam golongan mana.

Perkara-perkara yang diambil kira dalam Had-Kifayah ialah perbelanjaan yang melibatkan enam aspek penting bagi manusia ialah perlindungan, makanan, pakaian, perubatan, pendidikan dan pengangkutan. Dalam kes tertentu, kos perbelanjaan penjagaan anak kecil, kos penyakit kronik dan perbelanjaan anak cacat termasuk dalam senarai Had-Kifayah.

Had-Kifayah berbeza-beza mengikut negeri yang ditentukan oleh Jabatan Agama Islam negeri atau pihak berkuasa agama masing-masing. Penetapan kadar perbelanjaan bagi setiap aspek juga berbeza antara negeri. Malah ada negeri yang menetapkan kadar berbeza mengikut bandar dan luar bandar. 

Takrif fakir ialah orang Islam yang tidak mempunyai harta atau pekerjaan atau ada pekerjaan tetapi tidak halal atau ada pendapatan tetapi tidak mencapai 50 peratus daripada Had-Kifayah untuk keperluan diri dan atau keperluan tanggungannya. 

Manakala takrif miskin pula ialah orang Islam yang mempunyai harta atau pendapatan halal yang hanya boleh menampung 50 peratus untuk keperluan diri atau keperluan diri tanggungannya tetapi tidak mencukupi Had-Kifayah.   

Dengan kata lain, takrif fakir dan miskin yang melayakkan seseorang menerima zakat bukan bergantung kepada jumlah pendapatan yang diperoleh, tetapi berdasarkan peratusan kecukupan perbelanjaan yang diperlukan. 

Bagi kes seseorang yang melakukan kerja haram, dia termasuk golongan fakir biarpun pendapatan hasil kerja haram itu banyak. Sumbangan zakat itu diharapkan dapat mengelakkan penggantungan kepada pekerjaan haram. Malah, diharapkan agar mereka yang melakukan pekerjaan haram akan insaf, dan meninggalkannya.   

Biasanya kerajaan atau badan yang melakukan kajian berkaitan kemiskinan menetapkan kadar RM500 pendapatan keluarga sebulan sebagai miskin. Bagaimanapun, dalam hukum fikah, keluarga yang berpendapatan lebih daripada RM1,000 sebulan mungkin masih dianggap fakir dan miskin. Sebaliknya, individu berpendapatan RM600 sebulan mungkin tidak layak termasuk golongan fakir dan miskin.

Yakni, Had-Kifayah bagi seseorang tidak sama untuk menentukan sama ada dia tergolong fakir atau miskin bagi penerimaan zakat. Cuba lihat contoh di bawah. 

PERKARA
BANDAR (RM)
LUAR BANDAR (RM)
Perlindungan (sewa, elektrik, air)
40 *
25 *
240 **
125 **
Pakaian
Dewasa
15
10
Kanak-kanak
10
5
Makanan
Dewasa
75
50
Kanak-kanak
40
25
Pelajaran
Dewasa bersekolah
40
35
Remaja bersekolah
30
30
Kanak-kanak bersekolah
25
20
Kesihatan
10
5
Pengangkutan
Dewasa
50
40
Dewasa dan remaja bersekolah
30
20
Kanak-kanak bersekolah
20
10
*   Tempat tinggal percuma
** Tempat tinggal berbayar

Untuk lebih memahami kaedah pengiraan menentukan golongan fakir dan miskin, kita lihat dua contoh kes.

Contoh kes 1.  Siti tinggal di bandar.  Dia berpendapatan RM1200 sebulan, terpaksa menanggung suami yang sakit buah pinggang peringkat kronik dan tidak dapat bekerja. Dia mempunyai tiga anak menuntut di pusat pengajian tinggi, tiga anak belajar di sekolah menengah dan dua anak belajar di sekolah rendah. Seorang anaknya tidak bersekolah  diletakkan di pusat jagaan anak ketika dia pergi berkerja. Dia tinggal di rumah sewa.

Oleh itu, perbelanjaan yang terpaksa ditanggung oleh Siti mengikut Had-Kifayah ialah:
PERKARA
KADAR BANDAR (RM)
Jumlah (RM)
Perlindungan (sewa, elektrik, air)
240
240
Pakaian
Dewasa
15 x 8
120
Kanak-kanak
10 x 4
40
Makanan
Dewasa
75 x 8
600
Kanak-kanak
40 x 4
160
Pelajaran
Dewasa bersekolah
40 x 3
120
Remaja bersekolah
30 x 3
90
Kanak-kanak bersekolah
25 x 2
50
Kesihatan
10 x 10
100
Pengangkutan
Dewasa
50 x 1
50
Dewasa dan remaja bersekolah
30 x 6
180
Kanak-kanak bersekolah
20 x 2
40
Kos perubatan kronik
200 (maksimun) x 1
200
Penjagaan anak
150 (maksimun) x 1
150
JUMLAH BESAR
2140

Ini bermakna kekurangan pendapatan Siti untuk Had-Kifayah ialah RM2140 – RM1200 = RM940. Jumlah RM940 adalah kurang 50 peratus daripada kadar kecukupan Had-Kifayah. Maka Siti layak dipanggil sebagai golongan miskin. Siti terkeluar daripada kategori golongan miskin sekiranya dia memperoleh pendapatan melebihi RM2140. Tetapi jika Siti berpendapatan RM1000 sebulan, dia layak dipanggil golongan fakir.  

Contoh kes 2.  Ali mempunyai seorang isteri dan seorang anak berusia tiga tahun.  Dia tinggal di rumah pusaka keluarganya di kampung. Dia berpendapatan RM600 sebulan. Isterinya surirumah sepenuh masa.

PERKARA
KADAR LUAR BANDAR (RM)
Jumlah (RM)
Perlindungan (sewa, elektrik, air)
25 (Rumah tidak berbayar)
25
Pakaian
Dewasa
15 x 2
30
Kanak-kanak
10 x 1
10
Makanan
Dewasa
75 x 2
150
Kanak-kanak
40 x 1
40
Kesihatan
10 x 3
30
Pengangkutan
Dewasa
50 x 2
100
Kanak-kanak bersekolah
20 x 1
20
JUMLAH BESAR
405

Ini bermakna Ali tidak termasuk dalam kategori fakir, maupun miskin. Jumlah yang diperlukan untuk memenuhi Had-Kifayah keluarga Ali hanya RM405. Pendapatan Ali berjumlah RM600 sebulan mampu memenuhi keperluan itu.

Diharapkan panduan ini berguna untuk menentukan seseorang dikategori miskin dan fakir untuk menentukan dia layak menerima zakat. Oleh itu, kita jangan mudah berprasangka jika orang berpendapatan agak tinggi, tetapi masih menerima zakat. 

Contohnya dalam kes Siti tadi, dia masih layak menerima zakat walaupun pendapatannya RM1200 sebulan. Sedangkan Ali tidak layak menerima zakat walaupun hanya berpendapatan RM600 sebulan. 

Pengasingan golongan fakir dan miskin memudahkan untuk menentukan golongan mana yang perlu lebih diutamakan untuk mendapat bantuan zakat, biarpun kedua-dua layak menerimanya. Jelas bahawa golongan fakir perlu lebih diutamakan untuk diberikan zakat, sedekah atau bantuan lain.

Pengagihan zakat amat penting untuk meringankan beban hidup yang terpaksa ditanggung oleh golongan fakir dan miskin. Institusi zakat mempunyai peranan besar untuk melahirkan ummah yang dapat menikmati kehidupan lebih baik, sifat membantu dan mementingkan kepatuhan kepada perintah agama. 

Islam amat mementingkan amalan tolong menolong dan berkasih sayang. Ini selaras dengan kedudukan hubungan saudara antara setiap umat Islam.

No comments:

Post a Comment