Friday 1 June 2018

AIDILFITRI HARI KEMENANGAN

Aidilfitri adalah hari kemenangan dan kebesaran penuh kemuliaan dalam Islam, dihadiahkan kepada umat Nabi Muhammad atas kejayaan melaksanakan ibadat puasa Ramadan. Sesuai dengan kedudukan hari mulia, Aidilfitri hendaklah disambut mengikut tuntutan syariat. Sungguh jauh bezanya antara Aidilfitri yang disambut sebagai ibadat dengan yang berupa adat. 

Sambutan Aidilfitri bermula sebaik berakhirnya ibadat puasa Ramadan apabila telah kelihatan anak bulan Syawal. Perkara utama perlu dizahirkan bagai tanda bermula sambutan Aidilfitri ialah melaungkan gema takbir. 

Firman Allah bermaksud: “Dan sempurnakanlah ibadah puasa kamu mengikut bilangan hari dalam bulan Ramadan (29 atau 30 hari), serta bertakbirlah (membesarkan Allah) atas petunjuk-Nya yang diberikan kepadamu, supaya kamu bersyukur.” (Surah al-Baqarah, ayat 185).

Malam Aidilfitri adalah malam ibadat yang menyediakan kelebihan tersendiri.  Berpandukan maksud sebuah hadis menjelaskan bahawa sesiapa beribadat pada dua malam hari raya iaitu Aidilfitri dan Aidiladha, maka hatinya tidak akan mati pada saat hati orang lain mati.

Pada pagi disunatkan mandi Aidilfitri dan kemudian berhias diri dengan pakaian terbaik yang dimiliki, serta mengenakan wangian. 

Maksud pakaian terbaik bukan semestinya baru dibeli atau dijahit seperti difahami di kalangan masyarakat kita. Sebab itu semua orang mesti berpakaian baru dengan alasan itu tuntutan agama. Malah bukan sepasang baju baru untuk dipakai pada pagi hari raya, tetapi sampai empat lima pasang.

Sebelum turun ke rumah menuju ke masjid atau tempat lapang untuk menunaikan sembahyang sunat Aidilfitri, disunatkan juga agar menjamah sedikit makanan sebagai tanda tidak berpuasa. Pada hari Aidilfitri adalah diharamkan berpuasa.  

Diriwayatkan Bukhari dan Ahmad, daripada Anas katanya: “Nabi Muhammad makan beberapa biji tamar sebelum keluar pada pagi Aidilfitri dan baginda memakannya dalam bilangan ganjil.”

Rasulullah ketika menuju ke masjid menggunakan jalan lain dan ketika pulangnya pula melalui jalan lain. Melalui jalan berbeza adalah bertujuan agar dapat bertemu dengan ramai jiran yang tinggal di sepanjang jalan itu. Ketika bertemu disunatkan mengucapkan salam dan tahniah.

Zakat fitrah wajib dikeluarkan sebelum menunaikan solat Aidilfitri. Sesiapa mengeluarkan selepas daripada itu adalah dianggap memberi sedekah.

Zakat fitrah atau dipanggil juga zakat diri diwajibkan ke atas setiap Muslim yang berkemampuan mengeluarkannya atas kadar segantang bahan makanan asasi atau mata wang yang senilai dengannya. Orang miskin yang mempunyai bekalan makanan yang mencukupi untuk dirinya dan ahli keluarga pada hari raya wajib mengelurkan zakat fitrah.

Pada hari mulia ini masa yang paling baik untuk bermaaf-maafan. Segala yang keruh dibuang, sebaliknya ambillah yang jernih. Islam amat mengutamakan amalan memberi kemaafan untuk melahirkan hidup yang sejahtera dan harmoni.

Sebenarnya sambutan hari raya hanya pada 1 Syawal. Pada 2 Syawal dan hari seterusnya sudah dibenarkan berpuasa sunat Syawal dan puasa-puasa sunat lain, termasuk puasa ganti. 

Beraya sepanjang Syawal bukan dianjurkan dalam Islam. Apa yang diamalkan dalam masyarakat kita adalah adat. Oleh itu jangan terkeliru antara adat dan ibadat. Sebab itu amat penting kita memperbetulkan niat agar apa yang dilakukan termasuk dalam ibadat dan bukan sekadar melaksanakan adat. Setiap amalan bergantung kepada niatnya.

Mengadakan rumah terbuka dan amalan ziarah sempena Aidilfitri amat digalakkan yang dapat merapatkan hubungan yang renggan akibat pada hari lain semuanya sibuk dengan urusan pekerjaan masing-masing. Sesiapa menghadiri rumah terbuka hendaklah dengan perasaan ikhlas, bukannya dengan harapan agar tuan rumah akan ‘membalas’ datang ke rumah kita pula.

Sambutan Aidilfitri hendaklah dibuat secara sederhana. Islam melarang perbuatan melampau dan membazir. Bergembira keterlaluan mudah mengundang kelalaian. Lebih baik kita tumpukan perhatian kepada tugas seharian yang perlu dilakukan untuk kebaikan semua.    

No comments:

Post a Comment