Tuesday, 6 February 2018

CARI REZEKI HALAL

Manusia diutuskan oleh Allah ke bumi ini sebagai khalifah, yakni memakmurkan kehidupan ini berlandaskan perintah ditetapkan oleh-Nya.  Termasuk dalam tugas itu ialah mencari rezeki.

Sesungguhnya suruhan mencari rezeki dan kebahagiaan hidup di dunia banyak dinyatakan dalam al-Quran dan Hadis.  Ajaran yang menghalang orang Islam mengejar kemewahan dan kesenangan hidup sengaja dicipta oleh pihak yang tidak mahu Islam berkembang dan maju. 

Antara ayat al-Quran yang menyebut mengenai suruhan mencari rezeki ialah ayat 77 surah al-Qasas bermaksud:  “Dan tuntutlah dengan kurniaan yang telah dilimpahkan Allah kepadamu itu  kebahagian hari akhirat dan janganlah engkau melupakan bahagianmu (keperluan dan bekalan) dari dunia.”    

Dalam menjalankan tugas mencari rezeki hendaklah dilakukan dengan cara halal.

Firman Allah SWT yang bermaksud: "Dan makanlah daripada rezeki yang diberikan Allah SWT kepada kamu, iaitu yang halal lagi baik dan bertakwalah kepada Allah SWT yang kepada-Nya sahaja kamu beriman." (Surah al-Maidah, ayat 88)

Memahami konsep rezeki menurut pandangan Islam penting kerana ia bukan sahaja membantu untuk lebih dekat dengan Allah SWT, bahkan dapat mengelakkan kita daripada mengabaikan tanggungjawab selagi bernafas di dunia ini.

Penting untuk kita sedar, setiap rezeki itu bukan milik mutlak, sebaliknya ada bahagian yang perlu dibelanjakan ke jalan Allah SWT dan dikongsi bersama orang lain menerusi pensyariatan zakat dan amalan bersedekah.

Rezeki dapat dibahagikan kepada tiga bahagian iaitu kurniaan, yang diusahakan dan boleh hadir dalam bentuk tidak disangka. Kurniaan adalah segala yang dihadiahkan Allah SWT termasuk nikmat kesihatan, pancaindera, kegembiraan, keamanan, udara segar dan masyarakat yang prihatin.

Rezeki yang diusahakan pula adalah sesuatu yang terikat dengan hukum alam dan berkait rapat ikhtiar manusia, seperti apabila seseorang itu dahaga dia akan mencari air.

Terdapat juga rezeki yang tidak diduga dan ia berkait rapat dengan elemen tawakal dan bertakwa kepada Allah SWT.

Dalam keadaan tertentu, ada ketikanya kita putus harapan untuk mencari punca rezeki dan tanpa diduga, Allah SWT menurunkan pertolongan-Nya dalam pelbagai cara yang tidak tercapai oleh akal manusia yang cetek.

No comments:

Post a Comment