Monday, 25 December 2023

TAMAN TASIK MILENIUM KUALA KUBU BHARU

 
Taman Tasik Milenium, Ampang Pecah, Kuala Kubu Bharu (KKB) merupakan taman tasik yang menjadi tarikan menarik bagi penduduk sekitar Kuala Kubu Bharu. Pembangunan taman tasik ini telah menjadi tumpuan riadah selain ruang dinamik untuk menggalakkan interaksi sosial serta gaya hidup sihat.
 
Taman yang dibuka bermula jam 7.00 pagi hingga 7.00 malam itu terletak 5 kilometer dari pekan Kuala Kubu Bharu menjadikan lokasi ini tidak jauh dari pusat bandar. Pengunjung yang ingin ke sini perlu melalui jalan Darul Quran kerana taman ini terletak di belakang Darul Quran dan berjiran dengan Kem Bina Semangat, Yayasan Selangor, Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) Kuala Kubu Baru dan Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) Peretak.
 
Pengunjung yang hadir akan melihat arca kepala buaya yang terletak di hadapan pintu masuk taman sebagai simbolik sejarah kawasan ini di mana pada masa dahulu terdapatnya buaya putih yang menyebabkan empangan sedia ada pecah sehingga menenggelamkan Kuala Kubu yang lama.
 
Taman yang dilengkapi dengan kemudahan asas ini telah dibangunkan oleh Majlis Daerah Hulu Selangor (MDHS) bagi memastikan penduduk setempat dapat menikmati kemudahan taman awam selain mewujudkan persekitaran segar dan selesa bagi semua lapisan masyarakat.

Beberapa kemudahan untuk orang awam telah disediakan seperti struktur teduhan, menara pandang, surau, tandas awam, wakaf, kerusi taman dan kemudahan asas seperti tong sampah juga papan tanda.
 
Taman tasik yang berkeluasan 60 hektar itu merangkumi stadium mini dan tasik semula jadi. Dengan berlatar belakangkan kehijauan alam semula jadi dan tiupan angin yang menyegarkan terutama pada waktu pagi menjadikan tempat ini amat sesuai untuk mencari ketenangan dengan melakukan aktiviti-aktiviti sihat seperti berjoging sejauh 1.2 kilometer mengelilingi tasik, beriadah bersama keluarga dan bersukan.
 
Selain itu, Taman Tasik Milenium ini menjadi tarikan ibu bapa membawa anak-anak kecil kerana terdapatnya dua taman permainan yang unik dibina berkonsepkan dinasour untuk menarik minat kanak-kanak. Terdapat juga kemudahan yang lain bagi aktiviti berkeluarga antaranya tempat berkelah, gerai jualan, berkhemah dan sebagainya.
 
Selain beriadah, terdapat juga kemudahan dua padang bola dan satu padang ragbi serta tempat kenderaan yang luas yang mana ianya amat sesuai untuk melakukan sebarang aktiviti sosial seperti pertandingan sukan, perkhemahan dan karnival. Kemudahan ini boleh disewa dan sebarang urusan penyewaan boleh berurusan terus di Jabatan Landskap MDHS.
 
Bukit Batu Pahat yang terletak berdekatan dengan kawasan ini turut menjadi tumpuan utama bagi penggemar luncur udara (paragliding) dari dalam dan luar negeri. Para pengunjung yang hadir akan berpeluang menyaksikan aksi luncur udara ini sambil berkelah bersama keluarga kerana penerjun luncur udara ini akan mendarat di padang stadium mini.
 
Bagi mencantikkan lagi landskap kawasan tersebut, sebanyak 3006 pokok pelbagai jenis turut ditanam antaranya 626 pokok hutan, 180 pokok buah dan 2200 pokok renek yang bertujuan bagi memberi keselesaan kepada pengunjung yang hadir terutama pencinta alam sekitar.
 
Dengan adanya kemudahan-kemudahan yang disediakan, pihak Majlis berharap penduduk dapat menggunakan kemudahan sedia ada dengan cermat dan bertanggungjawab tanpa berlakunya vandalisme. Kemudahan sedia sedia ada akan terus ditambah baik dari masa ke semasa agar penduduk dapat melakukan pelbagai aktiviti di taman ini dengan kemudahan yang serba lengkap dengan fasilti kelas pertama.

No comments:

Post a Comment