Saturday, 21 January 2023

YAN KEDAH BANYAK TEMPAT MENARIK

 
Daerah Yan terletak di tengah-tengah antara dua bandar utama Kedah, Alor Setar dan Sungai Petani. Sebuah daerah yang cantik dengan sebahagian besar kawasan daratannya terbentang hamparan hijau sawah padi. Gunung Jerai (1217 meter), ialah puncak ke-4 tertinggi di Kedah terletak di selatan Yan.
 
Terdapat banyak air terjun dan sungai mengalir dari Gunung Jerai. Antara yang terkenal ialah Air Terjun Titi Hayun, Batu Hampar, Seri Perigi, Puteri Mandi, Sungai Teroi dan Sungai Raga. Seri Perigi merupakan air terjun paling tinggi di Kedah, ketinggian melebihi 100 meter. Sungai Raga pula telah dipilih memenangi sungai paling bersih peringkat kebangsaan selama tiga tahun berturut-turut.
 
Yan juga memiliki persisiran pantai di bahagian barat yang menghadap laut Selat Melaka. Pantai Murni, Pantai Tanjung Jaga dan Singkir Laut antara yang boleh dikunjungi. Terdapat beberapa buah pulau tanpa penghuni dengan pantai yang cantik dan belum diterokai sepenuhnya di perairan Yan seperti Pulau Bidan, Pulau Songsong dan Pulau Telor. Pulau Bunting pula boleh diakses dari tanah besar melalui jambatan.

Gambar - Sumber media sosial

No comments:

Post a Comment